Chemtrax Sdn Bhd Terima Lima Volvo Trak Untuk Pengangkutan Kargo Berbahaya

Created: 14.July 2020

Volvo Trucks hari ini mengumumkan bahawa salah satu pelanggannya, syarikat pengangkutan yang berpangkalan di Johor iaitu Chemtrax Sdn Bhd (Chemtrax) baru-baru ini menerima lima unit trak Volvo yang terdiri daripada empat unit trak FM370 4x2 dan satu unit model FM440 6x2. Ini bertujuan menyokong pengembangan syarikat serta menggantikan beberapa buah trak lama dalam rangkaian pengangkutannya. Trak-trak baharu itu akan digunakan untuk mengangkut kompaun kimia kaustik soda dan gas butadiene.

Majlis penyerahan rasmi trak Volvo yang dihadiri oleh pasukan pengurusan kedua-dua pihak telah diadakan di depot Chemtrax di Pasir Gudang. Dengan penambahan ini, Chemtrax kini memiliki 55 unit trak Volvo iaitu 90 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan pengangkutan syarikat.

Pengarah Urusan Volvo Trucks Malaysia, Mitch Peden berkata, “Kami berbesar hati kerana dapat memberi sokongan berterusan kepada Chemtrax menerusi penyerahan trak-trak baharu ini, sungguhpun suasana pasaran yang mencabar ketika ini.”

“Volvo FM merupakan trak yang ideal untuk pengangkutan jarak jauh dan dekat, selain boleh menyempurnakan apa jua bentuk tugasan. Kami yakin dengan ciri-ciri pemanduan kelas pertama yang ada, trak ini akan memberikan Chemtrax aspek pengangkutan yang cekap, boleh dipercayai dan selamat demi kemantapan perniagaan mereka.”

Ditubuhkan pada tahun 1998, Chemtrax merupakan salah sebuah syarikat pengangkutan utama di Malaysia yang mengkhusus dalam penghantaran produk kimia dan gas berbahaya seperti asid, alkali, gas petroleum cecair (LPG), bahan kimia berasaskan air serta gas mudah terbakar dan bertoksik.

Chemtrax mengangkut produk-produk berkenaan ke seluruh Malaysia dan Singapura menggunakan pelbagai jenis lori tangki. Antaranya ialah tangki tahan karat, lori tangki istimewa dan lori tangki bertekanan tinggi demi memenuhi pelbagai garis panduan ketat untuk setiap bahan berbahaya yang dibawanya.

Berucap pada majlis penyerahan tersebut, Pengarah Urusan Kumpulan Chemtrax Sdn Bhd, Jaffar Abu Bakar berkata, “Kami mempunyai pengalaman melebihi 20 tahun dalam mengendalikan bahan-bahan berbahaya. Kami menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk syarikat-syarikat seperti Petronas, CCM Chemicals, Kaneka, Solar Gaz serta firma-firma global lain termasuklah IVICT, INEOS dan Synthomer. Semua syarikat ini mengamalkan piawaian keselamatan antarabangsa yang sangat ketat dan kami komited dalam melaksanakannya.”

Tambah beliau lagi, pengangkutan ini melibatkan perjalanan jarak jauh dan dekat ke seluruh Semenanjung Malaysia dan sekitar 15 perjalanan sehari ke Singapura.

“Sifat semula jadi bahan berbahaya yang diangkut ini memerlukan perhatian penuh supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan. Dalam usaha memenuhi semua piawaian keselamatan dan kualiti antarabangsa, kami memang memerlukan trak-trak yang tahan lasak untuk mengekalkan kualiti dan penghantaran yang tepat pada masanya kepada pelanggan. ”

“Selama lebih sedekad, kami sentiasa menambah trak Volvo dalam barisan trak pengangkutan. Volvo Trucks sentiasa menjadi pilihan utama para pemandu kami, terima kasih kepada aspek keselesaan terutama untuk perjalanan jauh yang membantu mengurangkan kepenatan. Kami sangat berpuas hati dengan penjimatan bahan api yang ditawarkan sama ada untuk perjalanan jauh atau dekat. Ciri amaran yang dipaparkan pada papan pemuka memberi pemberitahuan awal kepada kami untuk mengesan sebarang isu pada trak, sekali gus memudahkan urusan pembaikan serta penyelenggaraan yang lebih efektif,” tambah Jaffar Abu Bakar.

Kata beliau lagi, trak Volvo FM dapat menawarkan tahap operasi yang tinggi kerana ia dilengkapi pelbagai ciri termaju untuk meningkatkan prestasi, keselamatan dan penjimatan bahan api. Pengandalian trak Volvo yang senang dikuasai dan sesi latihan pemandu yang ditawarkan juga membantu Chemrax menarik pemandu yang berbakat dan mengekalkan pemandu yang bagus, sekali gus menjamin kestabilan ke atas perniagaannya.