Isuzu Meny Ambut Ulang Tahun Ke-40 di Malaysia

Created: 17.July 2020

Tahun 2020 ini menandakan Ulang Tahun Ke-40 penubuhan jenama Isuzu di Malaysia. Sejarah Isuzu di Malaysia bermula pada tahun 1980, apabila syarikat Automotive Corporation Malaysia Sdn Bhd (ACM) telah menjadi pengedar rasmi dan memperkenalkan trak-trak Isuzu untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan. Kini, Isuzu terkenal dengan kepelbagaian model-model trak yang menawarkan kualiti, ketahanan dan penjimatan kos yang terbaik.

Pada tahun 1989, ACM telah diambil alih oleh Heavy Industries Corporation Malaysia Berhad (HICOM), sebuah syarikat konglomerat dalam sektor automotif, perkhidmatan, hartanah dan infrastruktur. Kemudian, pada tahun 1994, sebuah perjanjian usahasama termeterai antara Isuzu dan DRB-HICOM untuk menubuhkan Malaysia Truck & Bus Sdn Bhd (MTB), sebuah kilang pembuatan dan pemasangan di Pekan, Pahang, demi memenuhi keperluan pasaran tempatan untuk kenderaan komersial yang berkualiti dan boleh dipercayai.

Pada September 2004, Isuzu Malaysia Sdn Bhd (IMSB) telah diperkenalkan melalui perjanjian antara tiga pihak, iaitu Isuzu Motors Limited, DRB-HICOM Berhad dan Mitsubishi Corporation, untuk mengukuhkan serta memperkasakan lagi penguasaan syarikat di rantau ini. Walaupun IMSB menjadi pengimport dan pengedar rasmi bagi kenderaan Isuzu di Malaysia, ACM terus kekal sebagai salah satu pengedar sah tempatan Isuzu Malaysia.

Pada Oktober 2010, Isuzu telah memulakan pengeluaran trak Tugas Ringan Isuzu N-Series, yang kemudiannya telah dipasarkan pada November 2010. Semenjak itu, pelbagai trak dan kenderaan komersial telah dihasilkan, termasuk model-model trak N-Series Crew Cab, N-Series Hi-Power, F-Series, D-MAX, N-Series 4x4 NPS, N-Series NPR dan NQR. Tambahan pula, dalam pasaran tempatan Malaysia, hanya jenama Isuzu menawarkan kepelbagaian pilihan untuk kenderaan komersial dan trak pikap yang bersesuaian dalam memenuhi pelbagai keperluan perniagaan.

Sejarah lama Isuzu di Malaysia, digabungkan pula dengan kepelbagaian kenderaan komersial yang berkualiti dan dipercayai, telah mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama trak pilihan utama bagi syarikat-syarikat perniagaan tempatan. Trak Tugas Ringan ELF telah secara konsisten mendapat tempat pertama sebagai jenama pilihan Kenderaan Komersial Tugas Ringan di Malaysia, berdasarkan jumlah jualan tahunan yang telah disiarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Selain itu, pencapaian hebat Isuzu juga terhasil atas usaha dan sokongan daripada para pengedar serta tenaga kerja Isuzu Malaysia yang sentiasa memastikan perkhidmatan dan servis yang diberikan berada pada tahap kepuasan yang tertinggi. Isuzu Malaysia merupakan sebuah syarikat yang sangat menitikberatkan serta mengutamakan keperluan pelanggan dengan penuh teliti, melalui perkhidmatan selepas jualan yang terbaik.

Pada tahun 2017, Isuzu Malaysia telah mencapai kejayaan baharu dengan pembukaan pusat selepas jualan utama (flagship) mereka yang terletak di Shah Alam. Pusat Servis Isuzu (Isuzu Service Centre – ISC) ini menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan terunggul, tanpa perlu mengambil masa yang lama untuk servis kenderaan.

Koji Nakamura, selaku Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, berpendapat bahawa usaha yang berterusan harus dilakukan supaya syarikat sentiasa meraih kepuasan pelanggan yang optimum. Menurut Nakamura, “Kepuasan pelanggan dan penyediaan servis nilai tambahan perlu diutamakan, terutamanya sewaktu ketidakpastian ekonomi dan saingan pasaran yang sengit.

Isuzu Malaysia berazam untuk mengukuhkan lagi kedudukan serta komitmen mereka di negara ini, demi mencapai kepuasan pelanggan yang tertinggi melalui rangkaian pengedar dan pusat servis yang lebih meluas. Buat masa ini, terdapat cawangan-cawangan Isuzu yang terletak secara strategik di setiap zon di Malaysia, dan terdiri daripada 1S hingga ke pusat 3S yang lebih komprehensif. Kini, terdapat 11 cawangan di Zon Tengah, 9 cawangan di Zon Utara, 10 cawangan di Zon Selatan dan 7 cawangan di Zon Pantai Timur.

Selain itu, Isuzu Malaysia juga mempunyai beberapa cawangan di Malaysia Timur, dengan 7 cawangan yang terletak di Sabah, dan tujuh lagi di sekitar Sarawak. Kesemua cawangan tersebut menawarkan kemudahan 3S.