Kuantan, Pahang, 28 Januari 2019 - Sendok Group, sebuah syarikat konglomerat multi perniagaan yang berpangkalan di Malaysia dengan perniagaan utamanya adalah import-eksport dan menjual alat ganti kenderaan terpakai, trak, mesin dan peralatan tugas berat serta pengedar rasmi jenama kenderaan komersial Sinotruk di Malaysia, membuka pusat 4S baharunya di Kuantan. Pusat itu merupakan hasil kerjasama di antara Sendok Group selaku pengedar dan pemasang di Malaysia bersama TTS Engineering Group Sdn Bhd, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan trak yang terkenal di Kuantan.

Pelancarannya dirasmikan oleh tetamu kehormat, Ahli Parlimen Kuantan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Yang Berhormat Puan Fuziah binti Salleh; ditemani oleh Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Urusan Sendok Group, Gwee Bok Wee; Pengarah & Pengurus Besar untuk Asia dan Oceania, Sinotruk International Ltd, Yuan Zhong Bo dan Pengerusi Kumpulan TTS Engineering Group, Dato' Yap Yeow Ho.

Pusat 4S yang terletak di Jalan Gambang itu akan berkhidmat sebagai pusat servis utama buat pelanggan di wilayah Pantai Timur. Pusat itu menyediakan perkhidmatan jualan, servis, alat ganti, badan dan cat kepada para pelanggan trak tugas berat Sinotruck serta kenderaan komersial tugas ringan CAM. Jenama CAM ialah divisyen pemasaran bagi kenderaan komersial tugas ringan Sendok Group.

Menurut Sendok Group, pusat itu mengambil masa selama enam bulan dan pelaburan sebanyak RM2 juta untuk disiapkan. Ia memiliki ruang bengkel seluas 7,000 kaki persegi dan disokong oleh gudang seluas 4,200 kaki persegi untuk alat ganti.

Sempena pembukaan pusat 4S tersebut, trak tugas berat Sinotruck T7H berkuasa 540 kuasa kuda turut dilancarkan secara rasmi. Bukan itu sahaja, struktur jaminan yang baru dikenali sebagai ‘T Series’ juga diperkenalkan. Ia menawarkan pakej jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan yang sangat kompetitif.

Acara itu juga menyaksikan penyerahan lebih 100 unit trak tugas berat Sinotruk kepada dua pelanggan yang berpangkalan di Kuantan – 50 unit model T7H telah dibeli oleh Heng Da Logistic Sdn Bhd. Manakala 50 unit model tipper dibeli oleh Menta Construction Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Urusan Sendok Group, Gwee Bok Wee berkata, “Pembukaan pusat 4S baharu ini membuktikan strategi Sendok Group untuk mengembangkan perniagaan dan menyediakan perkhidmatan yang boleh dipercayai secara konsisten kepada para pelanggan kami di wilayah Pantai Timur.

“Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) melibatkan aspek pembangunan yang luas. Antara beberapa projek yang sedang berlangsung sekarang ialah pembangunan bersepadu kawasan industri, komersial dan kediaman di bawah Taman Industri China-Malaysia Qinzhou. Justeru, kami menjangkakan permintaan yang mapan terhadap kenderaan komersial berkualiti terutama jentera pengangkut utama.

“Malah, dua pelanggan kami di Kuantan baru sahaja menempah 100 unit trak. Keyakinan dan kepercayaan pelanggan yang diberikan kepada kami sememangnya menjadi permulaan baik untuk tahun baru ini. Sudah pasti, pusat 4S ini akan memberi manfaat kepada mereka kerana ia akan menjadi satu pusat sehenti yang menawarkan perkhidmatan jualan dan selepas jualan yang komprehensif.

“Sendok Group sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan rakan-rakan iaitu Sinotruk selaku prinsipal kami dan TTS Engineering Group untuk merealisasikan pusat 4S ini. TTS Engineering Group merupakan penyedia penyelesaian trak yang boleh dipercayai di sini. Saya yakin dengan semua ini, kami dapat mencapai pertumbuhan lebih baik pada masa depan dan memberi kepuasan kepada para pelanggan,” kata Gwee.

Pusat 4S baharu itu mempunyai 12 ruang untuk kerja-kerja penyelenggaraan trak, dengan lapan ruang bagi trak tugas ringan dan baki 4 ruang lagi untuk kegunaan trak tugas berat. Perkhidmatan servis bergerak juga diletakkan di pusat 4S berkenaan demi memberikan perkhidmatan penyelenggaraan dan penghantaran alat ganti yang pantas kepada pelanggan. Kemudahan-kemudahan lain termasuklah mesin penjajaran tayar khas untuk trak dan trailer yang diimport dari Sweden. Ia mampu melakukan penjajaran trak sepenuhnya tanpa perlu mengasingkan trailer.

Pengarah & Pengurus Besar untuk Asia dan Oceania, Sinotruk International Ltd, Yuan Zhong Bo berkata, “Sinotruk T7H dengan 540 kuasa kuda dilengkapi enjin yang luar biasa. Ia mampu menawarkan tork, prestasi, tempoh dan kitaran operasi yang tinggi tanpa memerlukan baik pulih major, penjimatan bahan api yang mengagumkan dan ciri-ciri keselamatan yang hebat.

“Pengenalan model baharu ini mencatat sejarah penting untuk perniagaan kami. Kami sangat yakin bahawa trak ini akan benar-benar menjadi pengubah permainan buat para pelanggan yang mahu meningkatkan keuntungan dan kecekapan perniagaan masing-masing,” kata Yuan.

Dengan pembukaan pusat 4S di Kuantan, Sendok Group kini mempunyai lima pusat 4S dalam 50 pengedar dan pusat servis di Malaysia. Ia juga merancang untuk menambah jumlah kemudahan tersebut.