UD Trucks Malaysia hari ini memperkenalkan Quester baharu yang telah ditambah baik dalam rangkaian trak tugas berat Quester yang cukup terkenal, pada acara Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia 2019 yang berlangsung di MINES International Exhibition & Convention Centre (MIECC) dari 20-22 Jun. Quester baharu membolehkan syarikat logistik di Malaysia menangani cabaran industri yang kritikal dan meningkatkan operasi mereka menerusi logistik pintar.

Quester baharu mewakili evolusi penyelesaian pintar terhadap cabaran pengangkutan masa kini. Dibina dengan ketahanan yang terbukti dipercayai, Quester baharu memperkenalkan ciri-ciri penting seperti transmisi automatik manual ESCOT, perencat (retarder), kabin yang boleh dinaikkan secara elektrikal, enjin berkuasa tinggi dan telematik mesra pengguna. Semua ini menyumbang kepada produktiviti, penjimatan bahan api, kecekapan pemandu dan keselamatan yang lebih baik.


Penjimatan bahan api, mendapatkan pekerja yang dedikasi, produktiviti dan ketersambungan menjadi keutamaan syarikat pengangkutan di Malaysia. Semua cabaran ini boleh ditangani dengan ciri-ciri baharu seperti ESCOT dan UD Telematics. Pengenalan Quester baharu di Malaysia dan di rantau yang pesat membangun membuktikan komitmen utama UD Trucks iaitu “Going the Extra Mile” demi perniagaan para pelanggannya.


Pengarah Urusan UD Trucks Hub Malaysia dan Oceania, Steve Hedouin berkata, “Quester baharu ialah trak yang mampu memenuhi keperluan dan ekspektasi pelanggan dalam mengurus cabaran perniagaan mereka. Kami telah membangunkan Quester baharu menerusi ‘Semangat Gemba’ dengan cara mendekati akar umbi dan mendengar keperluan para pelanggan.


“Quester baharu memperkenalkan pelbagai ciri baru untuk menawarkan aspek produktiviti, penjimatan bahan api, tempoh operasi, keselesaan dan keselamatan yang lebih baik. Kami sangat yakin Quester baharu merupakan trak untuk generasi sekarang yang akan membantu syarikat di Malaysia menangani cabaran dan mempercepatkan pertumbuhan perniagaan mereka menerusi logistik pintar.


“Sejak tahun 1995, UD Trucks telah menyerahkan lebih 80,000 unit trak dengan transmisi automatik manual ESCOT. Kami berasa rendah diri dengan keyakinan dan pengiktirafan yang telah diterima oleh rangkaian model Quester. Dengan Quester baharu, kami yakin dapat meneruskan legasi jenama trak yang diminta para pelanggan,” kata Hedouin.

Memastikan penjimatan bahan api lebih baik buat perniagaan supaya mereka dapat menguruskan kos minyak dan mengurangkan kesan ketidaktentuan harga minyak


Bagi meningkatkan produktiviti dan keuntungan perniagaan pemilik serta syarikat logistik, Quester baharu dapat mencapai penjimatan bahan api sehingga 10 peratus berbanding Quester sekarang melalui penggunaan transmisi automatik manual ESCOT. Ia juga dapat mengurangkan berat kenderaan dan mengoptimumkan tali pacuan. Namun, ia tetap bergantung kepada keadaan operasi, corak pemanduan dan penyelenggaraan kenderaan.


ESCOT terdiri daripada satu perisian yang mengoptimumkan aspek penukaran gear berdasarkan kepada pusingan enjin, kelajuan, berat beban dan kecerunan jalan. Sistem pintar itu juga merangkumi sebuah alat pengesan yang akan memilih gear optimum secara automatik dan bukannya menganggar pemilihan gear pertama.


Quester baharu dilengkapi enjin yang berupaya menyalurkan kuasa daya kilas dan tarikan pada RPM rendah, manakala lengkuk daya kilas yang rata dapat meminimumkan penukaran gear. Ini membolehkannya menawarkan pecutan purata yang lebih tinggi dan lebih jimat bahan api dalam jangka masa panjang.


Prestasi penjimatan bahan api Quester baharu juga selari dengan fokus terhadap garis panduan alam sekitar yang berfungsi mengurangkan penggunaan minyak.


Memperkenalkan persekitaran kerja yang lebih selesa dan menarik bagi menyokong syarikat pengangkutan memenangi cabaran mendapatkan pekerja dan mengembangkan jumlah pekerja yang bagus


Quester baharu memperkenalkan pelbagai ciri mesra pemandu yang membuatkan pengalaman memandu lebih mudah dan selesa. Ini akan dapat membantu syarikat pengangkutan dalam usaha mendapatkan pemandu terbaik untuk menyertai mereka.


Menjadi pengubah corak bekerja dalam perniagaan pengangkutan, Quester baharu dengan ESCOT tidak lagi memerlukan penukaran gear secara manual yang boleh berlaku sebanyak 1 000 hingga 1 500 kali sehari. ESCOT akan memilih gear yang optimum secara automatik pada masa yang tepat berdasarkan kepada keadaan operasi. Ini membolehkan pemandu belajar mengendalikan Quester baharu dengan lebih mudah. Selain dapat fokus kepada aspek pemanduan, pemilihan gear secara automatik juga membolehkan pemandu biasa menguasai gaya pemanduan seperti seorang pemandu yang mahir.


Justeru, Quester baharu juga berhasrat untuk membantu perniagaan mengembangkan jumlah pemandu dengan tuil gear yang mudah dikendali dan menggunakan corak penukaran gear yang ringkas. Quester baharu juga membuka pintu buat syarikat dalam menarik lebih ramai prospek untuk menjadikan pemanduan trak sebagai kerjaya dan mempelbagaikan bakat untuk pekerjaan ini.


Keletihan pemandu terus menjadi cabaran serius kepada industri dan menyumbang kepada 20 peratus kemalangan di dunia . Bagi menangani masalah ini, Quester baharu dibangunkan dengan kabin sokongan udara dan pakej lebih selesa yang mampu mengurangkan gegaran kabin sehingga 18 peratus. Keselesaan pemandu juga ditingkatkan dengan tempat duduk yang ergonomik dan sokongan lumbar untuk tugasan perjalanan jauh.


Secara amnya, Quester baharu menambah baik aspek pemanduan dan keselamatan pemandu melalui ciri-ciri yang fokus untuk meningkatkan tahap keselesaan serta mengurangkan keletihan pemandu.


Memacu keuntungan dan pertumbuhan perniagaan dengan melakukan lebih lagi, mengatasi kekangan produktiviti dan memudahkan proses pengurusan syarikat pengangkutan


Selari dengan peningkatan perniagaan menerusi logistic pintar, Quester baharu menyokong pengurusan pengangkutan yang efektif dan prestasi pemandu melalui telematik pelanggan yang inovatif. Misalnya pengesanan kenderaan pada masa sebenar dan geobatas untuk mengoptimumkan kebolehlihatan trak pengangkutan.


Quester baharu dilengkapi UD Telematics yang boleh disambungkan terus dengan pusat servis UD Trucks bagi memantau dan mengesan keadaan setiap trak serta servis yang diperlukan sebelum kerosakan berlaku. Analisa penyelenggaraan pencegahan memberi panduan kepada pelanggan dengan laporan bulanan mengenai tingkah laku pemanduan dan penggunaan bahan api. Ini dapat memastikan tempoh operasi lebih tinggi dan penjimatan bahan api yang optimum.


Para pemilik Quester baharu juga dapat menikmati peningkatan tempoh operasi kerana jangka hayat klac transmisi automatik manual adalah 2.5 hingga 3 kali lebih lama berbanding klac manual, bergantung kepada keadaan operasi, corak pemanduan serta penyelenggaraan kenderaan.


Pengarah Eksekutif Tan Chong Industrial Equipment (TCIE), Tan Keng Meng berkata, “Sebagai rakan pengedar tunggal UD Trucks, kami komited menawarkan ethos UD Trucks iaitu “Ultimate Dependability” dengan meningkatkan tempoh operasi trak melalui UD Extra Mile Support.


“Menawarkan rangkaian juruteknik servis terlatih yang ekstensif, kami mampu menyediakan perkhidmatan selepas jualan dengan alat ganti tulen, perancangan servis dan latihan penyerahan kenderaan yang dapat meningkatkan prestasi kenderaan pengangkutan.


“Kami mengenal pasti potensi yang besar di Malaysia, di mana kejayaan perniagaan merupakan penyumbang utama kepada kemakmuran ekonomi. Digabungkan dengan standard Ultimate Dependability dan semangat Gemba, kami yakin Quester baharu menjadi bukti komitmen syarikat untuk terus menawarkan logistic pintar dan nilai yang tiada tandingan kepada pelanggan.


“Dengan rangkaian 43 pusat servis dan pengedar kami yang ekstensif di seluruh Malaysia, TCIE akan terus memainkan peranan penting dalam menyediakan sokongan padu kepada semua pelanggan kami,” kata Tan.