Volvo Trucks (Volvo) hari ini mengumumkan bahawa ia telah berjaya menjual empat unit trak tugas berat premium Volvo FH16 kepada sebuah syarikat logistik utama iaitu Aman Logistik Sdn Bhd (Aman Logistik). Majlis penyerahan trak untuk meraikan pencapaian itu telah dihadiri oleh pihak pengurusan kanan kedua-dua buah syarikat.

“Penyerahan terkini trak Volvo FH16 kepada Aman Logistik membuktikan penerusan prestasi jualan yang kukuh dari tahun 2018, di mana kami terus mengembangkan siri trak tugas berat premium Volvo FH,” kata Pengarah Urusan Volvo Trucks Malaysia, Mitch Peden.

Aman Logistik ialah sebuah syarikat penyedia perkhidmatan logistik yang menyeluruh, melibatkan penghantaran di darat, laut dan udara, di samping servis penghantaran dan gudang. Syarikat ini dikenali sebagai pakar dalam pengangkutan beban berat dan kargo bersaiz besar, termasuk palang dan kerja-kerja infrastruktur.

“Selaku peneraju dalam perkhidmatan logistik berat, perniagaan kami perlu menggunakan kenderaan yang amat berkuasa, tahan lasak, selamat dan menjimatkan bahan api. Trak yang digunakan perlu memberi nilai kepada perniagaan dan pelanggan kami, mengurangkan kos operasi dan meningkatkan produktiviti sepanjang tempoh perkhidmatan kenderaan,” kata Pengarah Urusan Aman Logistik Sdn. Bhd., Kenny Tee.

“Kami juga meminta Volvo Trucks untuk mengubah suai trak-trak kami dengan menambah tangki udara bagi memudahkan urusan mengangkut barang berat dalam jarak jauh dan kami gembira kerana permintaan ini dapat dilaksanakan. Justeru, saya percaya Volvo FH16 ialah trak yang dinginkan untuk perniagaan kami yang semakin berkembang ini,” kata Tee.

“Volvo FH16 ialah sebuah jentera terbaik untuk pelanggan yang mahukan lebih keupayaan, kuasa dan prestasi. Sebagai sebuah trak tugas berat premium, ia menawarkan kuasa dan tork yang cukup besar, di samping penjimatan bahan api, kelasakan dan keselamatan,” kata Peden.

Katanya lagi, Volvo FH16 boleh diubah suai untuk memaksimumkan produktiviti serta mampu menjayakan operasi paling sukar dan berat dalam apa jua kondisi dan permukaan jalan. Ia juga berupaya mengendalikan penghantaran barangan bersaiz besar dan sangat berat.”

Dilengkapi teknologi yang menawarkan keselamatan terbaik di dalam kabin, pemanduan lebih jimat dan tempoh operasi yang tinggi, trak siri Volvo FH melangkaui batasan penawaran trak premium di pasaran.

“Setakat ini, prestasi jualan Volvo FH yang mantap membuktikan bahawa model ini telah menetapkan satu penanda aras dalam kategori trak premium berprestasi tinggi. Ia juga memberi impak positif kepada keuntungan dan keupayaan perniagaan para pelanggan kami,” tambah beliau lagi.

Salah satu ciri unik Volvo FH16 ialah teknologi I-Shift dengan gear ‘crawler’ ultra-rendah yang membolehkan trak dipandu pada kelajuan serendah 0.5-2km/j dan bergerak dari titik pegun ketika membawa beban seberat 325 tan.

Teknologi ini menawarkan satu peluang baru untuk trak tugas berat dengan kotak gear automatik mengawal kelajuannya apabila membawa beban yang berat. Aspek pemanduan yang dipertingkatkan itu menjadikannya lebih mudah untuk dioperasi di laluan mencabar seperti tapak-tapak pembinaan, lombong atau ketika memandu di laluan curam dan berbukit.