Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

PELANGGAN UD TRUCKS BAKAL MENIKMATI KELEBIHAN PERKHIDMATAN DAN KECEKAPAN OPERASI LEBIH BAIK DENGAN PEMBUKAAN PUSAT 3S BAHARU DI PELABUHAN KLANG

Selangor, 24 November 2025 – Para pelanggan UD Trucks yang disantuni oleh pengedar tunggalnya, Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE), kini boleh menikmati sokongan selepas pasaran dan kualiti perkhidmatan yang dipertingkatkan dengan pembukaan sebuah lagi pusat 3S baharu di kawasan perindustrian pesat Pelabuhan Klang.

 

Pusat 3S baharu ini terletak di Lebuh Sultan Mohamed 1, Selat Kelang Utara, dan dikendalikan oleh TC Trucks Sales Sdn Bhd (TCTS). Ia menawarkan kemudahan lengkap di bawah satu bumbung, termasuk penjualan, perkhidmatan serta alat ganti untuk para pelanggan daripada pelbagai jenama rakan kongsi secara setara.

 

Majlis jamuan tengah hari telah diadakan baru-baru ini bersama lebih 150 tetamu, kebanyakannya pelanggan, bagi meraikan pembukaan rasmi pusat ini selepas tempoh pembinaan hampir satu tahun. Pusat ini dibina khas untuk menawarkan rangkaian kenderaan komersial UD Trucks serta perkhidmatan selepas jualan yang komprehensif melalui kemudahan bengkel moden dan inventori alat ganti yang lengkap.

 

Keiichiro Ochiai, Pengarah Wilayah UD Trucks bagi Asia Tenggara & Asia Timur berkata, “Kualiti perkhidmatan selepas jualan kini menjadi penanda aras utama dalam landskap industri yang semakin kompetitif. UD Trucks dan TCIE komited membantu para pelanggan mencapai kejayaan dengan menyediakan produk serta strategi perkhidmatan terbaik yang memenuhi kehendak mereka.

 

“Pembukaan Pusat 3S Pelabuhan Klang adalah langkah strategik yang akan meningkatkan kebolehkhidmatan serta kecekapan operasi kepada para pelanggan kami, terutamanya yang berada di hab perindustrian sekitarnya. Kami yakin ia akan mengukuhkan lagi keyakinan pelanggan terhadap jenama UD Trucks, dengan memastikan mereka boleh bergantung kepada kami untuk ketenangan fikiran dalam aspek operasi, prestasi serta kecekapan kos pemilikan jangka panjang.”

 

Pusat 3S Pelabuhan Klang ini dibina di atas tapak seluas dua ekar dengan keluasan binaan 21,000 kaki persegi. Ia menampilkan bilik pameran luas yang mampu mempamerkan sehingga tiga model kenderaan komersial UD Trucks serta ruang istirahat selesa untuk pelanggan dan pemandu.

 

Kemudahan bengkel pula menyediakan 11 ruang servis bersama gudang alat ganti yang besar bagi memastikan kelancaran dan pengoptimuman operasi pelanggan. Bengkel ini dikendalikan oleh pasukan teknikal berpengalaman, dilengkapi peralatan moden dengan keupayaan diagnostik serta penyelesaian pembaikan yang cekap bagi mengurangkan masa henti dan mengelakkan kos pembaikan berlebihan kepada pemilik armada.

 

Selari dengan komitmen UD Trucks dalam menyokong logistik pintar dan penyelesaian trak yang boleh dipercayai, pusat ini juga direka bagi memenuhi keperluan pengembangan masa depan. Pusat 3S TCTS Pandamaran telah dipindahkan ke lokasi baharu ini sebagai langkah strategik bagi menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih baik melalui akses dan kemudahan lebih selesa.

 

Loh Thim Choy, Ketua Pegawai Operasi TCIE berkata, “Pusat 3S Pelabuhan Klang ini merupakan satu lonjakan besar dalam pendekatan berasaskan pelanggan. Kami percaya penyediaan trak berkualiti adalah penting untuk membantu pelanggan mengekalkan kecemerlangan operasi mereka, namun ia tidak terhenti di situ sahaja. Peranan pusat pengedaran dalam meningkatkan keseluruhan pengalaman pelanggan adalah signifikan, dan ini mendorong kami membuka pusat 3S baharu ini.

 

“Kami berhasrat untuk terus menyampaikan pengalaman premium yang ditawarkan melalui bilik pameran moden, suasana mesra serta kemudahan bengkel lengkap dengan pasukan teknikal berkemahiran tinggi. Pelanggan memerlukan lebih daripada sekadar kenderaan – mereka memerlukan rakan kongsi perniagaan yang boleh dipercayai, dan TCIE komited memastikan pelanggan mendapat sokongan sepenuhnya untuk memaksimumkan masa operasi mereka.”

2025

  • Hits: 45