News in:  BM | TH | CN

26 June 2022

Foton Aumark S City Flyer 4-Roda BJ1065 Series Serba Baharu

Pengedar tunggal Kenderaan Komersial Ringan (LCV) Foton dan Foton Auman di Malaysia, Angka-Tan Motor Sdn Bhd, memperkenalkan trak tugas ringan Foton Aumark S City Flyer 4-Roda BJ1065 serba baharu bagi memenuhi permintaan kegunaan logistik dalam negara. Angka-Tan Motor Sdn Bhd ialah subsidiari kepada Warisan TC Holdings dan ahli Tan Chong Group.

Foton Aumark S City Flyer mengetengahkan tema ‘terbang’ dan ‘sayap’ yang simbolik dengan kelajuan, ketangkasan dan kebebasan – yang menggambarkan pengalaman pemanduan secara keseluruhan. Badan City Flyer yang fleksibel dan ringan membolehkan pemilik mendapat hasil produktiviti dan kecekapan yang tinggi dalam operasi perniagaan mereka.

“Ketika inflasi mula melanda, seperti kenaikan harga minyak, kami menyaksikan pertambahan permintaan pemilik perniagaan untuk kenderaan yang mampu memberikan kecekapan, produktiviti dan menepati masa operasi. Foton Aumark S City Flyer 4-Roda BJ1065 serba baharu ini memenuhi kriteria tersebut dan mampu membantu mereka mencapai objektif perniagaan,” kata Tan Keng Meng selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Warisan TC Holdings Bhd, iaitu syarikat induk kepada Angka-Tan Motor dan ahli Tan Chong Group.

Siri Foton Aumark S City Flyer 4-Roda BJ1065 ditawarkan dalam dua versi - VDJD4 dan VDJD6, dengan jarak roda 2,800mm dan 3,360mm untuk setiap varian.

Aumark S City Flyer hadir selepas setahun setengah pelancaran rasmi Aumark S Super Truck 6-Roda pada Disember 2020. Trak ini juga dibina berasaskan platform ‘SUPER’ Foton. Ia mewakili lima elemen utama sebagai asas pembinaan dan rekabentuk trak Foton - keselamatan, utiliti, kuasa, kecekapan, dan reliabiliti. Aumark S City Flyer ialah produk ‘Pakatan Inovasi Global Trak Super’, terdiri daripada gabungan firma peneraju teknologi dunia seperti Cummins, ZF Friedrichshafen, WABCO, Bosch dan Exedy yang saling berkongsi kepakaran dan teknologi masing-masing.

Aumark S City Flyer dikuasakan enjin pengecas turbo Euro3 generasi baharu, Cummins ISF 2.8 liter dengan transmisi manual 5-kelajuan ZF yang mampu menghasilkan 129hp (96kW) pada 3,200rpm, dan tork 310Nm pada 1,600 hingga 2,700 rpm.

Transmisi manual 5-kelajuan daripada ZF memberikan anjakan gear yang lancar dan cekap. Perumah kotak gear aluminium aloi yang ringan dan nisbah gear dioptimum juga mengurangkan penggunaan bahan api dengan efektif. Rekabentuk gear turbin yang dioptimumkan dapat mengurangkan bunyi bising dengan berkesan. Enjin Cummins ISF dan transmisi 5-kelajuan ZF memberikan trak ini trenkuasa yang premium.

City Flyer memiliki berat kasar (GVW) 5.6 tan, ciri terbaik dalam kategori 4-roda, dan paling terbaik untuk perjalanan dalam dan antara bandar yang membolehkan pelanggan membawa lebih banyak muatan setiap trip.

Kabin direka semula dan ditambah baik supaya pemandu dan rakan pemandu lebih selesa, serta mengurangkan keletihan ketika memandu lama. Antaranya, kerusi dipertingkat dengan hayat busa lebih tahan lama dan fabrik jenis kalis haus. Ia juga didatangkan dengan platform pemegang cawan dan kabinet fail atas.

Dari segi keselamatan, Aumark S City Flyer dibina dengan rekabentuk casis dikemas kini dan patuh standard keselamatan Eropah serta diuji mengikut regulasi keselamatan ketat Suruhanjaya Ekonomi Eropah (ECE) R29. Ia dilengkapkan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) untuk menghalang situasi roda terkunci ketika membrek secara keras, dan juga Agihan Brek Elektronik (EBD), serta Bantuan Brek (BA) untuk membantu prestasi membrek yang lebih kuat dan selamat dalam kecemasan.

“Keselamatan dan kebolehpercayaan adalah paling utama, semua trak Foton dihasilkan mengikut standard yang ketat. Kerja pembangunan Aumark S City Flyer telah menjalani ujian ketahanan alam sekitar yang ekstrem sejauh 1.6 juta kilometer bagi memastikan kemampuan luar biasa dalam menempuh persekitaran paling teruk,” kata Pengurus Besar Kanan Angka-Tan Motor Sdn Bhd, Danny Ng.

Foton Motor Group ialah syarikat kenderaan komersial pilihan utama yang dipercayai dan diiktiraf dunia. Jenama ini sudah menjual lebih 10 juta kenderaan di lebih 110 negara. Kumpulan ini juga berada dalam ranking pertama dalam industri kenderaan komersial China selama 17 tahun berturut-turut, yang juga syarikat ke-34 daripada 500 jenama di China dengan nilai jenama AS$26 bilion (RM114 bilion).

Sebagai pengeluar peneraju dalam kenderaan komersial di China, syarikat kini sedang mempercepatkan pembangunan teknologi rendah-karbon dan sifar-karbon untuk kenderaan komersial bagi mengurangkan emisi karbon dan penggunaan bahan api. Sebagai keutamaan penting, inisiatif Foton adalah bertindak balas kepada perubahan iklim yang seiring hasrat China untuk mencapai puncak karbon menjelang 2030 dan neutral karbon menjelang 2060.

“Inilah sebab kenapa penting mempercepatkan pembangunan teknologi sifar-karbon dan rendah-karbon untuk kenderaan komersial bagi mengurangkan emisi karbon dan penggunaan bahan api,” kata Pengurus Besar Beiqi Foton Motor Co Ltd untuk Wilayah Adia Tenggara, Eric Wang.

Mengulangi pandangan Wang, Tan berkata,”Kami akan bekerja dengan Foton untuk membawa pembangunan baharu dan inisiatif ini di Malaysia.”

Semua kenderaan komersial Foton di Malaysia didatangkan dengan Foton Total Care, dan disokong rangkaian servis Tan Chong Group yang menawarkan ketenangan minda dan keyakinan kepada pelanggan yang membeli kenderaan komersial Foton. Dengan keberadaan pusat servis Tan Chong Group di seluruh negara, pelanggan kini memiliki kemudahan servis kenderaan di seluruh Malaysia, termasuk alat ganti tulen Foton untuk memastikan keselamatan kenderaan dan jangka hayat servis yang berpanjangan.

Pemilik juga boleh memilih TC Trust, iaitu perjanjian servis yang disesuaikan mengikut perniagaan. Ia direka untuk mengoptimumkan keseluruhan kos pemilikan trak Foton dan menyediakan pengurusan penyenggaraan flit yang mudah tanpa perlu memeningkan kepala.

Sebagai tambahan, pembangunan dan latihan pemandu juga disediakan untuk meningkatkan kemahiran memandu supaya dapat memandu dengan cara lebih jimat, sekali gus meningkatkan masa operasi dan merendah kos operasi. Jika berlaku kes kecemasan, perkhidmatan 24-jam Res-Q dan One-Stop Repair serta Servis Insurans disediakan untuk memberikan masa operasi yang optimum kepada pelanggan sepanjang masa.

Aumark S City Flyer 4-Roda BJ1065VDJD4 (2800mm) dijual pada harga runcit cadangan (MSRP) RM93,900, manakala BJ1065VDJD6 (3360mm) dijual pada harga RM95,900 untuk Semenanjung Malaysia. Bagi Malaysia Timur, harga MSRP BJ1065VDJD4 (2800mm) ialah RM100,900, manakala BJ1065VDJD6 (3360mm) berharga RM102,900. Setiap City Flyer dilindungi waranti lima tahun atau 200,000km, mana satu tiba dahulu.