News in:  BM | TH | CN

Published: 31 May 2022

MAN Malaysia Anjur Acara Lawatan dan Dialog yang Julung Kali Diadakan dengan Kementerian Pengangkutan dan Agensi Kerajaan Lain

Selepas menjadi pengeluar trak pertama di Malaysia yang menawarkan enjin Euro V sebagai enjin standard, MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd (MAN Malaysia) sekali lagi mempamerkan kepimpinan apabila secara aktif bertemu dengan pihak berkuasa bagi menangani isu-isu yang dihadapi oleh syarikat pengeluar dan juga syarikat pengangkutan.

Delegasi seramai 12 orang pegawai dari Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Puspakom dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah dijemput oleh MAN Malaysia untuk mengunjungi ibu pejabat syarikat di Rawang dan kilang pemasangan di Serendah baru-baru ini.

Pengarah Urusan MAN Malaysia, Andrew O’Brooks merakamkan penghargaan kepada MOT atas usaha mengumpulkan agensi-agensi berkaitan pengangkutan darat untuk pertemuan yang julung kali dianjurkan.

“Kami berbesar hati atas kesudian pihak Kementerian untuk mendengar dan berinteraksi dengan kami bagi meningkatkan kecekapan proses pendaftaran trak baharu dan mencari jalan untuk memberi insentif kepada syarikat pengangkutan yang komited untuk mengurangkan pelepasan dengan melabur dalam trak-trak yang dilengkapi enjin berspesifikasi Euro V.

MAN komited sepenuhnya untuk mengurangkan jejak karbon kami dan pada masa yang sama memberi tumpuan untuk menghasilkan nilai yang mampan untuk tempoh jangka panjang. Ini menjelaskan mengapa kami membuat keputusan yang berani untuk melengkapkan semua produk Trak kami di Malaysia dengan enjin yang mematuhi paras pelepasan Euro V mulai tahun 2022.

Keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk diambil dan memerlukan pengorbanan. Walau bagaimanapun, kami dapat melihat manfaat untuk Malaysia dan para pelanggan kami melalui langkah yang kami ambil untuk mengurangkan pelepasan kenderaan di negara ini,” beliau berkata.


Ketua Delegasi Puan Rosnina Yaacob, Timbalan Setiausaha Bahagian I, Bahagian Perancangan Strategik Dan Antarabangsa, MOT, berkata bahawa Kementerian mengalu-alukan inisiatif yang diambil oleh para pengeluar untuk mengeratkan hubungan kerana ini juga membantu pihak kerajaan memahami dengan lebih lanjut tentang keperluan mereka selain memahami teknologi trak terkini yang digunakan di negara ini.
“Kementerian akan sentiasa berusaha untuk menyediakan dasar-dasar yang lebih baik bagi membantu industri pengangkutan, terutamanya dalam memendekkan dan mempercepatkan proses permohonan pelbagai permit dan kelulusan. Kami gembira dapat menyertai sesi lawatan dan dialog antara kementerian dan agensi-agensi yang berkaitan dengan MAN Malaysia. Sesi yang dianjurkan ini telah memberi manfaat kepada semua pihak.”