News in:  BM | TH | CN

Published: 18 May 2022

Scania Ditauliahkan Sebagai Pengeluar Kenderaan Perdagangan Berat Pertama di Malaysia Sebagai Pusat Sistem Latihan Dual Nasional Oleh JPK Kementerian Sumber Manusia

Scania Malaysia telah ditauliahkan sebagai Pusat Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) atau National Dual Training System (NDTS), oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) atau Department of Skills Development, Kementerian Sumber Manusia. Ini menjadikan Scania Malaysia satu-satunya syarikat dalam industri kenderaan perdagangan berat di Malaysia yang mendapat tauliah untuk program latihan ini. Bermulanya program latihan bagi tahun 2022 telah diadakan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara, Dusun Tua (IKTBNDT) dan telah dirasmikan oleh Dalila Sharingat, Pengarah, IKTBNDT. Mewakili Scania ialah Navindran Rajendran, People and Culture Business Partner, Scania Asia Tenggara, Khairull Anuar Ismail, Pengurus Pusat Bertauliah SLDN, Scania Malaysia dan Nurulain Sulaiman, Jurulatih SLDN, Scania Malaysia.

Objektif SLDN adalah untuk melahirkan pekerja berpengetahuan (K-Workers) yang mempunyai elemen kompetensi iaitu teknikal, sosial, Kemanusiaan dan Kaedah. Program Perantisan SLDN Scania ialah program latihan yang direka untuk individu daripada latar belakang Kejuruteraan Automotif Perdagangan / Berat yang ingin melanjutkan kerjaya dalam bidang teknikal (juruteknik) dalam Scania. Ia akan dilakukan melalui kerjasama dengan institusi yang mengajar kemahiran melalui kursus penyelenggaraan kenderaan perdagangan. Program perantisan mengambil masa kira-kira setahun untuk diltamatkan tertumpu pada pembangunan kemahiran teknikal dan interpersonal melalui latihan formal, bimbingan dan aktiviti di tempat kerja. Pada akhir program, calon yang telah berjaya menamatkan program dan penilaian, akan ditawarkan jawatan tetap sebagai juruteknik berkelayakan sepenuh masa dalam Scania dengan dilengkapi Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 daripada JPK, Kementerian Sumber Manusia. Calon mampu menunjukkan nilai teras Scania dan cekap dari segi fungsi untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan pada kenderaan perdagangan mengikut Piawaian Operasi Peniaga Scania.

“Saya menganggap diri saya amat bertuah kerana terpilih sebagai antara ramai pemohon Program Perantisan SLDN ini dan memenuhi permintaan tinggi untuk pekerja mahir dalam industri kenderaan perdagangan berat. Prospek untuk dapat bekerja dengan Scania juga menjadi faktor pendorong saya memohon untuk menjadi sebahagian daripada usaha kerjasama antara Scania dan IKTBNDT ini,” kata Mohd Nor Zairqh Muhamad, Perantis, Program Perantisan SLDN.

SLDN atau NDTS adalah kaedah yang berasaskan konsep latihan dipacu industri yang dikendalikan melalui kerjasama antara syarikat dan institusi latihan. 'Dual' bermaksud latihan dalam dua situasi pembelajaran seperti Pusat Bertauliah SLDN di Scania Malaysia yang meliputi 70 hingga 80 peratus latihan praktikal (prestasi secara hands-on), dan pembelajaran akademik IKTBNDT yang meliputi 20 hingga 30 peratus teori (pengetahuan).

“Sebagai salah seorang juruteknik Scania yang diterima masuk ke Program Perantisan SLDN, saya berharap dapat meningkatkan kemahiran saya, melayakkan saya ke jawatan yang lebih mencabar di Scania. Saya berminat untuk melakukannya dengan baik dan mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 saya menjelang akhir 2022,” kata Khairul Hanifah, Juruteknik Penyelenggaraan, Bengkel Bukit Jelutong, Scania Malaysia.

Pusat Bertauliah SLDN bertanggungjawab untuk menawarkan, mentadbir dan memastikan kualiti Program Perkhidmatan Pembaikan Kenderaan Komersial SLDN (Kenderaan Perdagangan – Program Servis Pembaikan). Scania juga telah mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Belia dan Sukan atas kerjasama tersebut.

“Kami amat berbesar hati kerana Scania bekerjasama dengan IKTBNDT dalam melatih 10 calon pertama Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2. Mereka teruja dengan prospek untuk menerima latihan dan bimbingan yang tidak ternilai yang akan diberikan oleh Scania kepada mereka dan menantikan pemindahan amalan mampan Scania yang akan memberi manfaat kepada mereka dalam kerjaya mereka pada masa hadapan,” kata Dalila.

“Scania berbangga kerana berada dalam perkongsian mampan dengan IKTBNDT dengan melahirkan pemimpin masa depan dalam sistem pengangkutan mampan. Diharapkan para calon akan cemerlang dan terus memacu perubahan sebenar bersama Scania dan untuk industri,” kata Navin.