Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 18 December 2018

Keselamatan Adalah Lebih Mudah Dari Kita Jangkakan

Kita sering risau tentang kesihatan, keselamatan dan kedudukan kita dalam kehidupan. Kadang-kala, pihak lain yang menguruskan hal-hal itu untuk kita. Antara perkara yang paling merisaukan ibubapa adalah pelajaran anak-anak mereka maka akaun simpanan dibuka untuk memastikan cahaya mata tersayang mampu meneruskan pelajaran ke peringkat universiti. Kadang-kala, aliran pelajaran mereka juga akan ditentukan oleh orang tua. Adalah sifat manusia untuk risau tentang diri sendiri dan mereka di sekeliling kita

Namun begitu, segala kerisauan yang kita rasakan dalam kehidupan seolah-olah tidak pernah wujud apabila berada di dalam bas. Penumpang bas bagaikan telah melupakan aspek keselamatan dan anggap kecelakaan tidak akan berlaku. Saya perasan, hampir setiap kali menaiki bas, hanya saya seorang yang menggunakan tali pinggang keledar. Malah, saya akan merasa amat kecewa jika ia tidak berfungsi.

Pada saya, kepentingannya sama seperti membeli insurans kesihatan, di mana kita dengan rela membayar premium bulanan atau tahunan untuk kes-kes yang kita harap tidak akan berlaku. Kita khuatir akan tiba masa kita perlu menggunakan insurans kesihatan itu namun, mengapakah kita tidak menggunakan tali pinggang keledar ketika berada di dalam bas, sedangkan ia adalah mekanisme keselamatan yang paling berkesan sehingga ke hari ini. Alat ciptaan Volvo itu bukan sahaja adalah amat mudah untuk digunakan, tetapi ia juga tidak memerlukan perbelanjaan lebih untuk digunakan.

Apabila saya nasihati penumpang-penumpang lain untuk memakai tali pinggang keledar, ada yang akan menjawab bahawa nyawa mereka bukanlah urusan saya. Hakikatnya, ia memang urusan saya. Jika berlakunya kemalangan, sedangkan tali pinggang keledar memastikan saya masih berada di tempat duduk, penumpang-penumpang lain boleh tercampak dan menghempap saya dengan momentum yang amat kuat lantas membunuh saya.

Ramai memberi sebab mengapa tali pinggang keledar bas tidak patut digunakan, antara alasannya adalah ia tidak selesa tetapi ia sesuatu yang boleh menjadi kebiasaan dan lama-kelamaan menjadi refleks atau tabiat. Jika ada yang memberi alasan bahawa kemalangan tidak berlaku setiap masa, maka mengapa pula kita risaukan insurans kesihatan atau insurans pemandu pihak ketiga? Kenapa rancang pembelajaran anak-anak kita 10 tahun awal jika kita tidak endahkan keselamatan mereka sekarang?

Saya amat beratkan isu keselamatan dan kadang-kala, untuk memastikan kehidupan yang bahagia, menitikberatkan perkara-perkara mudah berkaitan dengan keselamatan sudah memadai. Semoga dengan kemudahan-kemudahan keselamatan seperti tali pinggang keledar, saya tidak akan perlu menggunakan insurans kos tinggi.