Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

MAN Mantapkan Kumpulan Kenderaan Megalift

Megalift Sdn Bhd, pakar pengangkutan kargo berat dan bersaiz besar, telah menambah lima unit penggerak utama MAN TGS 6x2 berkuasa Euro V untuk menyertai flit kenderaan syarikat. 

Selepas menerima dua unit MAN TGS yang baharu pada awal tahun ini, Megalift seterusnya menerima baki tiga unit daripada MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd baru-baru ini di ibu pejabatnya di Shah Alam. Pengarah Urusan MAN Malaysia Andrew O’Brooks secara rasminya menyerahkan kunci kepada Ketua Pegawai Eksekutif Megalift Edwin Tan dan Yeow Kong Sang. 

“Sebelum ini kami agak keberatan untuk melabur dalam Trak MAN kerana tidak banyak kenderaan ini yang terdapat di jalan raya dan alat gantinya juga kurang di pasaran.  Walau bagaimanapun, selepas mencuba beberapa unit yang terpakai, kami teruja dengan kuasa dan ketahanan Trak MAN dan membuat keputusan untuk membeli unit-unit baharu terus daripada MAN Malaysia.  Peningkatan bilangan MAN TGS yang baharu di jalan raya, penubuhan ibu pejabat MAN Malaysia di Shah Alam serta servis jualan dan selepas jualan yang cekap membuatkan kami yakin dengan jentera ini,” kata  Yeow. 

Ketika menyampaikan penghargaan kepada Megalift kerana memilih MAN TGS yang berkuasa Euro V, O’Brooks memberi jaminan kepada syarikat bahawa MAN Malaysia akan terus meningkatkan keupayaan selepas jualan bagi memberikan sokongan yang lebih baik kepada pelanggan. 

“Bengkel cawangan kami di Pelabuhan Klang kini sedang diubahsuai dan kami juga sedang menambah jumlah mekanik di semua cawangan,” kata beliau lagi. 

2023

  • Hits: 258

Globonus terima empat unit trak MAN TGS ADR baharu, tempah lima unit lagi

Trak penggerak utama MAN TGS berkuasa Euro V telah memenangi hati syarikat perkhidmatan logistik Globonus Sdn Bhd dari Kedah. 

Di majlis penerimaan empat unit MAN TGS ADR 6x2 yang baharu daripada MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd (MAN Malaysia), Globonus yang teruja dengan kenderaan tersebut telah menempah lima unit lagi untuk keperluan syarikat. 

ADR atau “Accord Dangereux Routier” dalam bahasa Perancis bermaksud “Perjanjian Eropah tentang Pengangkut Barangan Bahaya melalui Jalan Raya Antarabangsa” dan merupakan standard yang mentadbir pengangkutan barangan bahaya melalui jalan raya.  

Pembelian yang baharu ini akan menjadikan MAN sebagai jenama trak utama dalam flit kenderaan Globonus yang sedang pesat berkembang. Syarikat buat masa ini mengendali enam unit MAN TGS baharu dan lima unit terpakai. 

Pengarah Eksekutif Globonus Muhd Jamal Pawanteh berkata syarikatnya memerlukan trak yang berprestasi tinggi dan boleh dipercayai untuk mengangkut pelbagai jenis produk kimia dengan selamat dan mampan ke seluruh Semenanjung Malaysia termasuk merentasi sempadan ke Thailand dan pada masa yang sama mengurangkan kesan kepada alam sekitar. 

“Trak-trak kami berada di jalan raya enam hari seminggu untuk mengangkut produk-produk yang sensitif antaranya urea, cecair ekzos diesel, cecair metanol dan gas ammonia dari pangkalan kami di Gurun sehingga sejauh ke Singapura. MAN TGS berkuasa Euro V baharu dengan spesifikasi ADR telah mengatasi jangkaan kami menerusi penggunaan bahan api yang cekap, pelepasan yang rendah dan tempoh ketersediaan yang lebih lama.  Para pemandu kami teruja dengan kuasa dan tahap pengendalian MAN TGS yang hebat. Sokongan selepas jualan daripada MAN cawangan Prai juga sangat baik,” kata Jamal. 

Selaras dengan komitmen Globonus terhadap kemampanan dan neutral karbon, enjin Euro V MAN TGS dengan pelepasan yang rendah telah membolehkan syarikat mengurangkan jejak karbon dalam flit kenderaannya dan memenuhi syarat ketat sesetengah klien multinasional syarikat. 

Pengarah Urusan MAN Malaysia, Andrew O’Brooks memuji wawasan Globonus untuk meningkatkan keupayaan kumpulan kenderaan syarikat dengan MAN TGS berkuasa Euro V. Beliau berjanji akan memastikan bahawa trak-trak ini disokong oleh operasi Pengurusan Khidmat Pelanggan syarikat yang sentiasa dipertingkatkan.

“Kami gembira mengetahui bahawa pasukan kami di Prai telah dapat memenuhi jangkaan pelanggan.  Kami sentiasa berusaha untuk menaik taraf servis kami dengan mengambil lebih ramai juruteknik yang berkelayakan selain meningkatkan kemahiran mereka dengan latihan MAN Technical. Kami juga sedang dalam proses untuk membaharui kumpulan van MAN Mobile Service untuk memastikan respons yang lebih pantas jika berlaku masalah,” kata O’Brooks.

2023

  • Hits: 255

UD Trucks dan TCIE Lancar Trak Euro 5 Tugas Berat Quester dan Tugas Sederhana Croner di Malaysia

UD Trucks dan rakan pengedar tunggalnya di Malaysia, Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE) hari ini melancarkan rangkaian trak Euro 5 yang cukup dikenali iaitu Quester (tugas berat) dan Croner (tugas sederhana). Model naik taraf itu hadir dengan pelbagai ciri yang akan menambah baik aspek tempoh penggunaan, kecekapan dan mengoptimumkan kos keseluruhan pemilikan (Total Cost Ownership) kepada para pemilik trak. Pada masa sama mengurangkan impak kepada alam sekitar.  

Quester dan Croner Euro 5 baharu tersebut ialah model pertama UD Trucks yang direka secara khusus untuk pasaran luar Jepun. Rangkaian model ini telah diperkenalkan di pasaran yang pantas berkembang dan rantau pesat membangun di seluruh dunia. Ini berikutan banyak negara mula menguatkuasakan standard emisi antarabangsa yang lebih ketat dalam usaha mengekang pencemaran serta menambah baik kualiti udara.     

Pelancaran terbaharu ini membuktikan komitmen falsafah Better Life UD Trucks untuk menjadi lebih baik kepada planet, manusia dan pertumbuhan. Falsafah Better Life memacu integrasi dari segi kelestarian yang melibatkan seluruh operasi dan proses syarikat demi mengurangkan kesan ke atas alam sekitar, meningkatkan kepuasan pelanggan, keuntungan lebih tinggi dan mencipta ruang lebih baik kepada orang ramai untuk bekerja dan hidup. 

Pengarah Urusan Hub Malaysia UD Trucks, Steve Hedouin berkata, “Pengenalan model Euro 5 Quester dan Croner merupakan satu evolusi yang signifikan. Ia dipacu oleh matlamat korporat UD Trucks bagi memberikan Better Life menerusi trak yang lebih efisien dan kurang emisi yang diperlukan oleh dunia sekarang untuk masa depan lebih mapan. 

“Dengan masalah pencemaran menjadi salah satu ancaman kesihatan serta sektor pengangkutan berdepan tekanan dari segi alam sekitar dan dunia perniagaan, ini adalah era di mana logistik yang lestari menjadi semakin kritikal. 

“Sebagai salah satu pemain industri, kami perlu menerima dan melakukan perubahan positif untuk mengurangkan emisi serta mengekalkan operasi perniagaan kami. Trak Euro 5 Quester dan Croner baharu memberi kelebihan kepada pelanggan kerana mereka boleh meningkatkan aktiviti perniagaan masing-masing. Sekali gus mengurangkan impak ke atas alam sekitar dan membuatkan mereka kekal kompetitif.” 

Rangkaian model Euro 5 baharu menampilkan teknologi Selective Catalytic Reduction (SCR) untuk meningkatkan perlindungan alam sekitar dan menjimatkan bahan api dengan signifikan. Dengan teknologi ini, nitrogen oksida kini 60% lebih kurang dan emisi partikel berkurang sebanyak 80% berbanding tahap Euro 3. 

Jika dibandingkan dengan tahap Euro 4, nitrogen oksida adalah 43% lebih kurang. Bukan itu sahaja, enjin Euro 5 juga lebih jimat dan rendah emisi CO² berbanding trak Euro 3 yang sama. 

UD Trucks ialah pengeluar trak pertama yang memperkenalkan teknologi Selective Catalytic Reduction (SCR) sejak tahun 2004. Teknologi itu terbukti boleh dipercayai berbanding teknologi kawalan emisi lain untuk mengurangkan emisi nitrogen oksida.  

Teknologi SCR dapat menjimatkan penggunaan bahan api dan kos pemilikan secara keseluruhan kerana kurang keperluan penyelenggaraan berbanding teknologi kawalan emisi yang ada sekarang. Ia juga menawarkan kuasa dan tork lebih tinggi melalui pembakaran yang optimum tanpa perlu meningkatkan saiz enjin. 

Tempoh operasi perniagaan juga dapat dipertingkat menerusi selang servis lebih baik dan tempoh penyelenggaraan yang lebih singkat. Perkara ini disokong oleh adanya AdBlue, satu bendalir ekzos diesel yang selamat untuk digunakan pada kenderaan dengan teknologi SCR. Ia berfungsi mengurangkan gas-gas berbahaya dilepaskan ke atmosfera dan boleh diperolehi di semua 26 cawangan dan pengedar TCIE di seluruh Malaysia.  

Dengan konfigurasi enjin yang lebih tahan lasak dan kurang sensitif terhadap kandungan sulfur dalam minyak, teknologi SCR menyumbang kepada jangka hayat enjin yang lebih lama serta mengurangkan pencemaran alam.  

Selain menampilkan sistem Euro 5 dengan teknologi SCR, rangkaian baharu trak Quester dan Croner juga hadir dengan kluster instrumen baharu bersama tips penjimatan bahan api pada masa sebenar. Ciri ini memberikan maklum balas yang spesifik dan segera mengenai teknik pemanduan yang lebih menjimatkan minyak kepada pemandu. 

Ketua Pegawai Operasi TCIE, Say Teck Ming berkata, “Penawaran rangkaian trak Euro 5 baharu membuktikan komitmen TCIE dan UD Trucks dalam menyokong agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus di Malaysia. Ia juga memenuhi keperluan syarikat pengendali pengangkutan moden dalam persekitaran dunia yang kian berubah. 

“Melalui kekuatan TCIE, trak Euro 5 Quester dan Croner baharu akan dihasilkan secara CKD di kemudahan pengilangan kami. Dengan rangkaian pengedar dan servis di seluruh negara, kami teruja serta bersedia untuk membantu pelanggan untuk menukar kenderaan mereka kepada trak Euro 5 Quester dan Croner yang lebih bersih dan efisien. 

“Rangkaian trak Euro 5 menawarkan segala kelebihan bagi membantu para pelanggan kami menuju jauh dengan lebih efisien dan bertanggungjawab. Pada masa sama mengekalkan segala kelebihan sedia ada yang ditawarkan oleh trak Quester dan Croner.” 

Quester menggabungkan aspek penjimatan dan ketahanan luar biasa, selain ketersambungan dan persediaan perniagaan melalui ciri UD Telematics serta keselamatan dengan pelbagai ciri termasuklah transmisi automatik manual ESCOT. 

Croner pula menawarkan ketahanan dan versatiliti menerusi rangkaian model yang luas serta boleh diubah suai bagi memenuhi pelbagai aplikasi spesifik. Ia juga menjimatkan minyak dengan reka bentuk kabin aerodinamik yang mengurangkan tahap pekali seretan serta menggunakan transmisi automatik Allison. Ruang kabinnya sangat ergonomik, luas dan selesa untuk pemandu.  

 

2023

  • Hits: 277