Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 21 April 2015

Keselamatan adalah keutamaan kami – Volvo

Selasa, 14 April, seperti biasa, saya akan memanaskan enjin kereta sebelum ke tempat kerja. Pada pagi itu, saya perlu menghadiri forum keselamatan yang diadakan oleh Volvo Malaysia di Shah Alam. Dalam perjalanan ke tempat yang dituju, beberapa soalan terlintas difikiran, apakah isu yang ingin dibangkitkan di dalam forum kali ini? Tidakkah semua pemandu trak telah mengetahui akan ciri-ciri keselamatan dan peraturan dalam menjalankan tugas mereka.

Penceramah yang diundang pada hari tersebut ialah Encik Carl Johan Almqvist, Pengarah Trafik dan Keselamatan Produk. Sebelum beliau memulakan forum, secara tidak langsung, beliau telah memberikan jawapan kepada persoalan yang timbul di dalam pemikiran saya, dimana objektif untuk forum tersebut ialah, untuk menyakinkan setiap tetamu yang berada di dalam forum agar lebih peka tentang isu keselamatan lebih dari yang dijangkakan.

Fakta pertama yang dirungkaikan oleh beliau ialah seramai 1.2 juta orang terbunuh di dalam kemalangan lalulintas seluruh dunia pada setiap tahun. Dengan fakta yang diberikan beliau mula menimbukan beberapa persoalan yang membuatkan kita mula berfikir, adakah kita akan terus berdiam diri jika ahli keluarga kita termasuk di dalam statistik tersebut? Atau rakan- rakan? Atau mungkin seseorang yang berasal dari kampung halaman kita sendiri? Tanpa disedari, persoalan yang ditimbulkan oleh Encik Carl, telah merubah expresi muka para tetamu forum.

Faktor-faktor utama kemalangan adalah tidak fokus, alkohol, pemanduan melebihi had laju, dan pengabaian penggunaan tali pinggang. Faktor-faktor yang dianggap remeh inilah yang mampu meragut nyawa seseorang yang kita sayang dan nyawa kita sendiri. Salah seorang tetamu forum, seorang pemandu trak menyuarakan persoalan beliau kepada penceramah, pihak berkuasa atau kerajaan sewajarnya melaksanakan sesuatu yang lebih efektif dan peraturan yang lebih tegas. “kenapa tidak kita sendiri menitikberatkan soal keselamatan dan peraturan demi keselamatan diri dan mereka yang kita sayang? Dan bukannya kerana kita takutkan saman atau kerana ia adalah peraturan yang telah ditetapkan,” jawab Encik Carl. Tepat sekali.

Kita telah sedia maklum bahawa pemandu trak telah diberikan latihan khusus sebelum mereka memulakan tugas, tetapi bagaimana pula dengan pemandu kenderaan biasa yang lain? Bagaimana mereka perlu tahu akan cara-cara pemanduan jika berhadapan dengan trak-trak di jalan raya? Selesai sahaja mendapatkan lesen kereta atau motor, mereka tidak akan diberikan apa-apa latihan lagi. Di sinilah sekolah memandu memainkan peranan yang penting. Pada pandangan Encik Carl, pemandu kenderaan yang lain sewajarnya diberikan pengetahuan atau latihan tentang apa yang perlu mereka lakukan jika berhadapan dengan kenderaan perdagangan berat untuk pemahaman masing-masing dan mengelakkan kemalangan.

Saya agak terkejut apabila tiada kerusi yang kosong di dalam forum kerana dipenuhi dengan pemandu-pemandu trak. Saya membuat andaian kosong, mungkin kerana makan tenghari yang disediakan. Ternyata andaian yang dibuat itu salah! Semasa sesi soal jawab diadakan, persoalan yang tidak henti dari tetamu forum menunjukkan betapa mereka begitu teruja untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan masing-masing. Forum sebegini perlu dilakukan dengan lebih kerap lagi.

Fajar adalah penulis untuk majalah Asian Trucker. Beliau menitikberatkan isu keselamatan jalan raya dan kesihatan para pemandu trak.