Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 16 January 2015

Minum Petang Bersama “Abang Din Goreng”

Pengalaman mengajar beliau untuk terus bertahan di dalam industry.

Encik Miorsharuddin atau lebih dikenali sebagai “Din Goreng”, 43 tahun telah menerajui bidang pengangkutan selama 21 tahun. Beliau telah berkahwin dan mempunyai tiga cahaya mata. Beliau memegang kerjaya sebagai seorang pemandu trak. Terkini, beliau bekerja di bawah Syarikat Manquip Industry Sdn Bhd, memandu “self loader” treler,UD.

AT:Boleh Encik Din kongsikan tentang rutin harian bekerja sebagai pemandu trak?
D: Saya mengambil penghantaran harian, bermula dari pukul 8:30 pagi sehingga 5 petang, selewat-lewatnya sehingga 9 malam. Kebiasaannya, saya membuat penghantaran barangan seperti mesin-mesin, enjin trak, kenderaan terpakai, alat-alat ganti dan lain-lain lagi. Penghantaran lebih menumpukan kawasan sekitar Lembah Klang dan Seremban. Saya pernah mengambil penghantaran jarak jauh selama dua ke tiga hari, tetapi disebabkan faktor usia, saya hanya mampu mengendalikan penghantaran harian. (beliau ketawa kecil)

AT:Apakah cabaran yang dihadapi oleh Encik Din?
D:Cabaran sebagai pemandu trak ialah dari aspek kesabaran. Sabar pada ragam pengguna jalan raya yang lain, keadaan cuaca yang tidak menentu, keadaan trak, dan paling penting mestilah sabar dengan diri sendiri. Jika kita gagal bersabar dengan diri sendiri, disitulah emosi akan menguasai kita, sekaligus mengganggu pemanduan kita. Tanggungjawab sebagai seorang pemandu trak, bukan hanya pada barang yang perlu dihantar, tetapi terhadap keselamatan orang ramai. Walaupun sebesar mana pun kenderaan yang dipandu, tidak menjadikan kita raja diatas jalan raya.

AT:Apakah faktor yang paling dititikberatkan di dalam perkerjaan Encik Din?
D:Keadaan trak. Jika saya mendapati keadaan trak tidak selamat untuk dipandu atau mempunyai sebarang kerosakan, saya akan memberitahu majikan saya. Ini kerana, tidak berbaloi untuk mengambil risiko yang boleh membahayakan keselamatan diri saya sendiri dan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

AT: Apakah pengalaman manis Encik Din selama 21 tahun di dalam kerjaya ini dan apakah trak kegemaran Encik Din?
D: Bagi saya, setiap kali saya mendapat peluang untuk memandu trak yang berlainan kategori adalah satu pengalaman manis untuk saya. Saya suka memandu “heavy haulage” kerana ia senang untuk dipandu dan dikendalikan.

AT: Apakah perancangan Encik Din dimasa hadapan.
D:Saya di dalam perancangan untuk mengusahakan perniagaan sendiri dan memiliki trak sendiri.