Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 06 January 2017

Apa itu Truck Trial?

Ia adalah sukan permotoran yang melibatkan pemanduan trak di atas permukaan yang sangat sukar. Apa yang disifatkan sebagai sukar di sini mungkin susah untuk dibayangkan oleh orang biasa; lubang berlumpur yang dalam, permukaan batu yang sangat kasar, dan kecerunan yang kadang kala lebih daripada 45 darjah, hanyalah sebahagian daripada halangan yang dihadapi oleh pemandu trak dalam sukan ini.

Ini menjadikannya seolah sebuah Olimpik bagi trak kerana ia merupakan satu bukti kekukuhan rangka sesebuah trak serta tayarnya, cara menggerakkannya serta kehandalah pemandu-pemandu trak tersebut. Sukan ini lahir di Eropah sekitar 1980-an. Dalam sukan Truck Trial, pacuan trak mestilah pacuan semua roda kerana ia hampir mustahil untuk mengatasi permukaan bumi yang tidak rata tanpa kekuatan dan kelincahan yang dapat diberikan oleh pacuan roda semua roda.

Pemandu-pemandu pula perlu handal mengendalikan trak melalui pagar yang akan ditetapkan oleh penganjur. Namun pagar-pagar ini bukanlah senang dilalui. Dengan itu, pemandu dan jentera kedua-duanya diuji oleh kesukaran ini untuk melihat limitasi mereka. Begitu pun, dengan pemandu, kami tidak maksudkan pemandu itu seorang sahaja.

Pemandu ini dilengkapkan dengan pasukannya. Rakan pemandu, sang navigator sepanjang pemanduan tersebut, akan menjadi seolah-oleh menara kawalan trafik baginya kerana dialah yang akan membantu memberikan informasi laluan manakah yang perlu diambil atau bagaimana cara mengeluarkan kenderaan tersebut daripada kondisi tanah yang mereka jejak itu. Selain itu, pasukan sandaran juga sentiasa bersedia membaiki sebarang kerosakan yang perlu dibaiki dengan segera bagi memastikan operasi mereka dapat diteruskan dengan lancar.

Dalam Truck Trial, setiap bahagian laluan akan ditentukan dengan had masa. Kebiasaannya, pemandu yang handal akan dapat melepasi halangan dalam had masa tanpa sebarang masalah. Penilaian trak ini akan diambil kira mengikut kelas trak masing-masing. Seperti disebutkan, pagar-pagar yang ditentukan oleh penganjur adalah tiang yang ditanam kukuh di dalam tanah. Halangan melepasi pahar dalam masa yang terhadlah yang akan menentukan siapa yang paling mahir dalam mengatasi mereka yang lain. Pemandu akan tahu ke mana mereka perlu membawa jentera tersebut dengan melihat tiang berwarna putih.

Pada sesetengah sesi, peserta akan dapat memilih susunan pagar yang akan mereka pandu melaluinya supaya mereka dapat mengatasi sebarang kesalahan dalam pengendalian. Akhirnya, aspek yang akan diambil kira adalah jika mereka dapat masuk dan keluar pagar tersebut dalam had masa yang ditentukan.

Namun, perkara ini bukanlah sesenang yang pembaca mungkin anggarkan. Terdapat penalti juga kepada perubahan laluan pemanduan, menyentuh tiang pagar atau merosakkannya, tidak mencapai perkara yang dikehendaki atau melebihi had masa. Pasukan yang mendapat mata penalti paling kuranglah yang akan memenangi sukan tersebut.

Akhir sekali, menang atau kalah, semuanya pasti akan berlumpur. Pun begitu, lumpur bukan pun kegusaran besar bagi para peserta kerana cabaran-cabaran permukaan yang mereka lalui terlebih besar lagi. Tidak dapat kami tekankan bagaimana mencabarnya Truck Trial bagi pemandu dan jentera mereka. Oleh itu, Truck Trial dapat dikatakan sebagai suatu simbol unggul kepada kombinasi pemandu dan trak mereka.