Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 04 February 2019

Isuzu Kekal Sebagai Jenama No 1 Kenderaan Komersial Pilihan Malaysia

Isuzu Malaysia meraikan tahun baru 2019 dengan mengekalkan kedudukan No.1 selama lima tahun berturut-turut, sebagai Kenderaan Komersial (CV) Pilihan Malaysia. Pencapaian ini berdasarkan maklumat jualan keseluruhan bagi tahun 2018 yang baru-baru ini telah dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Walaupun berdepan dengan ketidakstabilan ekonomi dan pasaran yang kian berubah, Isuzu Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan mereka sebagai CV No.1, mengakhiri 2018 dengan jumlah jualan keseluruhan sebanyak 6,036 unit yang merangkumi trak Isuzu daripada pelbagai segmen. Isuzu Malaysia juga telah mendahului jualan bagi segmen Kenderaan Komersial dengan perbezaan sebanyak 584 unit, berbanding dengan pesaing terdekat.

Sewaktu ucapan Tahun Baru, Koji Nakamura, selaku Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia Sdn Bhd, menyampaikan kegembiraan dan penghargaan beliau terhadap rakan perniagaan, serta pihak pentadbiran dan staf Isuzu Malaysia Sdn Bhd, di atas kejayaan meraih tangga teratas untuk lima tahun berturut-turut. Menurut Nakamura lagi, pencapaian hebat ini tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa sokongan teguh dan servis perkhidmatan terbaik yang telah diberikan oleh para pengedar serta para pekerja Isuzu Malaysia.

Nakamura berkata, “Walaupun berhadapan dengan pasaran yang kian tepu, Isuzu Malaysia masih dapat melangkaui jumlah jualan jenama-jenama terkemuka, disebabkan usaha gigih daripada semua pihak yang terlibat. Kepuasan hati aktiviti-aktiviti pihak pengedar juga telah bertambah baik, dengan pelbagai usaha dan pelan selepas jualan yang telah dijalankan, selain daripada penyediaan servis yang pantas melalui Pusat Servis Isuzu (ISC).”

Tambah beliau lagi, “Untuk mencapai sasaran 2019, Isuzu perlu bertindak lebih ‘proaktif’ dalam mengenal pasti potensi perniagaan baru. Kami akan berusaha ke arah memastikan sokongan padu dan kerjasama yang erat di antara bahagian-bahagian utama syarikat, supaya peluang perniagaan dapat dimaksimumkan, di samping memperbaiki aktiviti-aktiviti perkembangan pengedar.”

Menurut Nakamura, strategi yang akan diketengahkan Isuzu Malaysia bagi tahun ini masih sama – mengutamakan kepuasan hati pelanggan. Ini dapat dicapai dengan mempertimbangkan dengan teliti serta mengambil berat tentang keperluan pelanggan, selain daripada penyediaan servis selepas jualan yang sangat memuaskan. Nakamura percaya bahawa servis-servis nilai tambahan ini amatlah penting dipraktikkan, terutamanya sewaktu persaingan pasaran yang sengit dan keadaan ekonomi yang tidak menentu.