Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 19 October 2019

MOT anjur karnival kerjaya dan pendidikan sektor pengangkutan

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) akan menganjurkan Karnival Kerjaya dan Pendidikan (Sektor Pengangkutan) 2019 yang akan diadakan di Palm Mall Seremban, di sini selama dua hari bermula esok.

Karnival yang julung kali diadakan ini dengan anjuran bersama dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan dan JobsMalaysia Negeri Sembilan akan menghimpunkan pelbagai majikan dan menawarkan pelbagai pekerjaan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk temuduga terbuka, pameran jabatan, agensi dan ‘ceramah kerjaya’ dari majikan terpilih.

“Karnival ini akan disertai oleh hampir 40 majikan yang akan turut menjalankan temuduga terbuka serta menawarkan kira-kira 4,000 kekosongan perjawatan. Antara majikan yang akan menyertai karnival ini ialah Prasarana Malaysia Berhad, AirAsia, Malindo Air, Pelabuhan Tanjung Pelepas, PUSPAKOM, Touch N Go dan banyak lagi.

“Antara jawatan yang ditawarkan pula adalah seperti Pemandu Prime Mover, Mekanik Jentera Ringan & Berat, Pemandu Bas, Pemeriksa Kenderaan, jawatan- jawatan eksekutif, jawatan dalam bidang jualan, jurutera, programmer, kru penerbangan dan pelbagai lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, gaji yang ditawarkan juga adalah sangat kompetitif dan mengikut pasaran semasa di mana ada jawatan yang menawarkan gaji sehingga RM15 000.

“Di samping majikan, karnival ini juga akan turut disertai oleh jabatan dan agensi di bawah MOT seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Lembaga-Lembaga Pelabuhan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan lain-lain lagi yang akan memberikan makumat menarik mengenai perkhidmatan yang dilaksanakan oleh jabatan/agensi kepada orang awam,” katanya.

MOT seterusnya merakamkan penghargaan Kerajaan Negeri Sembilan terutamanya kepada Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Negeri Sembilan J. Arul Kumar dan JobsMalaysia Negeri Sembilan kerana telah bersama- sama MOT dalam menjayakan program dua hari ini.

Karnival itu akan bermula dari pukul 10.00 pagi hingga 5.00 petang.