Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 09 October 2019

UD Trucks Extra Mile Challenge Mulakan Pencarian Pemandu Terbaik di Malaysia Bagi Meningkatkan Logistic Pintar

Pemandu trak terbaik di Malaysia yang berjaya menunjukkan kemahiran dalam logistik pintar pada edisi keempat UD Trucks Extra Mile Challenge (UDEMC) di Malaysia telah ditemui. Beliau ialah Khairul Nafsha Bin Ishak, pemandu trak berusia 36 dari Setia Maju Jaya Logistik Sdn Bhd.

Ini merupakan tahun kedua berturut-turut pemandu dari Setia Maju Jaya Logistik Sdn Bhd memenangi pertandingan UDEMC di Malaysia. Dengan kemenangan ini, Khairul Nafsha Bin Ishak perlu lebih kerap berlatih kerana dia akan mewakili Malaysia ke pertandingan Akhir Global UDEMC di Jepun tahun depan.

Kemenangan Khairul Nafsha Bin Ishak disahkan selepas mengikuti pertandingan pra-pemilihan yang berlangsung selama dua bulan serta bersaing dengan para pemandu trak lain dari seluruh negara. Dianjurkan secara bersama oleh UD Trucks dan rakan pengedar tunggalnya di Malaysia, Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE), UDEMC merupakan pertandingan tahunan yang menjadi sebahagian daripada visi logistik pintar UD Trucks. Pertandingan mesra pemandu itu bertujuan meningkatkan kemahiran pemandu dengan menambah baik pengetahuan dan kemahiran mereka, selain memaksimumkan keupayaan trak tugas berat UD Quester.

Format pertandingan yang perlu dijalani oleh semua peserta itu meniru kitaran operasi trak sebenar dan menilai pemandu dari tiga aspek utama. Pemeriksaan sebelum memandu, penjimatan bahan api dan pemanduan selamat, selain kemahiran menukar haluan serta memarkir. Para peserta bersaing menggunakan trak tugas berat UD Quester dan dinilai berdasarkan kepada kecekapan kos operasi, keupayaan mengurangkan tempoh tidak beroperasi serta kemahiran dan pemanduan yang selamat.

Tujuan utama struktur pertandingan itu meniru kitaran umum pengangkutan dan menggambarkan operasi menguntungkan dengan cara mengelak tempoh tidak dapat beroperasi, mengekalkan kos operasi yang rendah, mengelak kemalangan dan memastikan tempoh perjalanan yang pendek melalui pemanduan efisien. Semua ini mempunyai kaitan dengan kemahiran pemandu dan realiti perniagaan.

Pengarah Hub Malaysia UD Trucks, Steve Hedouin berkata, “Di UD Trucks, kami percaya bahawa masyarakat bergantung kepada fungsi logistik dan begitulah sebaliknya. Pemandu trak ialah tulang belakang kepada industri ini. Justeru, UDEMC direka dengan mengambil kira keperluan pemandu, sekali gus membuktikan komitmen kami untuk meningkatkan aspek pendidikan dan motivasi pemandu. Pada masa yang sama mengiktiraf wira tidak didendang dalam logistik pintar ini.”

Ketua Pegawai Operasi TCIE, Jaclyn Loy berkata, “UDEMC adalah pertandingan pertama seumpamanya yang memberi manfaat kepada pemandu dan syarikat. Sejak kami mulakan pertandingan ini beberapa tahun lalu, UDEMC telah menerima maklum balas memberangsangkan daripada para pelanggan. Ini membuktikan bahawa janji jenama kami untuk pergi lebih jauh dan menawarkan sokongan optimum kepada pelanggan dari segi penambahbaikan pemandu dan selepas jualan sememangnya bernilai dan memberi manfaat kepada mereka.”

Selain menjuarai pertandingan ini, Khairul Nafsha Bin Ishak juga mencatat markah terbaik dalam kategori “Kemahiran Memandu Terbaik”. Dua lagi pemandu yang memenangi kategori yang lain ialah Mohamed Firdaus Bin Shahrudin, pemandu trak berusia 33 tahun dari UPC Chemicals (Malaysia) Sdn Bhd yang memenangi kategori “Pemeriksaan Pra-Pemanduan Terbaik”. Manakala Mohd Azli Bin Mohd Nor, pemandu trak berusia 37 tahun dari Tenaga Nasional Berhad pula memenangi kategori “Penjimatan Bahan Api Terbaik”.

Khairul Nafsha Bin Ishak memberitahu dia sudah menjadi pemandu trak selama 11 tahun dan mula memandu UD Quester sejak dua tahun lalu.

“Pengalaman saya memandu UD Quester sememangnya terbaik kerana ia cukup berkuasa dan mudah dipandu kerana memiliki pelbagai ciri keselamatan dan teknologi termaju. Terdapat ciri Real Time Fuel Coach yang saya suka kerana ia memberi panduan kepada saya untuk mendapatkan penggunaan bahan api lebih baik. Dengan ciri itu , saya dapat menjimatkan bahan api bagi setiap perjalanan dan memberi lebih banyak keuntungan kepada syarikat. Kabinnya juga luas dan selesa yang mampu mengurangkan kepenatan sepanjang perjalanan jauh.

“Sebagai seorang pemandu trak yang menghabiskan banyak masa di atas jalan raya dan berjauhan dari keluarga, cukup penting untuk saya memandu sebuah trak yang boleh dipercayai bagi membantu saya menyelesaikan tugasan jarak jauh. Selain memastikan kargo yang dihantar berada dalam keadaan baik dan tiba tepat pada masanya. Ini membolehkan saya mengurangkan kos dari segi masa, tenaga dan bahan api. Dengan tempoh operasi trak yang konsisten, saya boleh menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga,” kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Walaupun sangat gembira dengan kemenangannya, Khairul Nafsha Bin Ishak sebenarnya lebih teruja dengan perjalanan ke Jepun beberapa bulan lagi untuk bersaing dalam pertandingan Akhir Global UDEMC. “Ini merupakan kali pertama saya ke luar negara dan boleh mewakili Malaysia dalam pertandingan sememangnya satu penghormatan yang besar buat saya. Saya mendapat pengetahuan yang luas daripada UDEMC, selain mendapat banyak ilmu dan kesedaran tentang tugas saya sebagai seorang pemandu trak. Saya rasa lebih bangga sekarang. Sudah pasti saya akan berkongsi pengalaman berharga dengan rakan sekerja yang lain juga nanti.”

Khairul Nafsha Bin Ishak memenangi hadiah perjalanan yang ditanggung sepenuhnya ke Jepun, baucar Servis & Alat Ganti Quester bernilai RM2,000dan juga RM500 kerana memenangi kategori “Kemahiran Memandu Terbaik” dan sesi latihan pemandu eksklusif untuk semua pemandu dari Setia Maju Jaya Logistik Sdn Bhd.

Mohamed Firdaus Bin Shahrudin dari UPC Chemicals (Malaysia) Sdn Bhd dan Mohd Azli Bin Mohd Nor dari Tenaga Nasional Berhad, masing-masing membawa pulang baucar Servis & Alat Ganti Quester bernilai RM500.