Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 29 November 2019

UD Trucks Extra Mile Challenge Umum Pemandu Trak Terbaik di Malaysia untuk Logistik Pintar!

UD Trucks dan pengedar tunggalnya di Malaysia, Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE) telah memulakan acara tahunan UD Trucks Extra Mile Challenge (UDEMC) bagi mencari pemandu trak terbaik yang mampu mengaplikasikan aspek logistik pintar dalam dunia pemanduan trak.

UDEMC yang dianjurkan untuk tahun keempat di Malaysia adalah satu pertandingan yang mesra untuk pemandu-pemandu trak, yang bertujuan mendidik dan memberi motivasi untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan menerusi ujian latihan, teori dan praktikal. Semua pemandu yang mengambil bahagian perlu menjalani program latihan komprehensif UD Trucks yang terdapat di dalam struktur pertandingan.

Pertandingan itu juga bermatlamat untuk mengekalkan para pemandu yang bagus, membantu mereka terus maju dan mengadaptasi terhadap perubahan dalam industri. UDEMC adalah pertandingan pertama seumpamanya yang dijalankan oleh jenama trak Jepun di pasaran ini ketika ia dilancarkan pada tahun 2016.

“UDEMC diadakan sebagai maklum balas kami terhadap memenuhi permintaan logistik pintar yang kian meningkat dengan memberi fokus kepada pemandu trak kami,” kata Pengarah Urusan UD Trucks Hub Malaysia, Steve Hedouin.

“Logistik pintar yang disokong oleh pengangkutan pintar bermaksud wujudnya aspek kecekapan, keuntungan, kelestarian dan keselamatan ketika menghantar barang. Ia sepatutnya wujud secara harmoni dengan persekitaran dan masyarakat. Paksi kepada perkara ini ialah pemandu trak yang mampu menjadi simbol kepada semangat pertandingan ini.

“UDEMC adalah lanjutan kepada janji jenama kami untuk merentasi jauh demi para pelanggan. Salah satu cabaran utama yang sering dihadapi oleh syarikat pada hari ini ialah kurangnya pemandu yang mahir. Pertandingan UDEMC ini menambah lengkap kekuatan kami dalam membina trak lebih pintar yang diperlukan oleh dunia pada hari ini.

“Melalui pertandingan ini, matlamat kami adalah untuk membantu pelanggan menarik minat dan mengekalkan pemandu yang bagus, dan membantu para pemandu meningkatkan kemahiran dalam penjimatan kos operasi, selain menjaga trak, kargo, alam sekitar dan sentiasa mengutamakan keselamatan,” kata Hedouin.

Sepanjang pertandingan ini, para pemandu berpeluang menunjukkan kemahiran, pengetahuan dan profesionalisme dalam siri ujian yang melibatkan pemeriksaan kondisi trak sebelum memandu, penjimatan bahan api, pemanduan selamat, kemahiran menukar haluan dan memarkir.

Tujuan utama struktur pertandingan ini adalah untuk meniru kitaran umum pengangkutan. Ia juga mengajar para pemandu membayangkan cara menjalankan operasi logistik yang menguntungkan, melalui cara mengekalkan kos operasi yang rendah, mengelak kemalangan dan memastikan tempoh pejalanan lebih pendek melalui pemanduan yang efisien. Semua ini akan menghubungkan kemahiran pemandu dengan realiti perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif TCIE, Jaclyn Loy berkata, “UDEMC bukan sahaja tentang kemampuan teknikal pemandu. Ia juga menggalakkan pemandu berfikir secara komersial dan bagaimana kecekapan mereka boleh meningkatkan produktviti. Ia memberi manfaat kepada semua melalui penjimatan bahan api serta keselamatan.

“Akhirnya, setiap pemandu dapat tahu bagaimanakah prestasi mereka kerana keputusan ujian akan dianalisa dari segi pengiraan kos dan keuntungan yang jelas serta mudah difahami.

“Pemandu trak sememangnya sangat penting dalam proses keseluruhan logistik pintar. Mereka merupakan wira ekonomi yang membawa pengangkutan setiap hari, tanpa mengira keadaan. Penyertaan dalam UDEMC membolehkan mereka melihat impak positif dan menyemai rasa bangga terhadap pekerjaan serta memberi inspirasi untuk menjadi pemandu logistik pintar yang luar biasa. Inilah yang diperlukan oleh industri demi pertumbuhan pada masa akan datang,” jelas Loy.

Penyertaan UDEMC terbuka kepada semua pemandu trak Quester yang layak dan bekerja dengan pelanggan UD Trucks kerana mereka akan diuji menggunakan trak tugas berat UD Quester. Pertandingan ini diadakan dalam beberapa peringkat melibatkan pusingan kelayakan yang mengambil tempat di seluruh negara.

Pusingan kelayakan diadakan di Batu Caves, Johor Bahru, Bukit Mertajam dan Kuantan. 10 orang pemandu yang mencatat skor terbaik akan bersaing di peringkat akhir Malaysia yang akan diadakan di TCIE Ipoh pada November ini. Pemandu terbaik dari Malaysia akan berpeluang mewakili negara dan bersaing dengan pemandu lain dari seluruh dunia di peringkat akhir di Jepun pada April tahun depan.