Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 17 July 2020

Dua Pengedar Baharu Sertai Rangkaian Luas Isuzu Malaysia

Terkini, seiring dengan pelan perkembangan syarikat, Isuzu Malaysia Sdn Bhd telah meluaskan rangkaian cawangan kenderaan komersial di seluruh Malaysia dengan penambahan dua lagi pengedar sah baharu. Pengedar sah tersebut ialah GB Motors Sdn Bhd yang terletak di Taiping, Perak; dan Truck Venture Sdn Bhd yang berpusat di Petaling Jaya, Selangor.

Cawangan bagi kedua-dua pengedar ini terletak di lokasi strategik bagi memudahkan para pelanggan di kawasan tersebut, selain menawarkan pelbagai pilihan kenderaan komersial yang bersesuaian dengan keperluan perniagaan yang berbeza.

GB Motors Sdn Bhd, yang berlokasi di Jalan Simpang, Taiping, telah memulakan operasi perniagaan mereka sejak Februari 2020. Dari segi jualan, fokus cawangan ini lebih kepada menawarkan trak komersial Tugas Ringan dan trak pikap. Di samping itu, cawangan GB Motors ini juga menawarkan khidmat kemudahan pusat 3S yang merangkumi jualan, servis selepas jualan dan alat ganti bagi memenuhi permintaan pemilik trak Isuzu di kawasan Utara.

Sementara itu, Truck Venture Sdn Bhd menawarkan pilihan lengkap kenderaan komersial Isuzu di bilik pameran mereka yang berlokasi di Seksyen 51A, Petaling Jaya. Truck Venture telah mula beroperasi sejak Mei tahun ini dan yakin bahawa syarikat mereka mampu berkembang secara positif, dengan pembukaan semula ekonomi secara stabil dan berperingkat selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan diisytiharkan.

Menurut Koji Nakamura, selaku Ketua Pegawai Eksekutif, Isuzu Malaysia Sdn Bhd, “Melalui rangkaian pengedar sah kami yang sentiasa berkembang, dan sejajar dengan visi syarikat untuk tahun 2020, iaitu ‘Hanya yang Terbaik untuk Anda’, kami di Isuzu Malaysia bertekad untuk menawarkan produk berkualiti tinggi dan dipercayai, di samping perkhidmatan selepas jualan yang professional, bagi memastikan kepuasan pelanggan”.

Buat masa ini, dengan pertambahan cawangan GB Motors Sdn Bhd dan Truck Venture Sdn Bhd, Isuzu Malaysia mempunyai sejumlah 11 cawangan di Zon Tengah, sembilan cawangan di Zon Utara, 10 cawangan di Zon Selatan dan tujuh cawangan di Zon Pantai Timur. Selain itu, Isuzu Malaysia juga mempunyai beberapa cawangan di Malaysia Timur, dengan tujuh cawangan yang terletak di Sabah, dan tujuh lagi di sekitar Sarawak.