Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 01 September 2020

Isuzu Malaysia Lancar Rankaian Model Elf Yang Dipertingatkan Dengan Isuzu Safety Plus, Kini Lebih Selamat Efisyen

Isuzu Malaysia melancarkan rangkaian model ELF yang telah dipertingkatkan dengan platform Isuzu Safety Plus yang memaparkan kombinasi ciri-ciri sistem keselamatan penting, dan juga kesesuaian dengan bahan api biodiesel B20 serta manfaat jaminan lebih baik. Semua ini bagi memenuhi keperluan pasaran semasa dan memberi penyelesaian pengangkutan yang lebih efisyen kepada pengendali-pengendali trak di Malaysia.

Penambahbaikan itu boleh didapati pada 18 variasi ELF yang terdiri daripada kenderaan 4 roda sehingga 6 roda. Menerusi pengenalan trak baharu yang telah dipertingkatkan ini, Isuzu kini menawarkan rangkaian trak tugas ringan yang dilengkapi platform komprehensif Isuzu Safety Plus yang paling banyak. Ia juga dilengkapi ciri-ciri lain bagi membantu pengendali trak menjalankan perniagaan dengan lebih selamat, produktif dan mampan

“Rangkaian model ELF yang dipertingkatkan dengan Isuzu Safety Plus ini membuktikan satu evolusi menyeluruh dalam penawaran tahap keselamatan dan prestasi lebih baik yang sememangnya diinginkan oleh pengendali trak. Ini bagi membolehkan mereka mengendalikan perniagaan dengan lebih efektif dalam persekitaran pasaran pada hari ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura.

Platform Isuzu Safety Plus merangkumi empat ciri utama keselamatan iaitu Anti-lock Braking System (ABS), Electronic Brake Force Distribution (EBD), Anti-slip Regulator (ASR) dan Supplemental Restraint System (SRS) Airbag.

Rangkaian trak ELF dengan Isuzu Safety Plus merupakan yang pertama di dalam segmennya yang menawarkan kelebihan penuh Teknologi S.E.E Isuzu, yang merangkumi tiga aspek utama iaitu Keselamatan (Safety), Ekonomi (Economy) dan Alam Sekitar (Environment). Model-model trak ini menjadi peneraju dalam pasaran dari segi aspek keselamatannya menerusi pengenalan pelbagai ciri keselamatan aktif dan pasif. Aspek ekonomi pula melibatkan jaminan ekstensif yang ditawarkan dan penjagaan alam sekitar melalui penggunaan teknologi yang mesra bahan api biodiesel B20.

“Dengan Teknologi S.E.E Isuzu, rangkaian model ELF dengan Isuzu Safety Plus ini dapat memenuhi keperluan pengendali trak yang mahukan sebuah trak yang cekap, selamat, jimat dan bersih – semuanya ditawarkan dalam satu trak tugas ringan yang dinamik, versatil dan boleh dipercayai,” kata Koji Nakamura.

Isuzu ELF adalah trak tugas ringan paling laris selama 10 tahun di Malaysia. Pengenalan rangkaian model baharu ini dijangka akan mengukuhkan lagi kedudukannya itu.

“Rangkaian trak ELF dengan Isuzu Safety Plus merupakan rakan pengedaran yang ideal dan bakal menjadi pengubah dalam segmennya. Kami di Isuzu percaya kami sekali lagi telah menaikkan taraf. Kami yakin bahawa rangkaian yang telah dipertingkatkan ini mampu membawa kami untuk mencatat satu lagi pencapaian sebagai trak tugas ringan paling laris di Malaysia pada tahun ini dan masa depan,” tambah Koji Nakamura.

Menawarkan ciri keselamatan aktif untuk perlindungan maksimum, ciri keselamatan ABS dalam platform Isuzu Safety Plus mengurangkan risiko gelincir dengan mengelakkan tayar daripada terkunci apabila brek ditekan di atas permukaan jalan yang licin. Ia membantu mengekalkan cengkaman pada pemukaan jalan, seterusnya memberi lebih kestabilan ketika mengubah haluan dan pengendalian lebih mantap.

Dipadankan dengan ABS ialah EBD yang berfungsi mengagihkan kuasa brek yang ideal ke semua roda berdasarkan kepada berat muatan, kondisi jalan dan kelajuan. Ciri ini memaksimumkan kuasa brek dengan menawarkan agihan kuasa brek yang tepat. Ini membolehkan pemandu mengawal kenderaan dengan lebih baik.

Kelebihan Isuzu Safety Plus dipertingkatkan lagi menerusi fungsi ASR yang mempunyai pilihan on/off. ASR boleh menghalang roda daripada tergelincir di atas permukaan jalan licin dan ketika mengambil selekoh dengan meningkatkan aspek cengkaman. Ia juga dapat meningkatkan jangka hayat tayar.

Tambahan lagi, ciri keselamatan pasif yang turut dipasang pada rangkaian ELF dengan Isuzu Safety Plus ialah beg udara atau SRS (Supplemental Restraint System). Ia berfungsi mengurangkan impak dan kecederaan pemandu jika melanggar kenderaan atau objek yang statik atau sedang bergerak secara berdepan.

Bukan itu sahaja, sistem tali pinggang keledar menawarkan dua fungsi utama untuk memastikan keselamatan. Pertama, Seat Belt Pre-Tensioner berfungsi dengan menarik tali pingang keledar secara serta-merta dan mengetatkannya untuk menyelamatkan pemandu. Kedua, Seat Belt Load Limiter melepaskan tekanan secara perlahan-lahan supaya tidak memberi tekanan terlalu tinggi kepada dada pemandu, sekali gus mengurangkan kecederaan badan jika berlaku kemalangan dari arah hadapan.

Bukan sekadar ciri keselamatan, rangkaian trak ELF yang telah dipertingkatkan Isuzu Safety Plus ini dibina di atas teknologi dan ketahanan yang sudah terbukti. Trak itu boleh menggunakan bahan api diperbaharui semula iaitu biodiesel B20 seperti yang dimandatkan oleh kerajaan dalam usaha menggalakkan penggunan bahan bakar lebih bersih, seterusnya meningkatkan kelestarian tenaga, menambah baik kualiti udara dan alam sekitar negara.

Pelanggan yang membeli rangkaian model ELF dengan Isuzu Safety Plus akan menikmati jaminan lanjutan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 200,000km (mana-mana tiba dahulu). Jaminan ekstensif itu merupakan antara yang terbaik di pasaran, sekali gus membuktikan komitmen Isuzu dalam menawarkan sokongan jangka panjang dan mantap kepada para pelanggannya di Malaysia, selain membantu mengurangkan kos operasi keseluruhan mereka.