Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 16 November 2020

Mansang Logistics – Operator Trak Pertama di Sarawak Yang Berusaha untuk Mengurangkan Jejak Karbon Dengan Scania Ecolution

Mansang Logistics telah menjadi operator trak yang pertama di Sarawak untuk menandatangani perjanjian Scania Ecolution. Majlis yang dimeterai diantara Scania Malaysia yang diwakili oleh Pengurus Kawasan Pantai Timur dan Malaysia Timur, Scania Asia Tenggara, Phang Yee Fong, dan Mansang Logistics Sdn Bhd yang diwakili oleh Lim Kee San, Ketua Pengurusan Pelanggan. Ini merupakan satu langkah yang semula jadi kerana pengurangan jejak karbon serta penjagaan alam sekitar adalah sebahagian dari teras utama bagi Mansang Logistics.

Pengarah Urusan Mansang Logistics, Alex Lai Sian Ann memahami impak dan tanggungjawab syarikat beliau ke atas alam sekitar terutama sekali apabila teras perniagaan mereka bertumpu pada pengangkutan jarak jauh. Memandangkan
kebanyakan pengangkutan yang digunakan syarikat beliau akan bergerak beribu-ribu kilometer ke kawasan luar bandar setiap hari, maka tidak menghairankan apabila mereka ingin menandatangani perjanjian Scania Ecolution sebagai langkah
mengurangkan penggunaan bahan api dan secara langsung dapat mengurangkan jejak karbon mereka juga. Scania Ecolution adalah perjanjian tentang cara kerja yang dihasilkan khas di antara Scania dan para pelanggan. Fokus utama cara kerja ini adalah untuk mengurangkan penggunaan bahan api yang mana dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida ke udara selain dapat mengurangkan kos operasi dan secara langsung meningkatkan keuntungan serta memenuhi permintaan inisiatif mesra alam yang semakin meningkat.

"Kami amat berbangga menjadi rakan kongsi Scania Ecolution yang pertama di Sarawak di mana negeri ini mempunyai salah satu hutan hujan yang terbesar dan tertua di dunia. Kehidupan yang lestari adalah cara hidup semula jadi bagi rakyat Sarawak dan Mansang Logistics berniat untuk meneruskan cara hidup ini. Dengan kekayaan biodiversiti yang terdapat di Sarawak, ianya menjadi tugas kita untuk memastikan generasi masa hadapan dapat menikmati keajaiban alam sekitar dan Scania Ecolution adalah langkah pertama untuk memelihara alam sekitar kita," kata Alex. 

Semenjak beberapa tahun yang lepas, Scania telah berjaya mengurangkan pembebasan karbon dioksida ke udara bagi semua operasi mereka termasuk pengangkutan dan logistik. Scania juga telah berkerja keras untuk mengurangkan pembebasan bahan kimia bahaya daripada produk mereka melalui langkah-langkah kecekapan bahan api. Semenjak lebih dari 25 tahun, Scania telah menawarkan pilihan produk bahan api alternatif terbesar dalam industri. Pada September 2019, Scania telah mengumumkan penetapan Sasaran Berasaskan Sains atau 'Science Based Targets' (SBTi). Kelulusan sasaran ini merupakan satu lagi kejayaan Scania ke arah matlamat menyediakan pengangkutan yang menggunakan bahan api bebas-fosil.

"Di Scania, kami percaya kemampanan dan keuntungan boleh diselarikan. Kami gembira Mansang akan bersama kami dalam perjalanan menuju ke arah sistem pengangkutan mampan," kata Phang Yee Fong. 

Ditubuhkan pada tahun 2010, Alex Lai yang dibantu oleh Henry Tiong telah mengasaskan perniagaan perkhidmatan 'milk run' di bawah syarikat P.M.S. Enterprise. Perniagaan utama adalah penghantaran barangan setiap hari dari bandar-bandar utama ke kawasan pedalaman seperti Belaga, Bakun dan Sungai Asap dengan menggunakan pelbagai jenis pengangkutan seperti trak pacuan empat roda dan bot. Pada tahun 2015, Alex Lai yang mempunyai pengalaman lebih sedekad dalam sektor penyelenggaraan dan fabrikasi memutuskan untuk mengembangkan dan telah menubuhkan Mansang Logistics Sdn Bhd dan tugas pertama beliau adalah untuk memastikan syarikat baharu ini dapat menyelaras penghantaran ke tujuh daerah di Sarawak yang terletak dari utara hingga ke selatan. Sewaktu di awal operasinya Alex menggunakan trak pacuan empat roda untuk penghantaran. Alex yang memimpin sebagai Pengarah Urusan Mansang Logistics memberi fokus utama beliau pada sudut operasi manakala isteri beliau, Lim Kee San pula memberi fokus kepada pengurusan pelanggan. Dengan sokongan jitu daripada ahli keluarga dan rakan-rakan, mereka berjaya melaksanakan penghantaran harian melalui kawasan pendalaman Sarawak.