Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 18 May 2020

Trak Isuzu Memperkukuh Perkhidmatan Lojistik Syarikat Nippon Express (Malaysia) Sdn Bhd

Pada awal tahun ini, sempena pemerolehan terkini trak-trak kontena Isuzu GIGA GXR360 oleh syarikat Nippon Express (Malaysia) Sdn Bhd, Isuzu Malaysia Sdn Bhd telah menganjurkan sebuah majlis penyerahan yang telah diadakan di cawangan Nippon Express di Johor.

Trak-trak GIGA Prime Mover tersebut telah diperoleh melalui Key Power Motor Sdn Bhd, pengedar sah Isuzu Malaysia yang berpusat di Skudai, Johor.

Nippon Express (Malaysia) Sdn Bhd menyediakan pelbagai solusi perkhidmatan lojistik dan servis berkualiti tinggi yang disesuaikan mengikut keperluan perniagaan. Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk pengangkutan barangan dan servis, pengangkutan yang disesuaikan mengikut keperluan, pengurusan rantaian bekalan, serta kemudahan gudang & pengagihan.

Pemerolehan ini melibatkan dua unit trak Isuzu GIGA GXR360, yang dilengkapkan dengan badan trak jenis beralun (‘corrugated’), dan merupakan penambahan baharu kepada flit pengangkutan sedia ada Nippon Express Malaysia. Kedua-dua unit ini akan ditempatkan di cawangan Nippon Express di Johor Bahru. Namun, penggunaannya dijangkakan akan merangkumi operasi lojistik di seluruh Semenanjung Malaysia.

Sewaktu majlis penyerahan, Atsunori Murata, selaku Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, telah menyampaikan penghargaannya kepada Nippon Express Malaysia, di atas sokongan dan kepercayaan mereka terhadap trak komersial Isuzu. Murata percaya bahawa pemerolehan trak Isuzu GIGA ini mampu memperkasakan Nippon Express Malaysia dengan memastikan perkhidmatan yang ditawarkan sentiasa pantas, cekap dan menjimatkan kos, serta dapat dioptimumkan mengikut pelbagai keperluan perniagaan.

Sebagai tanda penghargaan, Murata telah berkesempatan untuk menghadiahkan sebuah Trak Miniatur Isuzu dan Kunci Replika kepada wakil-wakil daripada Nippon Express Malaysia, iaitu Richard Gui, Pengurus Besar, dan Hiromasa Moriya, Pengurus Akaun Korporat.

Majlis turut dihadiri Mohd Khairuddin B. Ramli, Penolong Pengurus di Jabatan Pengangkutan, Nippon Express Malaysia; dan Phang Jiu Leon, Pengurus Jualan, Key Power Motor Sdn Bhd.