Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 26 November 2021

MAN Truck & Bus Memperkenalkan Trak Tugas Berat Pertama dengan Enjin Euro V Sebagai Standard di Malaysia

MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd telah melancarkan MAN Truck Generation Baharu, rangkaian trak tugas berat baharu di Malaysia yang berorientasikan kepada keperluan industri pengangkutan yang sentiasa berubah dan menetapkan piawaian baharu dalam aspek penting seperti orientasi pemandu, sistem bantuan, ketersambungan digital dan pengurangan kesan ke atas alam sekitar.

Trak MAN Truck Generation baharu didatangkan dengan enjin Euro V sebagai standard, menjadikan MAN Malaysia pengeluar Trak tugas berat pertama di negara ini yang berbuat demikian dan seterusnya memenuhkan tanggungjawabnya dalam membantu mengurangkan jejak karbon industri pengangkutan dan logistik.

Pelancaran ini tepat pada masanya berikutan langkah kerajaan Malaysia mengumumkan hasratnya untuk mencapai status neutral karbon menjelang 2050. Enjin Euro V mengurangkan pelepasan gas nitrogen oksida (NOx) melalui penggunaan diesel Euro V sulfur rendah dan cecair rawatan ekzos AdBlue.

MAN Malaysia menawarkan lima varian model TGS daripada rangkaian MAN Truck Generation Baharu yang dikhususkan untuk tiga aplikasi utama :
• 4x2 dan 6x2 untuk pengangkutan/kontena;
• 6x4 untuk pembinaan dan kegunaan tugas berat; dan
• 4x2 dan 6x2 dengan spesifikasi ADR (Perjanjian Berkaitan Pengangkutan Barangan Bahaya melalui Jalan Raya)
.
MAN TGS baharu didatangkan dengan dua pilihan enjin. Varian 4x2 dan 6x2 untuk pengangkutan dan membawa barangan berbahaya dikuasakan oleh enjin diesel Euro V MAN D20, 10.5 liter, 6 silinder sebaris yang terbukti dan dipercayai.

Varian 6x4 berorientasikan tugas berat mempunyai enjin D26 12.4 liter yang lebih besar dan cukup efisien. Kedua-duanya dibangunkan untuk masa hadapan, menampilkan teknologi Selective Catalytic Reduction (SCR) untuk mengurangkan perlepasan gas berbahaya ke atmosfera.

Digandingkan dengan kedua-dua enjin ini ialah kotak gear pintar MAN TipMatic 12-kelajuan yang lancar dan senyap dengan perisian canggih dan program pemanduan yang boleh dipilih untuk aplikasi yang berbeza.

Menurut Pengarah Urusan MAN Malaysia Andrew O’Brooks, MAN Truck Generation Baharu ialah produk yang menandakan evolusi MAN Truck & Bus daripada pengeluar kenderaan kepada penyedia penyelesaian pengangkutan yang bijak dan mampan.

“MAN Truck Generation Baharu ialah projek paling penting oleh MAN Truck & Bus dalam tempoh 20 tahun. Ia merupakan jawapan yang pelanggan kami harapkan daripada kami pada ketika industri pengangkutan di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, menghadapi cabaran yang pelbagai dan kompleks.

MAN Truck Generation Baharu, yang dinobatkan sebagai Trak Antarabangsa Terbaik 2021, pemenang dua anugerah iF Design Awards 2021 dan baru sahaja dinamakan sebagai Trak “Mampan” Tahun 2022; mampu memenuhi kesemua kehendak pelanggan dan pemandu. Trak ini menggabungkan sifat-sifat yang sinonim dengan trak MAN -- kelasakan, ketahanan dan kebolehpercayaan – dengan inovasi berorientasikan masa depan yang bertujuan untuk memudahkan kehidupan pemilik perniagaan dan juga pemandu,” kata beliau.

Kesesuaian pemandu dan ergonomik yang terbaik

Dibangunkan dengan input yang meluas daripada pemandu, MAN Truck Generation Baharu menetapkan piawaian baharu daripada segi kemesraan pengguna, ergonomik yang optimum, operasi yang lebih intuitif, rangkaian yang boleh dipercayai dengan peranti dan aplikasi digital serta ruang dan keselesaan yang optimum – semua ini menjurus kepada memenuhi keperluan mereka yang menghabiskan sebahagian besar kehidupan di dalam kenderaan.

MAN TGS baharu untuk pasaran Malaysia menampilkan pelbagai inovasi seperti MAN EasyControl dan SmartSelect.
MAN EasyControl terdiri daripada empat butang, dua daripadanya boleh disesuaikan untuk berbagai fungsi yang boleh dikendalikan oleh pemandu semasa berada di luar trak. Tidak perlu naik semula ke dalam kabin untuk mengaktifkan fungsi seperti lampu kecemasan, mematikan enjin, menutup tingkap dan sebagainya.

MAN SmartSelect ialah kawalan sistem infotainment dua peringkat yang disertakan dengan sandaran lengan boleh lipat untuk menjadikan operasi lebih mudah dan tepat walaupun terdapat getaran di dalam kabin semasa trak bergerak.

Stereng pelbagai fungsi kemas yang direka bentuk semula adalah lebih kecil berbanding stereng trak-trak MAN generasi sebelumnya.
Dilengkapi dengan beg udara sebagai standard untuk Malaysia, stereng baharu kini boleh dilaraskan daripada 20° kepada 55° hampir seperti kereta penumpang, menawarkan kedudukan stereng yang ideal untuk pemandu dengan bentuk badan yang berbeza.

Selain itu, terdapat juga keupayaan untuk melaraskan stereng ke hadapan kepada kedudukan parkir 0°. Ini memberikan ruang maksimum untuk memudahkan pemandu masuk dan keluar dari kabin dan untuk tempoh rehat.

Kokpit terbahagi kepada dua paras. Panel instrumen bahagian bawah kini lebih bersudut ke arah pemandu untuk kebolehcapaian optimum manakala paparan di bahagian atas diletakkan lebih jauh untuk penglihatan optimum. Ini bertujuan memudahkan penglihatan pemandu, termasuk yang lebih berusia, semasa beralih daripada membaca maklumat pada paparan kepada trafik di jalan raya.

Kecekapan dan ekonomi terulung

Enjin Euro V dalam MAN TGS baharu digabungkan dengan driveline dan komponen perisian yang baharu dibangunkan untuk memastikan tahap kecekapan yang lebih tinggi serta penjimatan bahan api yang lebih baik dan pelepasan CO² yang lebih rendah.

Aerodinamik yang dipertingkatkan bagi rekabentuk kenderaan baharu juga memainkan peranan mereka dalam pengurangan ini. Penambahbaikan produk yang menyeluruh untuk komponen dan dalam bidang penyelenggaraan dan perkhidmatan turut membantu mengurangkan jumlah kos pemilikan.

Masa operasi yang dioptimumkan – Kebolehpercayaan tinggi dan sentiasa tersedia
Ciri utama trak yang 'baik' adalah kebolehpercayaannya. MAN Truck Generation Baharu menawarkan tahap kebolehpercayaan dan kualiti produk yang lebih tinggi seperti yang disahkan dalam laporan bebas TÜV yang terkini. MAN TGS baharu menampilkan seni bina elektronik yang terkini, dipermudah, berkuasa dan sedia untuk masa hadapan. Ini bertujuan menambahbaik dan mengembangkan fungsi trak sepanjang hayat perkhidmatannya.

Selain itu, MAN Telematics, sistem penyelenggaraan digital dan pengurusan fleet yang dibangunkan secara menyeluruh dan dipasang di kilang, mampu mengurangkan ketidakcekapan operasi dan kos sambil memastikan trak MAN TGS baharu beroperasi pada tahap maksimum. Berita baiknya ialah MAN Malaysia menawarkan langganan percuma selama dua tahun dengan setiap pembelian MAN Truck Generation Baharu.

MAN TGS baharu dilengkapi dengan pelbagai sistem keselamatan dan bantuan pemandu yang inovatif untuk memastikan pemandu dan kenderaan menyelesaikan urusan mereka dengan selamat. Ini termasuk:
• Sistem Amaran Berlepas Lorong (LDW);
• Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC);
• Program Kestabilan Elektronik; dan
• Bantuan Brek Kecemasan (EBA) Termaju.

Sokongan daripada rakan kongsi yang kukuh

Selaras dengan ketibaan MAN Truck Generation Baharu, MAN Malaysia memperkenalkan sistem perundingan dan tawaran baharu yang berorientasikan keperluan pelanggan sepenuhnya.

Ini membolehkan MAN TGS baharu disesuaikan dengan tugas pengangkutan yang tepat, menggunakan pilihan konfigurasi boleh laras dan fleksibel secara menyeluruh. Ini termasuk perkhidmatan yang diselaraskan secara individu meliputi perkhidmatan penyelenggaraan dan digital, yang menjadikan trak sebagai penyelesaian pengangkutan bersepadu yang holistik – semua ini daripada satu sumber, dengan rakan hubungan peribadi yang cekap.
MAN Truck Generation Baharu menandakan transformasi syarikat secara menyeluruh di peringkat global dan dijangka memacukan jenama MAN ke peringkat seterusnya di Malaysia.