Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 31 August 2022

Bas MAN Untuk Pasaran Tempatan Didatangkan Dengan Pilihan Enjin Euro V Tahun Depan

MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd (MAN Malaysia), pengeluar kenderaan pertama di Malaysia yang menawarkan enjin Euro V sebagai standard untuk keseluruhan rangkaian traknya, sekali lagi mempamerkan keunggulan dan komitmennya terhadap kelestarian alam, kali ini dengan rangkaian casis bas. 

Berucap di MAN BAGUS, acara tahunan yang membawa bersama peserta utama dalam industri bas di kilang pemasangannya di Serendah, Pengarah Urusan MAN Malaysia, Andrew O’Brooks, mengumumkan bahawa syarikat akan memperkenalkan engin pelepasan rendah Euro V sebagai opsyen pada 2023 dalam usaha membantu syarikat bas mengurangkan jejak karbon. 

“Menjelang tahun depan, kami juga berharap mula menerima tempahan untuk casis elektrik (e-casis) MAN. Namun ia bergantung kepada infrastruktur pengecaj-EV yang kami harap akan menjadi tumpuan utama kerajaan. Ini adalah langkah penting yang diambil oleh MAN Malaysia dalam usaha kami untuk terus menawarkan opsyen mesra alam kepada industri pengangkutan. Ia juga sejajar dengan usaha kami untuk memacu Malaysia ke arah status karbon neutral menjelang 2050. Pengenalan enjin Euro V dan e-casis pasti akan membezakan rangkaian produk bas MAN, yang memang dikenali dari segi kualiti, kebolehpercayaan, keserbabolehan dan fleksibiliti,” ujar beliau. 

O’Brooks turut melahirkan keyakinan bahawa pengendali bas di Malaysia akan berpandangan jauh untuk menyertai usaha kemampanan seperti rakan mereka dalam sektor pengangkutan dan logistik yang tidak ragu-ragu memilih MAN Truck Generation Baharu dengan enjin Euro V untuk barisan kenderaan mereka.

“Saya percaya, ramai daripada kalangan peserta industri akan melihat manfaat daripada pelaburan dalam casis bas yang lebih mampan, cekap penggunaan bahan api dengan pelepasan karbon rendah. Disebabkan pengangkutan darat menjadi penyumbang utama kepada pelepasan karbon, kita semua seharusnya memainkan peranan dalam membantu mengurangkan jejak karbon industri di negara ini jika ingin mencapai status karbon neutral menjelang 2050,” kata beliau.

Di majlis tersebut, MAN Malaysia mengambil peluang untuk mengeratkan hubungan dengan pengendali bas dan berkongsi maklumat mengenai perkembangan global, selain berkongsi kejayaan MAN dalam membangunkan penyelesaian elektro-mobiliti bagi sektor pengangkutan awam seperti MAN Lion City E.

MAN Lion City E yang telahpun memulakan perkhidmatan di beberapa bandaraya di Eropah juga berjaya membuktikan kemampuannya dalam perjalanan jarak jauh.

Bas elektrik MAN ini berjaya menjelajah kira-kira 2,500 kilometer dari Munich di Jerman hingga ke Limerick di Ireland dalam Program Electrifying Europe Tour yang berlangsung daripada 29 April hingga 8 Mei 2022. Kejayaan ini membuktikan keupayaan dan kebolehpercayaannya yang luar biasa.

Bagaimanapun, beberapa isu utama perlu diatasi sebelum e-casis MAN baharu ini mampu menjadi produk yang berdaya maju di negara ini.

Pertama, sebagai negara pengeluar petroleum di mana harga runcit bahan api masih agak rendah, insentif untuk mendorong penggunaan kenderaan elektrik secara besar-besaran memang kurang.

Kedua, walapupun kerajaan berhasrat untuk mencapai status neutral karbon pada 2050, langkah yang diambil dan proses pelaksanaannya masih tidak jelas dan tidak banyak insentif diberi kepada pengguna untuk melabur dalam kenderaan elektrik perkhidmatan awam (PSV).

Ketiga, tahap pelaburan dan pembangunan stesen mengecaj serta infrastruktur yang berkaitan dengannya berkemungkinan menjadi halangan terbesar untuk membawa e-casis atau e-bas siap dipasang (CBU) ke Malaysia.