Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 29 November 2023

UD Trucks dan TCIE Lancar Trak Euro 5 Tugas Berat Quester dan Tugas Sederhana Croner di Malaysia

UD Trucks dan rakan pengedar tunggalnya di Malaysia, Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE) hari ini melancarkan rangkaian trak Euro 5 yang cukup dikenali iaitu Quester (tugas berat) dan Croner (tugas sederhana). Model naik taraf itu hadir dengan pelbagai ciri yang akan menambah baik aspek tempoh penggunaan, kecekapan dan mengoptimumkan kos keseluruhan pemilikan (Total Cost Ownership) kepada para pemilik trak. Pada masa sama mengurangkan impak kepada alam sekitar.  

Quester dan Croner Euro 5 baharu tersebut ialah model pertama UD Trucks yang direka secara khusus untuk pasaran luar Jepun. Rangkaian model ini telah diperkenalkan di pasaran yang pantas berkembang dan rantau pesat membangun di seluruh dunia. Ini berikutan banyak negara mula menguatkuasakan standard emisi antarabangsa yang lebih ketat dalam usaha mengekang pencemaran serta menambah baik kualiti udara.     

Pelancaran terbaharu ini membuktikan komitmen falsafah Better Life UD Trucks untuk menjadi lebih baik kepada planet, manusia dan pertumbuhan. Falsafah Better Life memacu integrasi dari segi kelestarian yang melibatkan seluruh operasi dan proses syarikat demi mengurangkan kesan ke atas alam sekitar, meningkatkan kepuasan pelanggan, keuntungan lebih tinggi dan mencipta ruang lebih baik kepada orang ramai untuk bekerja dan hidup. 

Pengarah Urusan Hub Malaysia UD Trucks, Steve Hedouin berkata, “Pengenalan model Euro 5 Quester dan Croner merupakan satu evolusi yang signifikan. Ia dipacu oleh matlamat korporat UD Trucks bagi memberikan Better Life menerusi trak yang lebih efisien dan kurang emisi yang diperlukan oleh dunia sekarang untuk masa depan lebih mapan. 

“Dengan masalah pencemaran menjadi salah satu ancaman kesihatan serta sektor pengangkutan berdepan tekanan dari segi alam sekitar dan dunia perniagaan, ini adalah era di mana logistik yang lestari menjadi semakin kritikal. 

“Sebagai salah satu pemain industri, kami perlu menerima dan melakukan perubahan positif untuk mengurangkan emisi serta mengekalkan operasi perniagaan kami. Trak Euro V Quester dan Croner baharu memberi kelebihn kepada pelanggan kerana mereka boleh meningkatkan aktiviti perniagaan masing-masing. Sekali gus mengurangkan impak ke atas alam sekitar dan membuatkan mereka kekal kompetitif.” 

Rangkaian model Euro V baharu menampilkan teknologi Selective Catalytic Reduction (SCR) untuk meningkatkan perlindungan alam sekitar dan menjimatkan bahan api dengan signifikan. Dengan teknologi ini, nitrogen oksida kini 60% lebih kurang dan emisi partikel berkurang sebanyak 80% berbanding tahap Euro III.

 

Jika dibandingkan dengan tahap Euro 4, nitrogen oksida adalah 43% lebih kurang. Bukan itu sahaja, enjin Euro V juga lebih jimat dan rendah emisi CO² berbanding trak Euro III yang sama. 

UD Trucks ialah pengeluar trak pertama yang memperkenalkan teknologi Selective Catalytic Reduction (SCR) sejak tahun 2004. Teknologi itu terbukti boleh dipercayai berbanding teknologi kawalan emisi lain untuk mengurangkan emisi nitrogen oksida.  

Teknologi SCR dapat menjimatkan penggunaan bahan api dan kos pemilikan secara keseluruhan kerana kurang keperluan penyelenggaraan berbanding teknologi kawalan emisi yang ada sekarang. Ia juga menawarkan kuasa dan tork lebih tinggi melalui pembakaran yang optimum tanpa perlu meningkatkan saiz enjin. 

Tempoh operasi perniagaan juga dapat dipertingkat menerusi selang servis lebih baik dan tempoh penyelenggaraan yang lebih singkat. Perkara ini disokong oleh adanya AdBlue, satu bendalir ekzos diesel yang selamat untuk digunakan pada kenderaan dengan teknologi SCR. Ia berfungsi mengurangkan gas-gas berbahaya dilepaskan ke atmosfera dan boleh diperolehi di semua 26 cawangan dan pengedar TCIE di seluruh Malaysia.  

Dengan konfigurasi enjin yang lebih tahan lasak dan kurang sensitif terhadap kandungan sulfur dalam minyak, teknologi SCR menyumbang kepada jangka hayat enjin yang lebih lama serta mengurangkan pencemaran alam.  

Selain menampilkan sistem Euro 5 dengan teknologi SCR, rangkaian baharu trak Quester dan Croner juga hadir dengan kluster instrumen baharu bersama tips penjimatan bahan api pada masa sebenar. Ciri ini memberikan maklum balas yang spesifik dan segera mengenai teknik pemanduan yang lebih menjimatkan minyak kepada pemandu. 

Ketua Pegawai Operasi TCIE, Say Teck Ming berkata, “Penawaran rangkaian trak Euro 5 baharu membuktikan komitmen TCIE dan UD Trucks dalam menyokong agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus di Malaysia. Ia juga memenuhi keperluan syarikat pengendali pengangkutan moden dalam persekitaran dunia yang kian berubah. 

“Melalui kekuatan TCIE, trak Euro V Quester dan Croner baharu akan dihasilkan secara CKD di kemudahan pengilangan kami. Dengan rangkaian pengedar dan servis di seluruh negara, kami teruja serta bersedia untuk membantu pelanggan untuk menukar kenderaan mereka kepada trak Euro V Quester dan Croner yang lebih bersih dan efisien. 

“Rangkaian trak Euro V menawarkan segala kelebihan bagi membantu para pelanggan kami menuju jauh dengan lebih efisien dan bertanggungjawab. Pada masa sama mengekalkan segala kelebihan sedia ada yang ditawarkan oleh trak Quester dan Croner.” 

Quester menggabungkan aspek penjimatan dan ketahanan luar biasa, selain ketersambungan dan persediaan perniagaan melalui ciri UD Telematics serta keselamatan dengan pelbagai ciri termasuklah transmisi automatik manual ESCOT. 

Croner pula menawarkan ketahanan dan versatiliti menerusi rangkaian model yang luas serta boleh diubah suai bagi memenuhi pelbagai aplikasi spesifik. Ia juga menjimatkan minyak dengan reka bentuk kabin aerodinamik yang mengurangkan tahap pekali seretan serta menggunakan transmisi automatik Allison. Ruang kabinnya sangat ergonomik, luas dan selesa untuk pemandu.