Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

26 July 2024

RAPID KL: 20 TAHUN MENGGALAS TANGGUNGJAWAB, MENJULANG PENGANGKUTAN AWAM

Rapid KL, jenama perkhidmatan di bawah Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi pengangkutan rel dan bas di Lembah Klang dengan penuh bangga menyambut ulang tahun ke-20 hari ini.

Semenjak ditubuhkan menerusi penggabungan beberapa perkhidmatan bas dan rel di ibu kota, dan setelah melalui transformasi dan penjenamaan semula, Rapid KL kini telah berkembang menjadi mod pengangkutan awam utama yang menggerakkan warga kota.

Bermula dengan dua laluan dan 49 buah stesen rel, serta 179 laluan bagi perkhidmatan bas, Rapid KL kini mengoperasi lima laluan dan 147 buah stesen rel serta rangkaian bas yang melebihi 250 laluan di Lembah Klang.

Hasil usaha, tekad dan komitmen lebih daripada 12 000 warga kerja Kumpulan Prasarana yang memberi khidmat kepada lebih daripada 1.2 juta orang pengguna harian secara purata merangkumi perkhidmatan rel dan bas, Rapid KL kini menjadi tulang belakang pengangkutan awam di Lembah Klang.

Rapid KL telah memainkan peranan penting dalam membudayakan pengangkutan awam sepanjang dua dekad ini, dan ini telah meningkatkan  kesalinghubungan pengangkutan awam yang lebih sistematik dan bersepadu.

Menerusi jaringan yang luas, Rapid KL terus berusaha menambahbaik perkhidmatan secara berterusan bagi memberi perkhidmatan terbaik serta memenuhi permintaan warga kota.

Dengan semangat inovasi dan kemajuan, Rapid KL terus komited untuk menjulang pengangkutan awam Malaysia ke tahap yang lebih tinggi untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada Rakyat Malaysia.

Logo Ulang Tahun dan Aktiviti-aktiviti Sambutan Istimewa
Untuk memperingati detik bersejarah ini, Rapid KL memperkenalkan logo khas sebagai lambang sambutan yang penuh bermakna.

Selain itu, Rapid KL akan mengadakan beberapa aktiviti istimewa, termasuk satu acara keraian yang bakal diadakan pada 26 dan 27 Oktober nanti. 

Acara dua hari tersebut akan menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti pesta makanan yang  mengetengahkan peniaga-peniaga lokal,  persembahan, dan aktivitiaktiviti lain bagi memeriahkan sambutan ulang tahun ini.