Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 04 October 2017

Kumar Gagah Dalam Dunia Trak Tunda

Veteran trak tunda tidak mengalah demi keluarga.

Persaingan sengit, kesalahfahaman awam, perhaduhan dan ancaman hanyalah secebis dari cabaran yang dihadapi oleh pemandu trak tunda setiap hari. Ia bukan sahaja memerlukan keberanian tetapi juga kematangan dan kebolehan untuk menilai dengan baik. Dengan pengalaman selama 24 tahun, Kumar Krishnan, 53, berkongsi ceritanya dengan Asian Trucker.

"Lima belas tahun yang lalu, trak tunda adalah bisnes yang baik. Walaupun bekerja seorangan, saya mendapat kontrak dengan nama-nama besar seperti Litar Antarabangsa Sepang, BMW dan Toyota, tetapi sekarang persaingannya sangat besar.

"Kini terdapat lebih 70 trak tunda di satu kawasan," kata bekas pemandu dan pengawal peribadi di Bank Negara itu. Kebanyakan bengkel dan syarikat juga mempunyai trak tunda mereka sendiri, jadi pengendali trak tunda tidak mendapat banyak panggilan dari mereka.

Kumar berkata syarikatnya masih teguh kerana dia mempunyai ramai pelanggan sejak awal lagi, yang percaya dan setia kepadanya. "Pelanggan-pelanggan ini akan memberi nombor saya dan mencadangkan saya kepada rakan-rakan mereka, begitulah saya dapat mengembangkan perniagaan saya pada hari ini," katanya kepada Asian Trucker, sambil menambah bahawa selepas berpindah ke negeri-negeri lain, pelanggan setia tetap akan menghubunginya apabila mereka memerlukan perkhidmatannya.

Kumar menjelaskan bahawa terdapat dua jenis trak tunda. Satu menangani kes-kes kemalangan dan yang lain dengan kerosakan dan servis. Kumar berurusan dengan yang kedua, namun dia akan mengambil kes-kes kemalangan jika dia mendapat panggilan dari pelanggannya.

“Walaupun ini bukan bidang perkhidmatan saya, saya perlu menjaga pelanggan saya dan tidak mahu menyalahgunakan kepercayaan mereka," katanya. Ini sememangnya telah menyebabkan Kumar menghadapi beberapa masalah dengan pemandu trak tunda kemalangan, terutamanya anak-anak muda yang tidak mengetahui prosedurnya.

Kumar berkata, mereka sering menjadi agresif tetapi dia tidak pernah menyalahkan mereka kerana mereka baru dalam perniagaan. Sebagai yang lebih tua dan mempunyai pengalaman dalam perniagaan ini, Kumar menggunakan diplomasi untuk menghindari pergaduhan. "Walau bagaimanapun, saya mesti bersedia seandainya keadaan menjadi buruk," tambahnya.

Ada juga masa di mana Kumar tidak menyedari kereta yang ditundanya adalah kereta yang dicuri. "Apa yang saya tahu, seseorang memerlukan keretanya ditunda dan saya lakukan tugas saya. Bagaimana saya tahu jika kereta yang rosak itu adalah kereta yang dicuri?" Dia telah menghabiskan masa di penjara sementara menunggu kes itu selesai dan namanya dibersihkan.

Kejadian yang paling diingati oleh Kumar adaah apabila dia dilanggar oleh kenderaan 4x4 semasa menunda sebuah kereta. Dia tidak sedarkan diri selama dua hari dan terdampar selama seminggu di hospital. Dia menerima 12 jahitan di sebelah kanan kepalanya, di mana parut kini menjadi peringatan, dan mengalami kehilangan memori sementara. "Saya tidak dapat bekerja selama sebulan. Ibu saya mendesak saya untuk hentikan perniagaan ini tetapi saya bertahan. Kerja terdahulu saya baik tetapi tidak mencukupi untuk menampung keluarga saya.

"Kerana saya bekerja keras dalam bidang trak tunda, saya mampu membeli sebuah rumah dan anak-anak saya lebih berjaya dari bapa mereka," katanya dengan bangga.

Kumar mempunyai tiga orang anak; yang sulung adalah seorang jurulatih di gim popular, yang kedua berkerja di sebuah hospital swasta dan yang bongsu sedang mengikuti pengajian di universiti. "Saya bermula dari kosong, membeli trak lama dari seorang kawan yang menunjukkan saya cara-cara mengendalikan trak tunda dan cara mengendalikan kereta pelanggan dengan berhati-hati," katanya.

Kumar merancang untuk membeli trak tunda yang lebih besar, sebaiknya dari jenama Scania, di masa hadapan untuk memperluaskan perniagaannya. "Ini bukan kerja untuk orang lemah, ia adalah perniagaan yang sukar dengan waktu kerja yang tidak menentu tetapi saya diberkati dengan orang-orang yang sangat menyokong. Keluarga saya, rakan-rakan dan pelanggan setialah yang memberi semangat setiap hari."