Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 21 April 2017

Motivasi Pemandu PDRM: Saya Bangga Berkhidmat untuk Negara!

Pernahkah anda tertanya-tanya tentang kerjaya sebagai pemandu untuk polis? Shee Mun, penulis kami, baru-baru ini berpeluang menemuduga Sarjan Mejar Hanif, daripada ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman. Beliau berkongsi dengan kami perspektif tentang bagaimana pengalaman memandu trak untuk pasukan polis.

Menyifatkan perasaannya terhadap kerjaya beliau, Sarjan Mejar Hanif, berumur 49 tahun, yang telah berada dalam pasukan polis selama lebih 20 tahun, menekankan bahawa dia sangat bangga berada dalam pasukan polis, kerana diberi mandat melindungi negara dengan menjalankan pekerjaannya.

“Pada permulaannya, saya juga seorang polis biasa ketika menyertai PDRM. Pada tahun 1996, saya memohon untuk berpindah ke bahagian pengangkutan untuk menjadi pemandu yang akan melaksanakan tugas dalaman bagi pasukan polis. Beberapa tahun pertama di sini, saya memandu kereta biasa. Sejak tahun 2004, saya diberikan tugasan yang memerlukan saya memandu kenderaan berat seperti bas dan trak.”

“Saya merasa bangga dengan kerjaya sebagai pemandu bagi PDRM. Ini kerana, untuk setiap tugas yang saya lakukan, ia adalah satu mandat daripada negara. Selain itu, saya belajar bagaimana memandu semua jenis kenderaan, daripada kenderaan perdagangan ringan sehinggalah yang berat, dan tugas ini tidak dapat dilakukan semua orang. Pengalaman ini menjadikan saya seronok dan puas hati, yang saya anggap merupakan satu bentuk pencapaian dalam kerjaya saya.”

Menyebut tugas hariannya, En Hanif menerangkan bahawa tugasnya termasuk membawa barangan daripada sesuatu bahagian ke bahagian lain, keselamatan jalan dan mengawal trafik dan sebagainya. Tugas-tugas ini adalah berasaskan sistem giliran.

“Tidak seperti sektor komersial atau swasta, barangan yang saya perlu hantar adalah untuk kegunaan PDRM. Selain penghantaran barang, saya akan diberikan tugasan lain, termasuk memindahkan banduan atau tertuduh bagi kes jenayah daripada penjara ke mahkamah, untuk membantu mengawal keselamatan trafik serta tugas-tugas menyelamat di kawasan banjir, tanah runtuh atau sebarang kejadian alam yang lain.”

“Apabila kami bertugas, kami mempunyai kebimbangan spesifik terhadap jalan yang kami gunakan. Namun, ini bergantung kepada tugasan yang kami terima dan masa yang diperlukan untuk perlaksanaan. Contohnya, jika kami menghantar seseorang tertuduh atau banduan daripada mahkamah ke penjara Sungai Buloh selepas pendengaran, kami akan menggunakan trak yang dilengkapi dengan gril. Kami juga perlu melihat jika ia adalah kes berprofil tinggi, atau jika ia kes jenayah yang tempoh pemenjaraannya adalah lebih tujuh tahun jika tertuduh disabit kesalahan. Jika ya, kami perlu meningkatkan tenaga manusia dan kenderaan pengiring untuk memastikan keselamatan.”

Beliau juga menceritakan bagaimana memeriksa kenderaannya selamat dan sedia digunakan di atas jalanraya sebagai rutin hariannya.

“Terdapat tiga langkah yang kita perlu ingat: iaitu untuk memeriksa dan memastikan keselamatan kenderaan yang akan kami gunakan sebelum perlepasan, memeriksanya lagi ketika perjalanan, dan akhirnya untuk membersihkan dan menjalankan pemeriksaan terakhir selepas menggunakan kenderaan tersebut. Setelah kami dapati terdapat sesuatu yang tidak kena pada kenderaan, kami perlu merepot kepada mekanik secepat mungkin.”

“Selalunya, untuk penghantaran jarak jauh, contohnya daripada Kuala Lumpur ke Perlis, kami perlu membawa penolong pemandu sekali, yang merupakan mekanik daripada bahagian tersebut. Kami diwajibkan untuk berehat ketika pemanduan jarak jauh, dan kami akan memerika trak sekali lagi sebelum memulakan lagi perjalanan. Jika trak rosak di tengah jalan, kami akan memeriksanya sendiri, namun jika kerosakan tersebut serius, kami akan memanggil bantuan. Dalam kes seperti ini, kami mungkin akan meminta bantuan daripada pasukan sokongan. Jadi, untuk menjadi pemandu PDRM, kami diberikan pengetahuan mekanikal yang asas tentang kenderaan.”

Ditanya berkenaan dengan cabaran biasa baginya di tempat kerja, En Hanif berkata bahawa untuk menghadapi masalah kesesakan trafik contohnya, ia memerlukan kesabaran yang tinggi terutamanya apabila memandu trak.

“Hidup dan bekerja di bandar, masalah lalulintas adalah sesuatu yang kita tidak dapat jangka selalunya. Oleh itu, kita mesti merancang jadual terlebih dahulu untuk mengelakkan sebarang kelewatan yang mungkin menyebabkan kita sampai ke destinasi lebih lambat. Untuk saya, saya akan bertolak lebih awal daripada kerja, jadi agak jarang bagi saya tiba lewat.”

Hanif menerangkan lagi, memandu trak atau kenderaan berat sangat berbeza berbanding memandu kereta biasa, kerana trak memerlukan empat hingga lima kali lebih kesabaran berbanding kereta di atas jalan. Dia menerangkan bahawa ini adalah kerana jirim tengah trak adalah lebih tinggi berbanding kereta, menjadikannya lebih sukar untuk memecut.

“Contohnya, apabila saya mahu memotong motorsikal, saya perlu memecut, tetapi kelajuan trak saya adalah lebih perlahan dan ia mungkin mengambil masa beberapa minit. Walaupun saya dapat memotong kenderaan lain, pemandu di belakang trak saya mungkin tidak menyukainya dan mungkin bertukar ke lorong lain. Disebabkan masalah titik buta di jarak dekat antara trak saya dan kenderaan lebih kecil, sesebuah kemalangan boleh berlaku dengan senang pada situasi seperti itu.”

“Jadi, amat penting untuk pemandu kenderaan berat seperti kami, untuk bersabar dan tenang apabila memandu.”

Menjadi jurulatih kepada pemandu pelatih di PDRM lebih 13 tahun, En Hanif juga berkongsi pengalaman dan ideanya tentang melatih pemandu baru.

“Saya fikir, perkara yang paling sukar untuk pemandu trak baru pelajari adalah, mereka perlu sentiasa menukar cara mereka memandu, daripada memandu kereta kepada memandu trak. Ia begitu berbeza dan semestinya mereka belajar bersabar.”

Ditanya berkenaan nasihat kepada generasi baru yang mungkin berminat untuk menjadi sebahagian daripada pasukan polis sebagai pemandu, dia berkata kesungguhan dan minat adalah antara kriteria yang penting.

Jika kita mengatakan seseorang itu berjaya pada kerjayanya, dia bukanlah seseorang yang menjalankan kerjanya dengan bagus sahaja, tetapi dia menjalankan kerja dengan bagus dan mencintai apa yang dilakukan.”