Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 26 April 2018

Adakah Pemandu Wanita Penyelasaian Kepada Masalah Kekurangan Pemandu Trak?

Seolah-olah tiada jalan lain, ramai yang beralih kepada kaum wanita untuk menyelesaikan masalah kekurangan pemandu. Bagaimanapun, pemandu wanita mungkin menghadapi cabaran tersendiri dibandingkan rakan sejawat lelaki mereka. Adakah kita mengenali rintangan yang mereka hadapi?

Selamat dikatakan bahawa industri trak kebanyakannya dikuasai oleh kaum lelaki. Bagi wanita dalam industri ini, langkah pertama pasti dipenuhi dengan keraguan. Tambahan pula, memandu trak bukanlah pekerjaan untuk semua orang, tanpa mengira lelaki atau wanita, besar atau kecil, kuat atau lemah.

Terdapat beberapa cabaran fizikal yang hanya dihadapi oleh pemandu wanita. Dengan ketinggian dan berat badan yang puratanya lebih rendah, lebih sukar bagi wanita untuk mencapai unit kawalan di dalam trak. Hanya kebelakangan ini syarikat trak telah mula merekabentuk trak yang lebih bersesuaian untuk wanita, iaitu perubahan konfigurasi tempat duduk dan pedal. Sebelum ini lori direka khas untuk kaum lelaki, dengan struktur yang lebih tinggi dan saiz yang lebih besar. Memanjat ke dalam kabin yang lebih besar boleh menjadi cabaran bagi orang yang lebih kecil.

Walaupun terdapat beberapa cabaran fizikal, syarikat masih mencari wanita untuk menyelesaikan masalah kekurangan pemandu. Kaji-selidik telah menunjukkan bahawa pemandu wanita lebih berhati-hati, maka mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mengalami kemalangan semasa memandu. Kecenderungan untuk menyebabkan kerosakan kenderaan juga kurang. Sesetengah pelatih berpendapat bahawa pemandu wanita lebih mudah untuk dilatih kerana mereka lebih fokus. Pemandu lelaki, secara purata mempunyai dua kali ganda kemalangan dari wanita. Mereka lebih cenderung terlibat dalam kemalangan di selekoh, dalam gelap atau ketika memotong kenderaan lain, menurut laporan oleh Pusat Penyelidikan Isu Sosial di Oxford, England. Wanita kurang mengambil risiko, oleh itu kecelakaan yang melibatkan wanita berlaku pada kelajuan yang lebih rendah dan mengakibatkan kerosakan yang minima pada kenderaan.

Tetapi adakah kita mempunyai ramai pemandu lori wanita? Bilangannya masih rendah dan tanggapan bahawa kerjaya ini hanya untuk kaum lelaki masih berleluasa. Mereka yang mempertimbangkan kerjaya ini lazimnya mempunyai keraguan tentang pandangan masyarakat, mungkin bimbang tentang gangguan seksual atau diskriminasi. Namun pemandu-pemandu wanita di luar sana menasihati supaya tidak membiarkan keraguan menjadi penghalang. Ia adalah kerjaya yang bermanfaat dan menyeronokkan, dan secara keseluruhannya, menjadi seorang wanita tidak memberi banyak masalah dalam menjalankan tugas harian mereka.