Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 06 June 2018

UD Trucks dan Tan Chong Industrial Equipment

UD Trucks dan Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE) telah mencatat satu lagi kejayaan apabila mereka mengeluarkan model pemasangan tempatan (CKD) trak tugas sederhana UD Croner buat pertama kalinya di kilang Tan Chong Motor Assemblies Sdn Bhd (TCMA) yang beroperasi di Segambut. Pencapaian ini menjadikan Malaysia sebagai pasaran pertama di dunia yang memasang CKD Croner dan dilancarkan dengan berjaya untuk pihak UD Trucks.
Perkembangan terbaru ini mengikuti kejayaan penghasilan trak tugas berat UD Quester pemasangan tempatan yang pertama pada tahun 2016. Ia juga merupakan trak UD Croner pertama yang dipasang tempatan oleh rakan pengedar untuk UD Trucks di Asia Pasifik, selain di Jepun.

Pengeluaran UD Croner pemasangan tempatan hadir dalam tempoh kurang setahun selepas trak tugas sederhana itu dilancarkan di Malaysia pada Ogos tahun lalu. Satu acara untuk merasmikan saluran kilang yang mengeluarkan unit pertama itu telah diadakan baru-baru ini. Ia dihadiri oleh pasukan pengurusan serta kakitangan kanan UD Trucks, TCIE dan TCMA.
Berucap pada majlis tersebut, Pengarah Urusan Hab Malaysia UD Trucks, Filip Van den Heede berkata, “UD Croner ialah trak tugas sederhana yang versatil, kebolehpercayaan, selamat dan menjimatkan bahan api yang dibina untuk kegunaan pelanggan di Asia. Ia merupakan rangkaian trak yang direka untuk meningkatkan produktiviti dan masa beroperasi. Ini kerana ia menggabungkan tiga aspek terbaik iaitu warisan dan pertukangan Jepun pada UD Trucks, teknologi Volvo yang sudah terbukti serta sumber dan pengetahuan mendalam terhadap pasaran tempatan oleh TCIE.”

“Matlamat kami adalah untuk membina trak yang diperlukan oleh pelanggan pada hari ini dan masa depan. Kami telah mengambil kira maklum balas daripada pelanggan dalam usaha membantu mereka supaya sentiasa berada di hadapan. Di Malaysia, trak yang cekap bahan api dan berkualiti merupakan faktor utama buat para pelanggan kami.”

“Sebab itulah kami yakin dengan adanya UD Croner pemasangan tempatan sekarang, para pelanggan dapat menikmati semua ciri terbaik trak ini pada harga yang lebih kompetitif. Sebagai tambahan, mereka juga akan terus menerima perkhidmatan selepas jualan yang lengkap daripada rakan kami, TCIE,” kata Van den Heede.

Pengarah Ekekutif Tan Chong Industrial Equipment Sdn. Bhd., Tan Keng Meng, berkata, “Keupayaan kami menghasilkan trak UD Croner pemasangan tempatan di kilang nyata mengukuhkan lagi kecekapan Tan Chong Group dalam menawarkan rangkaian penuh perkhidmatan untuk industri trak. Pemasangan tempatan ini merupakan satu bentuk kepakaran strategik dan amat penting sejak kami berjaya menghasilkan trak tugas berat UD Quester pada tahun 2016.”

“UD Trucks dan Tan Chong Group telah mempunyai kerjasama yang kukuh serta berjaya selama 40 tahun di mana kerjasama rapat kami membolehkan perkenalan produk-produk dan perkhidmatan baru yang menawarkan logistik pintar kepada pelanggan di Malaysia.”

“Trak UD Croner pemasangan tempatan kami bukan sahaja akan terus menyerlahkan kelebihan UD Trucks, malah menawarkan pelanggan segala yang diperlukan untuk melaksakan tugas dengan efisien dan efektif pada harga mampu milik. Aspek ini sangat penting terutama dalam pasaran Asia yang kompetitif terhadap harga seperti Malaysia. Inilah yang kami sasarkan untuk pelanggan kerana kepuasan dan kepercayaan mereka adalah keutamaan kami,” kata Tan.

TCIE akan menghasilkan 150 unit CKD Croner yang terdiri daripada pilihan kotak gear manual dan auto untuk dua model iaitu Croner PKE dan Croner LKE. Croner PKE yang dikuasakan oleh enjin enam silinder penuh kuasa adalah untuk kegunaan sederhana-berat dalam jarak jauh. Manakala Croner LKE pula ialah model serba guna untuk kegunaan di bandar dan penghantaraan dari bandar ke bandar yang fokus kepada aspek kecekapan pengangkutan.

Menurut Tan, pembinaan saluran pengeluaran yang melibatkan pelaburan lebih RM1.5 juta untuk memasang tempatan trak tugas berat UD Quester dua tahun lalu merupakan satu pelan strategik daripada Tan Chong Group dalam usaha memenuhi keperluan pasaran tempatan. Ia juga menyokong pertumbuhan Malaysia sebagai satu pasaran automotif pemasangan tempatan yang penting di rantau ini.

Selain menjadi sebahagian daripada hala tuju syarikat untuk meningkatkan tahap kompetitifnya selaku pemain industri automotif. Justeru, pelaburan sebanyak RM4.5 juta untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran TCMA, termasuklah pemasangan CKD Croner telah dibuat baru-baru ini. Sebahagian daripada pelaburan itu digunakan untuk meningkatkan kemudahan pemasangan seperti badan dan cat.

UD Trucks pula akan menyumbang dari segi meningkatkan keupayaan pasukan jurutera tempatan dengan berkongsi kepakaran teknologi dan pendekatan latihan amali. Ini bagi memastikan pengurusan kemudahan yang telah dikembangkan ini lebih cekap dan pengeluaran UD Croner pemasangan tempatan yang lancar.

Pengurus Kualiti KD UD Trucks, Tomoharu Takigawa, berkata, “TCMA dengan operasi pemasangan tempatan (CKD) telah mencapai standard kualiti dan kecemerlangan operasi UD Trucks. Ia memainkan peranan yang penting dalam kejayaan jenama kami di Malaysia selama ini. Kami percaya dengan dedikasi serta sokongan daripada TCIE dan TCMA dalam memastikan kualiti unggul UD Trucks, kami akan dapat terus menghasilkan trak yang boleh dipercayai kepada pelanggan di Malaysia.”