Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 25 October 2018

Perkhidmatan Kurier Nationwide Express Kekal Cepat Dan Tepat Dengan Isuzu Malaysia

Baru-baru ini, Isuzu Malaysia telah menyerahkan 29 unit trak baharu kepada syarikat kurier dan logistiks tempatan terkemuka, Nationwide Express Courier Services Sdn Bhd. Majlis penyerahan tersebut berlangsung di Nationwide Express HQ di Shah Alam, di mana 26 unit yang diserahkan merupakan Trak Tugas Ringan dan 3 unit pula adalah Trak Tugas Sederhana. Kesemua 29 unit tersebut telah diperoleh melalui syarikat pengedar sah Isuzu, Pacific Motor Sdn Bhd.

Melalui perhubungan perniagaan yang telah lama terjalin, Isuzu Malaysia memenuhi keperluan pengangkutan Nationwide Express dengan trak-trak yang boleh dipercayai dan tahan lasak. Tambahan pula, pemerolehan terkini ini selaras dengan perkembangan perniagaan Nationwide Express, dan dijangka dapat meningkatkan keberkesanan operasi harian syarikat. Di samping itu, trak-trak ini memastikan perkhidmatan kurier dan lojistik yang ditawarkan kekal pantas dan tiba tepat pada masanya.

Sebagai salah satu syarikat perkhidmatan kurier dan lojistik utama negara, Nationwide Express sangat komited untuk menawarkan perkhidmatan penghantaran yang menjangkaui jangkaan para pelanggan. Dengan Isuzu, syarikat kekal yakin bahawa perkhidmatan yang mereka tawarkan dapat menjimatkan kos dan masa, serta berjalan dengan lebih lancar.

Sewaktu majlis penyerahan, Atsunori Murata, selaku Ketua Pegawai Operasi, Bahagian Kenderaan Komersial, telah menyampaikan penghargaannya kepada Nationwide Express di atas kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap Isuzu Malaysia sebagai rakan pengangkutan yang penting. Menurut Murata, Isuzu Malaysia akan menyokong wawasan syarikat Nationwide Express untuk menjadi jenama kurier dan lojistik pilihan ramai, dengan menawarkan sesi latihan yang diperlukan untuk para pemandu, selain daripada servis selepas jualan yang lebih efisien.

Untuk memperingati majlis penyerahan ini, sebagai tanda simbolik, Murata telah menyerahkan kunci replika kepada Tan Sri Datin Paduka Siti Sa’diah Binti Sheikh Bakir, selaku Pengerusi dan Mohd Khairi Bin Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Nationwide Express. Turut disaksikan oleh Pengarah Nationwide Express, Azizah Binti Abdul Rahman, Pengarah Urusan Sepadu Fleet Sdn Bhd, Kang Kiang Sing dan Pengarah Urusan Pacific Motor Sdn Bhd, Yap Teck Ngian.

Trak-trak Isuzu yang baru diperoleh akan diagihkan ke pusat-pusat lojistik Nationwide Express seluruh negara untuk memastikan perkhidmatan kurier yang mampu menjimatkan kos dan masa perjalanan. Sewaktu majlis penyerahan, enam trak daripada 29 unit yang diperoleh telah dipamerkan untuk tatapan para hadirin majlis serta staf Nationwide Express.