Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 11 October 2018

Isuzu Merealisasikan Sasaran City-Link untuk Penghantaran Cepat, Demi Pelanggan

Baru-baru ini, Isuzu Malaysia Sdn Bhd telah menyerahkan sejumlah 141 unit trak komersialnya kepada syarikat City-Link Express (M) Sdn Bhd, sewaktu majlis penyerahan rasmi yang telah berlangsung di kemudahan ‘Super Hub’ mereka yang terletak di Bandar Saujana Putra, Selangor. Penyerahan ini melibatkan 128 unit model ELF 4-wheeler (NLR77UEE), lapan unit model ELF 6-wheeler (NPR81UKH) dan lima unit model GIGA (GXR).

Penyerahan ini merupakan kesinambungan daripada kepercayaan dan jalinan kerjasama antara kedua-dua syarikat, sejak perjanjian pertama yang termeterai pada tahun 2011. Selain itu, pemerolehan terkini ini mengukuhkan lagi flit pengangkutan sedia ada City-Link Express, yang sejajar dengan pelan pembukaan cawangan-cawangan baru serata negara. Unit-unit baru ini juga dijangka dapat memastikan servis penghantaran yang pantas, di samping mencapai kepuasan pelanggan.

Tambahan pula, penyerahan ini merupakan pembelian pertama untuk City-Link Express bagi model Trak ‘Prime Mover’ GIGA. Trak kontena (‘container’) ini sesuai untuk tugas-tugas pengangkutan muatan berat dan penghantaran jarak jauh, di samping mempunyai rekaan casis yang bersifat teguh dan reka bentuk kabin yang aerodinamik. Trak GIGA ini juga menawarkan keluaran enjin dan tork yang hebat, penjimatan minyak yang berkesan, lantas menjadikan trak ini pilihan terbaik untuk pelbagai jenis perniagaan yang memerlukan pengangkutan jarak jauh yang lebih ekonomi.

Sewaktu majlis berlangsung, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura, berkesempatan menyampaikan penghargaannya kepada pihak City-Link Express atas sokongan berterusan terhadap Isuzu Malaysia, dan kerana sentiasa menjadikan rangkaian trak Isuzu yang teguh dan ekonomi sebagai pilihan utama mereka. Nakamura percaya bahawa trak-trak Isuzu yang baru diserahkan akan membantu City-Link Express memacu ke arah objektif dan misi perniagaan dengan penuh kejayaan.

Sebagai tanda penghargaan, Nakamura menyerahkan kunci replika, kain rentang istimewa dan sebuah replika model lori Isuzu kepada Dato’ David Tan, selaku Pengasas dan Pengerusi Eksekutif City-Link Express, disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Ronald Tan, dan juga Pengurus Jualan, Colin Tan. Selepas majlis penyerahan, para hadirin dibawa melawat sekitar fasiliti City-Link.

Atas jalinan kerjasama yang erat antara kedua-dua syarikat, Isuzu Malaysia juga akan menawarkan sesi latihan untuk para pemandu City-Link Express, yang akan merangkumi latihan produk dan penyenggaraan asas model GIGA GXR. Sesi tersebut bertujuan untuk berkongsikan maklumat penting dan kefahaman mendalam agar para pemandu dapat mencapai kaedah pemanduan yang lebih ekonomi dan selamat.