Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 01 February 2018

Perlukah Sensitiviti Rakyat Malaysia Diutamakan Dalam Menanam Kesedaran?

Apakah yang perlu dilakukan untuk memastikan keberkesanan kempen keselamatan jalan raya di Malaysia? Saya telah banyak kali dipotong di jalan raya oleh treler dan bas express yang melampaui had laju. Mereka begitu laju sehingga sebuah trak pikap juga boleh gemetar ketika mereka lalu.

Sudah pasti jadual mereka telah mengambil kira masa perjalanan, had laju, keadaan lalu lintas dan keadaan cuaca jadi mengapakah mereka sangat tergesa-gesa?

Kemalangan jalan raya di Malaysia adalah sangat tinggi. Malah Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi pada November tahun lalu telah mengaku bahawa kempen keselamatan jalan raya negara ini telah gagal. Ini berdasarkan bilangan kemalangan pada tahun 2016 yang mencatatkan 960,569 kes selain kenaikan kadar kematian melebihi 7,000, di mana 2.3 peratus disumbangkan oleh bas dan lori.

Berikutan ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mengadakan sesi "brainstorming" dengan pelbagai pihak dalam "Program Transformasi Keselamatan Bas dan Pengangkut Barang (Freight)." Namun kita tidak boleh menafikan kedegilan kebanyakan pemandu. Adakah dasar yang lebih ketat, denda dan hukuman yang lebih tinggi akan mencukupi? Berapa nyawa lagi yang perlu tergadai untuk kita benar-benar sedar?

Pemandu-pemandu negara ini bagaikan tidak terkesan oleh saman. Mereka akan bayar dan teruskan memecut malah, sesetengahnya tidak akan tergesa-gesa pun untuk membayar untuk kesalahan mereka, kerana terdapat "musim" diskaun yang kadang-kala ditawarkan untuk tempoh yang terhad. Bagaimanakah mereka akan dapat apa-apa pelajaran dengan cara ini? Dan walaupun dengan kadar kematian yang tinggi, kita masih mempunyai mentaliti "ia tidak akan pernah terjadi kepada saya".

Kemudian ada pula pergantungan pada teknologi moden. Tahun lepas terdapat video tular mengenai brek kecemasan treler yang telah menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak. Di dalam video itu, sekumpulan anak sekolah menuruni bas sekolah dan kemudiannya dua daripadanya berlari melintasi jalan tanpa menyedari trak sedang menuju mereka. Komen-komen mengenai video tersebut membaca: "Anak itu bernasib baik kerana trak itu adalah Volvo FH Series yang dilengkapi dengan sistem brek kecemasan."

Sama ada disebabkan oleh sistem brek kecemasan atau kecekapan pemandu treler itu, persoalannya adalah: Jika ia adalah tempat untuk menurunkan anak-anak sekolah, ia mestilah kawasan kediaman di mana terdapat had kelajuan kira-kira 30km/j, bukan? Trak itu pastinya tidak bergerak dengan kelajuan yang rendah dan walaupun tiada had laju di kawasan itu, bagaimana jika sistem brek kecemasan trak tersebut gagal berfungsi?

Apa pun teknologi yang ditawarkan pada zaman moden ini, kita perlu terlebih dahulu memastikan bahawa kita, sebagai manusia, bukan sahaja pemandu yang mahir tetapi taat kepada peraturan. Lagipun, ada sebab yang baik mengapa sesuatu peraturan itu wujud.

Menyentuh subjek kempen kesedaran pula, sejauh manakah kerajaan kita sanggup pergi? Walaupun kita mempunyai budaya yang tidak menonjolkan keganasan serta menghormati sensitiviti orang ramai, kita juga mempunyai budaya pemikiran "tak apa, ia hanya terjadi dalam televisyen."

Saya juga baru-baru ini terjumpa satu video yang telah memberi kesan kepada diri sendiri, dan terfikir mungkin inilah yang diperlukan oleh rakyat Malaysia untuk memahami sepenuhnya konsep "kesedaran".

Video yang dimaksudkan adalah iklan dari Thailand (yang orangnya terkenal dengan iklan kempen iklan yang berkesan). Di dalam video, para pemandu ditanya apakah kelajuan memandu yang baik di kawasan kediaman. Jawapan purata adalah 50km/j manakala ada juga seorang lelaki yang mengatakan bahawa 80km/j juga boleh jika anda mengejar waktu.

Mereka kemudian dibawa ke jalan kawasan kediaman yang telah direka untuk kempen ini dan diminta untuk memandu berdasarkan kelajuan yang telah mereka nyatakan. "Kanak-kanak" (potongan kadbod saiz sebenar) kemudian muncul dengan tiba-tiba di hadapan kereta mereka, sepertimana yang berlaku dalam video trak yang telah disebutkan sebelum ini. Walaupun 50km/j rasa seperti kelajuan yang selamat, dan pemandu yang diuji kelihatan cukup cekap, semuanya telah melanggar "kanak-kanak" tersebut.

Klip dari video kemalangan sebenar kemudiannya ditunjukkan dalam video kempen itu, tanpa mengaburkan kanak-kanak sebenar melayang ke udara selepas dilanggar pelbagai jenis kenderaan. Imej-imej itu amat mengejutkan malah, video seperti ini mungkin tidak akan diluluskan lembaga penapis Malaysia.

Pemandu-pemandu itu diberi peluang kedua, kali ini memandu di batas kelajuan 30km/jam. Sekali lagi, kanak-kanak kadbod ditolak ke tengah jalan raya dan walaupun mereka terkejut, semua pemandu berjaya menghentikan kenderaan sebelum berlakunya pelanggaran. Semua ini hanya untuk memberikan penekanan yang sering tidak diendahkan oleh masyarakat majmuk.

Saya akui menjadi lebih peka kepada tanda-tanda had laju selepas menonton video itu, terutamanya di jalan-jalan kecil atau kawasan kediaman dan sekolah. Bayangkan perubahan yang boleh dicapai jika ramai pemandu kita menonton video itu setiap hari sebelum memulakan perjalanan mereka. Mungkin hanya untuk tujuan ini, kerajaan kita boleh pejamkan mata terhadap sensitiviti, dan tunjukkan kepada masyarakat apa yang sebenarnya akan terjadi jika had laju tidak dipatuhi.