Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 29 August 2018

UD Trucks Extra Mile Challenge 2018 tiba di kemuncaknya, umum Pemandu Terbaik Malaysia!

Edisi ketiga UD Extra Mile Challenge (UDEMC) Malaysia telah menemui pemenangnya! Muhammad Khairul Bin Abd Halim dari Setia Maju Jaya Logistik Sdn. Bhd. muncul sebagai pemandu terbaik Malaysia dalam cabaran pemanduan yang mengujakan ini. Kemenangan tersebut melihat beliau menuju ke Jepun pada Oktober untuk mewakili Malaysia dalam cabaran akhir UDEMC Global 2018.

UD Trucks Extra Mile Challenge (UDEMC) merupakan satu pertandingan pemanduan bertujuan untuk meningkatkan kecekapan pemandu menerusi peningkatan kemahiran dan pengetahun mereka untuk memaksimumkan keupayaan trak tugas berat UD Quester.

Di Malaysia, acara tersebut dianjurkan bersama UD Trucks dan rakan pengedar tunggalnya di Malaysia, Tan Chong Industrial Equipment Sdn. Bhd. (TCIE). Ini merupakan kali ketiga UDEMC diadakan di peringkat tempatan daripada pertandingan global sejak diperkenalkan pada tahun 2016. Ia juga pertandingan pertama seumpamanya yang dianjurkan oleh jenama trak Jepun di Malaysia.

“Pemandu trak ialah tulang belakang ekonomi kerana mereka merantau ke seluruh negara untuk menghantar barang-barang. Kini, dengan bantuan logistik pintar di mana pelbagai ciri dan keupayaan inovatif boleh didapati pada UD Quester, pemandu serta syarikat boleh menggunakan semua ini untuk merancang, mengurus dan melaksanakan penghantaran mereka dalam cara yang lebih efisien, produktif dan kos efektif.

“Di UD Trucks, kami bermotivasi untuk meneruskan warisan dalam menghasilkan ‘trak yang diperlukan oleh dunia pada hari ini’ dan menunaikan janji jenama ‘going the extra mile’ demi menawarkan sokongan optimum kepada pelanggan, termasuklah dari segi selepas jualan,” kata Pengarah Urusan Hub Malaysia UD Trucks, Filip Van den Heede.

Tambah beliau lagi, “UDEMC bukan sahaja tentang kemahiran memandu semata-mata, ia merupakan satu platform terbaik yang menawarkan sokongan kepada pemandu agar lebih memahami cara-cara pemanduan yang selamat, penjimatan bahan api dan bagaimana memaksimumkan tempoh operasi trak dan mengurangkan kos operasi yang tidak perlu. Justeru, kami berharap dengan melalui UDEMC, para pelanggan dan pemandu mereka akan mendapat manfaat melalui pengalaman serta pembelajaran yang diperoleh daripada pertandingan tahunan ini.”

Ketua Pegawai Operasi Tan Chong Industrial Equipment Sdn. Bhd., Jaclyn Loy berkata, “UDEMC ialah satu pertandingan yang pertama seumpamanya. Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada pemandu trak, malah juga syarikat di mana mereka bekerja. Kami telah menerima banyak maklum balas yang memberangsangkan daripada pelanggan yang memahami nilai-nilai pertandingan ini. Ia nyata memberi motivasi kepada kami untuk mengembangkan skala pertandingan pada tahun ini ke wilayah pantai timur.

“Sebagai rakan pengedar tunggal UD Trucks yang kukuh di Malaysia, kami berkongsi sentiment yang sama untuk menjadikan UDEMC satu platform yang penting dalam industri yang berfungsi untuk mendidik pemandu, pengurus pengangkutan, pelanggan dan pihak-pihak berkaitan lain tentang pentingnya etika pemanduan yang baik. Dalam usaha merealisasikan tujuan tersebut, UD Trucks dan TCIE kini dalam misi mencari dan mengenal pasti pemandu terbaik – kami memanggil mereka ULTIMATE DRIVERS. Sebab itulah UD Extra Mile Challenge dicipta,” tambah Jaclyn.

Sejak memulakan perjalanan untuk mencari pemandu terbaik pada bulan Julai, seramai 10 orang pemandu trak UD Quester berjaya menerusi ke pusingan akhir yang diadakan di bilik pameran Tan Chong Industrial Equipment di Ipoh, Perak baru-baru ini. Sepuluh orang peserta tersebut mengambil bahagian dalam acara yang berlangsung selama sehari suntuk di mana mereka diberi taklimat tentang keselamatan dan laluan pertandingan. Juara UDEMC Global 2016, Yuzairi bin Ibrahim dari ASAC Logistics Sdn. Bhd. dan Pemenang Pemeriksaan Pra-Pemanduan Terbaik UDEMC Global 2017, Anuar bin Ahmad dari Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. turut hadir sebagai duta UDEMC Malaysia untuk berkongsi pengalaman serta tip-tip penting kepada semua finalis.

Sepuluh orang finalis itu kemudian dibahagikan kepada beberapa buah kumpulan di mana mereka dinilai berdasarkan kepada skor terbaik keseluruhan untuk Juara UDEMC Malaysia 2018, Pemeriksaan Pra-Pemanduan Terbaik, Penggunaan Bahan Api Terbaik dan Kemahiran Memandu Terbaik.

Muhammad Khairul Bin Abd Halim dari Setia Maju Jaya Logistik Sdn Bhd diumumkan sebagai juara pertandingan pada tahun ini. Beliau akan mewakili Malaysia ke peringkat Akhir UDEMC Global 2018 pada Oktober 2018 di Jepun yang ditanggung sepenuhnya.

“Saya telah memandu UD Quester selama tiga tahun dan ia merupakan sebuah trak yang luar biasa dari semua segi. Tahun lalu, saya mengambil bahagian dalam cabaran ini dan menjadi salah seorang daripada 10 finalis dalam pertandingan serta memenangi kategori Pemeriksaan Pra-Pemanduan Terbaik. Majikan dan rakan-rakan memberi galakan kepada saya supaya mengambil bahagian sekali lagi dalam UDEMC pada tahun ini. Saya cuba dan tidak pernah terfikir akan menang! Pertandingan ini telah banyak mengajar saya, terutamanya pandangan dan pengalaman yang dikongsi oleh pemenang terdahulu, Yuzairi dan Anuar. Saya pasti akan mengamalkan apa yang telah dipelajari untuk pergi lebih jauh dalam peringkat akhir UDEMC Global di Jepun untuk membawa pulang trofi!” kata Muhammad Khairul Bin Abd Halim dari Setia Maju Jaya Logistik Sdn. Bhd. yang nyata sangat teruja.

Muhammad Khairul dinobatkan sebagai juara UDEMC Malaysia dan juga merupakan duta UDEMC Malaysia 2018. Beliau memenangi hadiah perjalanan yang ditanggung sepenuhnya ke Jepun, baucar Alat Ganti Quester bernilai RM2,000 dan sesi latihan pemandu eksklusif untuk semua pemandu dari Setia Maju Jaya Logistik Sdn. Bhd.

Selain hadiah utama, Muhammad Khairul turut mencatat sejarah dengan memenangi kategori Pemeriksaan Pra-Pemanduan Terbaik untuk dua tahun berturut-turut. Anugerah Penggunaan Bahan Api Terbaik dimenangi oleh Mohd Shaiful Bin Jahaya dari Gabung Jaya Sdn. Bhd. manakala Abdul Rahim Bin Yahaya dari ASAC Logistics Sdn. Bhd. memenangi anugerah Kemahiran Memandu Terbaik; kesemua pemenang tiga kategori tersebut membawa pulang baucar Alat Ganti Quester bernilai RM500.