Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 26 June 2019

Isuzu Perluas Barisan Trak Komersial Untuk Penuhi Keperluan Pengguna

Isuzu Malaysia memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai sebuah jenama trak terkenal di Malaysia melalui pengenalan barisan model dan varian bagi trak Elf dan Forward terbaru yang sememangnya dipercayai sejak awal kerana kecekapan dan ketahanannya.

Barisan trak terbaru ini akan mula dijual untuk pasaran tempatan pada suku ketiga 2019 nanti dan dijangka akan dapat meningkatkan lagi perhatian terhadap jenama ini, terutama dalam segmen kenderaan tugasan ringan yang sebelum ini memang sudah menyaksikan Elf menjadi pelopor utama bagi tempoh sembilan tahun berturut-turut.


Dikenali sebagai operator trak di seluruh dunia untuk jentera kerja yang dipercayai serta berprestasi tinggi dengan kos penggunaan dan penyelenggaraan yang rendah, Isuzu Elf juga merupakan satu daripada trak yang mampu memberikan kepelbagaian penggunaan dalam pasaran, dengan menawarkan11 varian yang berbeza bersesuaian dengan keperluan pelanggan yang lebih meluas.

Dengan kepelbagaian barisan model dan varian yang ditawarkan bagi tahun 2019 ini, Isuzu Malaysia akan mempunyai 19 varian bagi model Elf yang merangkumi versi empat roda, enam roda, 4x4 dan Crew-Cab, menjadikannya barisan jentera komersial dengan pilihan paling banyak dalam pasaran ketika ini.

"Dengan pilihan yang banyak ini, pelanggan atau pengendali trak boleh memilih trak Isuzu yang paling menepati keperluan operasi perniagaan mereka terus dari pengeluar, berbanding terpaksa membeli trak siap yang tidak bersesuaian untuk tujuan berkenaan," jelas Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura.

Bagi memenuhi keperluan perniagaan yang banyak menggunakan pengangkutan mereka di dalam bandar dengan keadaan trafik sesak, model trak yang dilengkapi dengan ciri "Smoother", iaitu varian dengan Automated Manual Transmission (AMT) enam-kelajuan turut ditawarkan dalam pasaran.

Menawarkan manfaat penuh sistem transmisi automatik dengan daya tahan dan kos yang rendah seperti transmisi manual, "Smoother" memberikan banyak kelebihan, misalnya dengan cara mengelakkan kehilangan tenaga akibat penyusutan hidraulik.

Tambahan pula, "Smoother" berkenaan akan menetapkan kedudukan gear yang paling sesuai dalam keadaan pemanduan dari semasa ke semasa. Ini bertujuan untuk memastikan putaran enjin (rpm) kekal dalam julat yang optimum dan seterusnya secara tidak langsung akan melanjutkan jangka hayat enjin dan sistem janaan kuasanya. Model-model dengan ciri "Smoother" ini, juga turut dilengkapi ialah Mod ECONO yang boleh dipilih oleh pemandu untuk menukarkan rpm lebih rendah secara automatik, sekaligus memberikan lebih banyak penjimatan bahan api.

Walaupun harga model "Smoother" ini lebih tinggi, pemilik perniagaan akan menikmati kos operasi yang lebih rendah sebagai ganjarannya, memandangkan mekanisme berkenaan tidak tertakluk kepada kehausan komponen. Selain itu, tugas untuk mencari dan menggajikan pemandu juga menjadi lebih senang kerana ia merupakan jentera automatik; agak sukar untuk mendapatkan pemandu yang boleh memandu trak manual kini. Bagi pemandu pula, ciri "Smoother" ini akan mengurangkan rasa letih ketika memandu, membolehkan mereka untuk memberikan tumpuan yang lebih baik sepanjang waktu kerja.

Dengan percambahan platform perniagaan elektronik, Isuzu Elf menawarkan penyelesaian terbaik bagi peningkatan kadar penghantaran yang memerlukan daya tahan dan kecekapan jentera pengangkutan yang digunakan. Enjin bagi model "Smoother" ini menepati piawaian Euro 3, membolehkan Elf menjadi trak yang bukan sahaja cekap, tetapi lebih mesra alam sekaligus.

Isuzu Malaysia turut memperkenalkan tiga varian Crew-Cab dalam barisan 2019 ini. Secara keseluruhannya ada empat model dalam segmen berkenaan, pengguna yang beroperasi di dalam industri perkhidmatan akan mendapati bahawa adalah lebih mudah untuk mengangkut tenaga kerja dan barangan mereka dengan lebih cekap dan selamat menggunakan trak Isuzu jenis ini.

Tidak seperti kenderaan Crew-Cab lain dengan pemasangan after-market yang cenderung menghadapi masalah pemasangan yang tidak kemas, jentera Crew-Cab Isuzu sebaliknya direka di pusat R&D Isuzu menggunakan teknologi terkini, dibina serta dipasangkan sepenuhnya di kilang Isuzu; menjadikannya menepati piawaian ECE tertinggi serta dilindungi oleh jaminan penuh oleh Isuzu sendiri.


Forward: Lebih kukuh dan tahan lasak

Barisan trak Forward, yang menjadi pilihan dalam kalangan pemandu trak jarak jauh disebabkan kos penggunaannya yang rendah, pengendalian mudah serta kabin yang selesa turut dipertingkatkan bagi versi 2019 dengan casis yang lebih kukuh dan prestasi lebih baik.

Model FVR34 kini berkapasiti GVW sebanyak 19 tan, lebih tinggi berbanding kapasiti 18 tan ketika ini. Kapasiti muatan yang dipertingkatkan ini tidak hanya membolehkan pengendali untuk memaksimumkan kapasiti setiap kali perjalanan, ia juga dapat mengurangkan kos pengangkutan secara keseluruhan. Selain itu, pengendalian mudah barisan trak Forward menjadikannya sangat sesuai untuk pengangkutan antara bandar tanpa perlu untuk memunggah muatan ke dalam kenderaan lebih kecil bagi tujuan agihan penghantaran seterusnya. Kapasiti gandar depan juga telah dipertingkatkan kepada 7,500 kg, menyumbang kepada kapasiti muatan keseluruhan yang lebih baik.

Melengkapi peningkatan muatan berkenaan ialah penggunaan unit enjin 6HK-TC yang telah dikemaskinikan untuk menghasilkan kuasa sebanyak 300 PS dan 986 Nm tork bagi model FVR300, menawarkan prestasi mengkagumkan untuk kegunaan jalan raya di Malaysia, terutama pada laluan berbukit.

Sebagai gandingan kepada naik taraf enjin pada model FVR300 berkenaan, ia juga kini dipadankan dengan transmisi Eaton. Menggunakan sembilan-kelajuan termasuk gear rendah “crawler” untuk permukaan laluan yang mencabar, nisbah transmisi baru ini melengkapi prestasi yang dijana oleh enjin berkenaan dengan lebih baik. Ini memberikan prestasi keseluruhan yang lebih anjal ketika rpm enjin kekal berada dalam zon optimum.

Isuzu Malaysia juga memilih untuk mengekalkan model popular FVR240 dalam barisan trak terbaru yang ditawarkan ini bagi mereka yang memerlukan kapasiti kargo yang luas, tetapi untuk kegunaan jarak dekat, misalnya seperti perniagaan trak makanan atau untuk tujuan mengangkut perabot.

Bagi mengekalkan tahap keselamatan yang tinggi, barisan model FVR34 pula kini datang dengan brek udara penuh dan Anti-Lock Braking System (ABS) sebagai ciri standard. Peningkatan prestasi brek amat ketara berserta ciri ABS membantu untuk mengekalkan kawalan ketika membrek, terutama pada permukaan licin.

Naik taraf lain pada barisan trak Forward termasuk altenator dengan kapasiti yang lebih besar yang mampu memenuhi keperluan penggunaan kuasa peralatan elektrik ampere tinggi.

Barisan trak komersial Isuzu bagi tahun 2019 ini akan mula dipasarkan dan boleh didapati di semua 43 cawangan sah Isuzu seluruh negara pada suku ketiga 2019.