Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 13 August 2019

Tenaga Nasional Berhad tambah jumlah trak UD dalam rangkaian kenderaannya

UD Trucks dan rakan pengedar tunggalnya Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE) berbesar hati mengumumkan bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB), pembekal elektrik terbesar untuk perniagaan, rumah dan industri di Malaysia telah membeli enam unit trak tugas sederhana iaitu UD Croner. Pembelian itu menjadikan TNB kini sudah memiliki 78 unit kenderaan UD Trucks.


Majlis rasmi penyerahan kenderaan telah diadakan di ibu pejabat TNB dan ia dihadiri oleh pasukan pengurusan kanan dari Jabatan Fleet Management TNB, UD Trucks dan TCIE. UD Croner akan digunakan untuk mengangkut bahan api diesel bagi kegunaan set janakuasa bergerak TNB sewaktu operasi di lokasi.


Ketua Jabatan Fleet Management TNB, Dato’ S. Viswanathan dalam ucapan ringkasnya sewaktu majlis penyerahan berkata, “Selaku pembekal utama elektrik negara, peranan TNB adalah memastikan para pelanggan menerima bekalan elektrik dari sistem rangkaian kami. Pembelian trak tugas sederhana UD Croner akan digunakan sebagai trak sokongan untuk mengangkut bahan api diesel bagi kegunaan set janakuasa bergerak jika berlaku gangguan bekalan yang tidak dijangka.


“Kami perlu menggerakkan set janakuasa bergerak dengan pantas untuk meminimumkan tempoh keputusan bekalan elektrik. Set janakuasa bergerak yang dipasang di atas trak tugas berat UD Quester perlu berada di lokasi-lokasi tertentu. Ia juga perlu diisi minyak diesel dari semasa ke semasa agar terus dapat beroperasi.”


Tahun lalu, TNB membeli sembilan unit trak tugas berat UD Quester yang terdiri daripada tujuh unit trak 18 tan dan dua unit trak 24 tan. UD Quester kini digunakan sebagai set janakuasa bergerak di seluruh negara.


Pengarah Urusan UD Trucks Hub Malaysia & Oceania, Steve Hedouin berkata, “UD Trucks berbesar hati kerana TNB mengambil keputusan untuk membeli UD Croner bagi memberi sokongan kepada set janakuasa bergerak UD Croner dibina khas untuk pasaran-pasaran membangun seperti Malaysia dengan mengambil kira aspek versatiliti, tempoh operasi dan keselamatan. Ia merupakan salah satu trak yang paling menjimatkan bahan api dalam kategorinya kerana ia menggabungkan siri enjin baharu dan rekaan kabin yang lebih aerodinamik. Trak ini dibina dan direka untuk menawarkan lebih produktiviti dan tempoh operasi yang mengagumkan. Kami benar-benar percaya bahawa UD Croner akan dapat memenuhi keperluan TNB sebaiknya.”


Menurut Jabatan Fleet Management TNB, terdapat banyak maklum balas positif daripada para pemandu mengenai UD Croner. Antaranya, trak ini mudah dipandu, selesa untuk perjalanan jauh dan mempunyai sistem amaran keselamatan yang mantap. Trak ini juga memiliki sistem bimbingan bahan api yang dapat meningkatkan tingkah lakupemanduan dengan menggalakkan pemandu menggunakan rev secara optimum dan mengurangkan pecutan yang tidak perlu. Malah, perkhidmatan selepas jualan TCIE yang pantas juga mendapat pujian.


Ketua Pegawai Operasi TCIE, Jaclyn Loy berkata, “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada TNB kerana menaruh kepercayaan serta keyakinan ke atas UD Trucks dan TCIE dalam menawarkan penyelesaian pengangkutan yang boleh dipercayai. Ini benar-benar membuktikan kejayaan hubungan dengan pelanggan yang berpaksikan kepada janji jenama kami iaitu “Going the Extra Mile”. Ini merangkumi produk berkualiti dan sokongan selepas jualan terbaik yang kami sediakan kepada TNB.”