Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 23 January 2020

Isuzu Elf Mendahului Saingan Sbagai Plihan Kendaraan Komersial Tugas Ringan No 1 di Malaysia

Kedatangan tahun baharu disambut positif oleh Isuzu Malaysia Sdn Bhd dengan kejayaan ELF yang telah berjaya mengekalkan posisinya sebagai trak No. 1 dalam segmen Tugas Ringan (Light Duty), berdasarkan maklumat jumlah jualan keseluruhan bagi tahun 2019 yang telah dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) baru-baru ini.



Walaupun berdepan dengan pasaran yang kurang stabil, kejayaan ini merupakan tahun kesepuluh di mana ELF mengekalkan posisinya sebagai trak pilihan ramai sejak tahun 2009. Pengekalan kedudukan No. 1 itu berjaya dicapai dengan jumlah jualan sebanyak 4,759 unit pada akhir tahun 2019, melalui pelancaran varian AMT ‘Smoother’ yang terkini di pasaran.

Varian AMT (Transmisi Manual Automatik) terbaharu ini menawarkan kelebihan selengkap transmisi automatik, selain kebolehpercayaan dan kos pengendalian yang rendah seakan transmisi manual, di samping penjimatan minyak yang lebih ekonomi.

Sewaktu ucapan Tahun Baharu, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia Sdn Bhd, Koji Nakamura, telah berkongsikan kegembiraan di atas kejayaan yang telah dicapai oleh syarikat pada tahun 2019. Beliau juga turut berkesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan perniagaan, pelanggan komersial, staf serta para pengedar yang telah membantu memastikan Isuzu ELF kekal sebagai trak Tugas Ringan pilihan No. 1 di Malaysia untuk tahun yang kesepuluh.

Menurut Nakamura, kejayaan berterusan dan perkembangan positif Isuzu Malaysia ini juga telah terhasil melalui servis yang ditawarkan oleh Bahagian Perkhidmatan Selepas Jualan, yang mana pada tahun 2019 telah melebihi jangkaan melalui jumlah bilangan pengambilan kenderaan untuk diservis, dan hasil daripada jualan alat ganti.

Seterusnya, untuk tahun 2020, Isuzu Malaysia komited untuk menyediakan produk-produk terbaik yang boleh dipercayai, selain memastikan kepuasan pelanggan yang optimum. Syarikat bersedia untuk menawarkan perkhidmatan selepas jualan yang dipertingkatkan, melalui tempoh servis yang lebih singkat, serta penambahan bilangan pengambilan kenderaan untuk diservis.

Selain itu, Isuzu Malaysia bertekad untuk mengekalkan posisi mereka sebagai syarikat kenderaan komersial tugas ringan paling utama dalam negara, dengan sasaran jumlah jualan melebihi 5,000 unit untuk tahun 2020, melalui usaha mengetengahkan model-model menarik secara meluas, di samping ciri-ciri yang bersesuaian dengan keperluan perniagaan tempatan.

Tambahan pula, sejajar dengan usaha kerajaan untuk mengimplementasikan penggunaan meluas bio-diesel B20, rangkaian penuh Isuzu Malaysia - termasuk kenderaan komersial dengan enjin Euro-2 dan Euro-3, telah pun dilengkapi dengan ciri-ciri yang mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan sebagai langkah persediaan apabila implementasi mula dilancarkan.