Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 12 October 2020

Isuzu Malaysia Buka Pengedaran Trak Tugas Sederhana dan Berat Yang Pertama untuk Malaysia Timur

Isuzu Malaysia Sdn Bhd (Isuzu Malaysia) hari ini mengumumkan bahawa syarikat baru-baru ini telah meraikan pembukaan rasmi pengedar sah trak tugas sederhana dan berat (atau MHD iaitu medium and heavy-duty truck) yang pertama di Malaysia Timur.

Terletak di Kuching, Sarawak, pengedar sah trak MHD yang dikenali sebagai Dai Max Automobile Sdn Bhd menawarkan perkhidmatan jualan, servis dan alat ganti (dalam kategori 3S). Pusat ini mudah dikunjungi pelanggan dan pemandu trak kerana lokasinya yang strategik, iaitu terletak berhampiran dengan kawasan perindustrian.

Satu majlis perasmian pembukaan telah diadakan pada 30 September baru-baru ini yang dihadiri oleh pengurus-pengurus kanan Isuzu Malaysia dan pengurus rakan pengedarnya, Dai Max Automobile Sdn Bhd. Berucap pada majlis berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia Sdn Bhd, Koji Nakamura berkata,

“Kami sangat teruja dengan pembukaan pengedar sah trak MHD Isuzu Malaysia yang pertama di Kuching. Ia telah membuktikan komitmen kami untuk meluaskan rangkaian pelanggan di negeri ini. Kami juga ingin mengukuhkan perkhidmatan selepas jualan, memaksimumkan kepercayaan dan kepuasan pelanggan terhadap jenama Isuzu.”

Pusat pengedaran baharu itu memiliki keluasan mencecah 3,000 meter persegi dengan bengkelnya sahaja seluas 650 meter persegi.

“Pusat pengedar sah ini direka khas untuk menawarkan pengalaman jualan dan servis yang luar biasa demi memenuhi keperluan para pelanggan di seluruh kawasan ini. Dengan kawasan yang luas serta lokasi strategik, ia pasti dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami di Malaysia Timur, sekali gus menyumbang kepada produktiviti perniagaan mereka,” kata Nakamura lagi.

Menurut Isuzu Malaysia, syarikat Dai Max Automobile Sdn Bhd telah mengambil masa selama lima tahun untuk menyiapkan dan membina pusat pengedar sah ini. Ianya dibina berdasarkan kepada reka bentuk bengkel serta kemudahan terkini bagi memudahkan pergerakan trak untuk tujuan servis atau pembaikan.

Selain daripada itu, terdapat tiga ruang tambahan untuk kenderaan komersial dan jentera tugas ringan, dua ruang ekstra bagi trak-trak MHD. Pusat ini juga mempunyai tempat letak kenderaan yang luas dan kemudahan fasiliti yang teratur serta efisien bagi trak yang menunggu giliran mereka untuk diperiksa.

Dilengkapi dengan peralatan diagnostik terkini Isuzu, alat ganti, pekerja terlatih dan juruteknik berkemahiran untuk mengenal pasti atau menyelesaikan apa jua masalah, pelanggan boleh mengurangkan masa henti kenderaan dengan minimum, dengan ini dapat meningkatkan kecekapan operasi trak.

Kemudahan seperti ruang rehat yang mesra keluarga, ruang solat serta snek dan minuman percuma turut disediakan untuk para pemandu trak, disamping menunggu dan menyiap-sedia untuk memulakan perjalanan sebaik sahaja trak siap diselenggara.

“Matlamat kami adalah menerusi pengedar sah trak MHD baharu ini,dapat memberi tumpuan kepada para pelanggan berpotensi, mengukuhkan lagi pasukan kami dengan pengetahuan produk dan kemahiran teknikal supaya dapat menyokong Isuzu Malaysia dalam usaha pertumbuhan jualan di rantau ini. Menerusi inovasi produk, perkhidmatan dan para pekerja yang mahir, kami mampu menyokong pelanggan dengan sebaik mungkin.

“Kami akan melaksanakan semua ini dengan menawarkan harga alat ganti yang kompetitif dan servis teknikal yang melangkaui luar jangkaan pelanggan. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan jualan alat ganti dengan pelanggan fleet kenderaan, menarik pelanggan fleet kenderaan baharu dan membina kesedaran produk serta mengukuhkan lagi jenama Isuzu,” kata Nakamura.

Dengan pembukaan terbaharu ini, Isuzu Malaysia kini mempunyai 11 pengedar sah MHD dengan 10 daripadanya terletak di lokasi yang strategik di pelbagai negeri dalam Semenanjung Malaysia.