Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 19 June 2021

Cawangan Jualan dan Servis Utama Terbaru Scania Malaysia kini Dibuka di Johor Bahru

Cawangan jualan dan servis terbaru Scania Malaysia kini dibuka di Senai, Johor. Cawangan utama dengan ciri kelestarian ini terletak di Lot 39795, Jalan Idaman, Taman Perindustrian Senai, 81400 Senai, Johor Darul Ta'zim.

“Kami sudah lama bertapak di Johor, iaitu sejak 2002. Johor merupakan pintu masuk Selatan negara ke rangkaian pengangkutan yang luas di Semenanjung Malaysia. Langkah untuk berpindah ke premis yang lebih besar dan lebih canggih di Senai memenuhi permintaan semakin meningkat daripada pelanggan di dalam dan luar negeri terhadap Scania,” kata Heba El Tarifi, Pengarah Urusan Scania Southeast Asia.

Cawangan baru ini terletak di kawasan seluas 5 000 meter persegi, dikelilingi ruang terbuka yang luas dan pelandskapan yang berkonsepkan ‘paru-paru hijau’. Lampu LED digunakan di semua kawasan premis. Sistem penuaian air, sistem bersepadu yang canggih untuk pendispensan minyak, sistem pengurusan sisa minyak dan juga stesen alam sekitar bagi memastikan sisa diasingkan dan dikitar semula; semuanya disediakan untuk memenuhi objektif kelestarian Scania. Dalam usaha untuk memanfaatkan tenaga boleh diperbaharui daripada cahaya matahari yang berterusan di Malaysia, panel suria akan dipasang tidak lama lagi.

Kawasan bengkel mempunyai 16 ruang kerja, dan sebuah kren gantung yang dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan kakitangan yang terlatih.

“Rangkaian produk dan perkhidmatan kami yang luas akan terus membantu operasi pelanggan kami melalui ‘uptime’ yang maksimum dan juga dari segi penjimatan bahan api. Pelanggan kami memahami bahawa trak, bas dan koc Scania mereka memerlukan penyelenggaraan berjadual untuk mencapai matlamat ini,” kata Anders Liss, Regional Manager – Region South. “Inilah sebabnya mengapa perkhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan kami semakin popular, dan kemudahan baru ini akan sentiasa menyokong keperluan pelanggan kami.”

Pelanggan dengan Kontrak Scania akan mempunyai bengkel ‘tempatan’ serta pasukan perkhidmatan yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang kenderaan Scania. Kontrak ‘Repair and Maintenance’ yang semakin popular memastikan kenderaan dan enjin Scania akan sentiasa dilindungi. Ini termasuk perlindungan bagi rangkaian kuasa (powertrain) hingga ke liputan menyeluruh dari ‘bamper ke bamper’. Pasukan perkhidmatan kami memastikan pelanggan mendapat nasihat, penyelenggaraan dan alat ganti yang berkualiti apabila diperlukan. Alat ganti Scania sentiasa tersedia dan akan dihantar dengan pantas oleh Asia Parts Centre di Singapura. Kesambungan ke ‘Scania Fleet Management System’ menyediakan data kenderaan dalam masa nyata yang dapat membantu dari segi perkhidmatan proaktif dan pencegahan, justeru memaksimumkan ‘uptime’ dan ekonomi operasi pelanggan.

“Scania akan terus menerajui peralihan ke arah sistem pengangkutan yang mampan. Pelanggan kami menghargai kenderaan penjimatan bahan api yang menerajui industri di samping usaha kami untuk mengurangkan pelepasan karbon,” kata Anders. “Di Johor, pelanggan seperti Mohd Sidek Amzah Enterprise, Naidu Trans Logistic dan Narita Shipping & Transport kini telah membuka jalan ke arah masa depan yang lebih hijau melalui Scania Ecolution.

“Kami sedar akan cabaran yang sedang dihadapi oleh negara dan negeri Johor disebabkan oleh pandemik dan sekatannya, akan tetapi kami masih percaya pelaburan kami akan membawa kejayaan. Oleh itu, kemudahan ini bukan sahaja mengukuhkan sejarah panjang kami dalam menyokong pengangkutan di Johor. Malah, bersama dengan pelanggan kami, kemudahan ini juga akan menerajui masa depan yang lebih baru, menguntungkan dan lestari bagi negeri ini,” kata penutup Heba.