Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 22 January 2021

Isuzu Sekali Lagi Jadi Trak No 1 di Malaysia dan Jenama Pilihan Trak Tugas Ringan untuk Tahun 2020

Isuzu Malaysia sekali lagi membuka tirai tahun baharu dengan positif apabila terus berada di kedudukan No. 1 dalam dua kategori bagi tahun 2020 – sebagai trak No. 1 di Malaysia selama tujuh tahun dan jenama trak tugas ringan No. 1 untuk 11 tahun berturut-turut. Pencapaian ini adalah berdasarkan kepada data jualan tahunan trak yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Kedudukan No. 1 jenama trak untuk tujuh tahun berturut-turut itu disumbang oleh jualan keseluruhan Isuzu Malaysia sebanyak 4 747 unit dalam semua segmen sepanjang tahun lalu.

Manakala kejayaan syarikat menjadi jenama pilihan untuk trak tugas ringan di Malaysia bagi 11 tahun berturut-turut disumbangkan oleh model utama iaitu trak ELF dengan jualan sebanyak 4 551 unit pada tahun lepas sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia Sdn. Bhd., Koji Nakamura berkata, “Isuzu Malaysia amat berbesar hati untuk mengakhiri tahun 2020 dengan pencapaian terbaik. Kami ingin mengalu-alukan kedatangan tahun baharu dengan sambutan berganda selepas berjaya menduduki kedudukan tertinggi untuk kategori trak dan jenama trak tugas ringan sekali lagi.

“Jumlah trak yang dijual tahun lalu merupakan perkongsian pasaran paling tinggi pernah kami rekodkan sejak Isuzu Malaysia Sdn. Bhd. ditubuhkan. Tahun lalu merupakan ulang tahun ke-40 syarikat kami di Malaysia. Jadi, kejayaan ini pastinya satu pencapaian yang hebat buat kami. Ia juga menjadi bukti terhadap komitmen tidak berbelah bahagi pasukan dalam usaha melaksanakan pelan perniagaan kami. Fokus kami kini adalah untuk terus mengukuhkan kualiti produk dan kecekapan servis bagi memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan.

“Situasi pandemik pada tahun lalu memberi pelbagai cabaran luar biasa kepada ramai orang dan syarikat dalam semua industri. Di sebalik persekitaran pasaran yang sukar, saya gembira kerana kami mampu terus fokus dan memaksimumkan sumber secara efektif untuk membantu pelanggan meneruskan perniagaan mereka.

Nakamura menyatakan beberapa inisiatif strategik Isuzu Malaysia untuk mengekalkan pertumbuhan jualan trak, meningkatkan kualiti servis dan kepuasan pelanggan di sebalik situasi pasaran yang sukar sepanjang tahun lalu turut dilaksanakan. Antaranya termasuklah pengembangan rangkaian pengedar, pengenalan inovasi produk baharu dan memastikan penyerahan trak baharu kepada pelanggan dilakukan tepat pada masanya.

Satu lagi perkara signifikan yang menyumbang kepada kejayaan Isuzu sebagai jenama pilihan trak tugas ringan pada tahun lalu ialah pengenalan model Isuzu ELF. Model yang telah dipertingkatkan itu hadir dengan Isuzu Safety Plus yang terdiri daripada pelbagai sistem keselamatan, kesesuaian bahan bakar biodiesel B20 dan manfaat jaminan lebih baik. Peningkatan tersebut ditawarkan pada 19 varian model terlaris ELF. Ia menjadi tawaran rangkaian trak tugas ringan paling luas di pasaran, sekali gus membantu syarikat mengendalikan perniagaan yang lebih selamat, produktif dan mapan.

Jelas beliau lagi, “Strategi Isuzu Malaysia sentiasa berpaksikan kepada aspek kepuasan dan produktiviti pelanggan. Saya bersyukur kerana tahun ini memberikan kami pencapaian yang cukup baik. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua kakitangan dan pasukan pengedar yang mantap kerana sentiasa bekerja keras demi para pelanggan. Dedikasi mereka telah banyak menyumbang kepada kedudukan kukuh Isuzu Malaysia.

“Untuk tahun baharu ini, saya percaya ekonomi Malaysia akan bertambah baik secara perlahan-lahan dan banyak industri semakin pulih. Walaupun Isuzu kini terkenal kerana dapat menawarkan rangkaian luas trak yang menjadi pilihan berikutan kualiti, ketahanan dan kos efisien, kami akan terus fokus untuk memberi lebih nilai kepada semua pelanggan.

“Apa yang lebih penting lagi, matlamat Isuzu Malaysia pada tahun ini adalah untuk memberi bantuan kepada perkhidmatan-perkhidmatan penting. Selain memastikan penghantaran produk yang lancar serta menyumbang kepada perniagaan dan kehidupan seharian rakyat Malaysia,” kata Nakamura.