Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 06 April 2021

Isuzu Terus Memacu Mr D.I.Y. Dengan Penyerahah Trak-Trak Baharu

Isuzu Malaysia Sdn Bhd (Isuzu) hari ini mengumumkan bahawa pihaknya telah menyerahkan lapan unit trak tugas sederhana daripada rangkaian model Forward Series (F-Series) kepada syarikat peruncitan terkenal, MR D.I.Y. Group (M) Berhad (MR D.I.Y).

Trak baharu itu terdiri daripada enam unit Isuzu FSR90 dan dua unit Isuzu FVR300 yang dibeli daripada pengedar sah Isuzu, Ultra Gallant Sdn. Bhd. (Ultra Gallant). Jentera berkenaan akan digunakan untuk menyokong pengembangan operasi MR D.I.Y. di seluruh negara dan memenuhi keperluan logistiknya yang kian meningkat.

Satu majlis penyerahan rasmi trak-trak Isuzu itu telah diadakan di ibu pejabat MR D.I.Y. di Seri Kembangan, Selangor. Ia dihadiri oleh pasukan pengurusan kanan Isuzu, MR D.I.Y. dan Ultra Gallant.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia Sdn. Bhd., Koji Nakamura berkata, “Kami sangat gembira kerana telah menyempurnakan penyerahan lapan unit trak tugas sederhana Isuzu FSR90 dan FVR300 kepada pelanggan yang cukup kami hormati, MR D.I.Y. Kami juga akan terus menawarkan sokongan yang mereka perlukan untuk mengendalikan tugasan logistik yang kian berkembang. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada MR D.I.Y. atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada jenama Isuzu.”

MR D.I.Y. membeli trak Isuzu pertama pada tahun 2017 dan terus menambah lebih banyak unit ke dalam rangkaian pengangkutannya dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini. Dengan penambahan lapan unit trak baharu ini termasuk trak-trak yang telah dibeli dan didaftar terlebih dahulu, MR D.I.Y. kini memiliki 100 unit trak Isuzu.

“Sebagai sebuah pengeluar trak terbesar di peringkat global dari Jepun, sudah menjadi tanggungjawab kami untuk menawarkan kenderaan komersial yang boleh memacu perniagaan pelanggan dengan mencapai kecekapan serta produktiviti yang maksimum,” kata Nakamura.

Kata Nakamura lagi, kedua-dua model trak itu merupakan sebahagian daripada kenderaan komersial tugas sederhana Isuzu F-Series yang telah dihasilkan berdekad-dekad lamanya. Jentera berkenaan menerima proses pembangunan yang berterusan melibatkan inovasi trak terkini. Para pelanggan di seluruh dunia nyata menghargai ciri-ciri termaju, reka bentuk inovatif dan prestasi yang ditawarkannya.

“Rangkaian kenderaan komersial Isuzu F-Series menawarkan lima trenkuasa untuk julat prestasi dan tork yang luas. Di samping tapak roda yang dioptimumkan untuk kapasiti muatan dan cagak badan lebih baik, seterusnya berupaya menawarkan versatiliti yang diperlukan oleh perniagaan pada hari ini untuk lebih berjaya,” kata Nakamura.

Mengulas mengenai penyerahan trak-trak itu, jurucakap MR D.I.Y. berkata, “Kami kini dalam sasaran pertumbuhan yang kukuh dengan 700 kedai sekarang dan merancang untuk membuka 175 kedai baharu melibatkan tiga jenama kami pada tahun 2021. Asas kepada pertumbuhan kami adalah pengagihan barang yang cekap menerusi sistem pengedaran yang diuruskan secara berpusat. Isuzu merupakan rakan niaga yang benar-benar memahami keperluan kami dan sentiasa komited untuk memenuhinya.

“Isuzu FSR90 dan FVR300 ialah pilihan trak tugas sederhana yang ideal, senang digunakan dan mempunyai nilai tambah dalam usaha memenuhi apa jua keperluan tugasan penghantaran barang. Dengan berat kasar 11,900kg untuk FSR90 dan 19,000kg untuk FVR300, kami yakin trak-trak ini akan mampu menawarkan tahap penggunaan yang tinggi dengan produktiviti, ketahanan dan keselamatan terbaik demi menyokong pengembangan perniagaan MR D.I.Y. yang mapan,” kata Nakamura.