Globonus terima empat unit trak MAN TGS ADR baharu, tempah lima unit lagi
Trak penggerak utama MAN TGS berkuasa Euro V telah memenangi hati syarikat perkhidmatan logistik Globonus Sdn Bhd dari Kedah.
Di majlis penerimaan empat unit MAN TGS ADR 6x2 yang baharu daripada MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd (MAN Malaysia), Globonus yang teruja dengan kenderaan tersebut telah menempah lima unit lagi untuk keperluan syarikat.
ADR atau “Accord Dangereux Routier” dalam bahasa Perancis bermaksud “Perjanjian Eropah tentang Pengangkut Barangan Bahaya melalui Jalan Raya Antarabangsa” dan merupakan standard yang mentadbir pengangkutan barangan bahaya melalui jalan raya.
Pembelian yang baharu ini akan menjadikan MAN sebagai jenama trak utama dalam flit kenderaan Globonus yang sedang pesat berkembang. Syarikat buat masa ini mengendali enam unit MAN TGS baharu dan lima unit terpakai.
Pengarah Eksekutif Globonus Muhd Jamal Pawanteh berkata syarikatnya memerlukan trak yang berprestasi tinggi dan boleh dipercayai untuk mengangkut pelbagai jenis produk kimia dengan selamat dan mampan ke seluruh Semenanjung Malaysia termasuk merentasi sempadan ke Thailand dan pada masa yang sama mengurangkan kesan kepada alam sekitar.
“Trak-trak kami berada di jalan raya enam hari seminggu untuk mengangkut produk-produk yang sensitif antaranya urea, cecair ekzos diesel, cecair metanol dan gas ammonia dari pangkalan kami di Gurun sehingga sejauh ke Singapura. MAN TGS berkuasa Euro V baharu dengan spesifikasi ADR telah mengatasi jangkaan kami menerusi penggunaan bahan api yang cekap, pelepasan yang rendah dan tempoh ketersediaan yang lebih lama. Para pemandu kami teruja dengan kuasa dan tahap pengendalian MAN TGS yang hebat. Sokongan selepas jualan daripada MAN cawangan Prai juga sangat baik,” kata Jamal.
Selaras dengan komitmen Globonus terhadap kemampanan dan neutral karbon, enjin Euro V MAN TGS dengan pelepasan yang rendah telah membolehkan syarikat mengurangkan jejak karbon dalam flit kenderaannya dan memenuhi syarat ketat sesetengah klien multinasional syarikat.
Pengarah Urusan MAN Malaysia, Andrew O’Brooks memuji wawasan Globonus untuk meningkatkan keupayaan kumpulan kenderaan syarikat dengan MAN TGS berkuasa Euro V. Beliau berjanji akan memastikan bahawa trak-trak ini disokong oleh operasi Pengurusan Khidmat Pelanggan syarikat yang sentiasa dipertingkatkan.
“Kami gembira mengetahui bahawa pasukan kami di Prai telah dapat memenuhi jangkaan pelanggan. Kami sentiasa berusaha untuk menaik taraf servis kami dengan mengambil lebih ramai juruteknik yang berkelayakan selain meningkatkan kemahiran mereka dengan latihan MAN Technical. Kami juga sedang dalam proses untuk membaharui kumpulan van MAN Mobile Service untuk memastikan respons yang lebih pantas jika berlaku masalah,” kata O’Brooks.