MAN Mantapkan Kumpulan Kenderaan Megalift
Megalift Sdn Bhd, pakar pengangkutan kargo berat dan bersaiz besar, telah menambah lima unit penggerak utama MAN TGS 6x2 berkuasa Euro V untuk menyertai flit kenderaan syarikat.
Selepas menerima dua unit MAN TGS yang baharu pada awal tahun ini, Megalift seterusnya menerima baki tiga unit daripada MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd baru-baru ini di ibu pejabatnya di Shah Alam. Pengarah Urusan MAN Malaysia Andrew O’Brooks secara rasminya menyerahkan kunci kepada Ketua Pegawai Eksekutif Megalift Edwin Tan dan Yeow Kong Sang.
“Sebelum ini kami agak keberatan untuk melabur dalam Trak MAN kerana tidak banyak kenderaan ini yang terdapat di jalan raya dan alat gantinya juga kurang di pasaran. Walau bagaimanapun, selepas mencuba beberapa unit yang terpakai, kami teruja dengan kuasa dan ketahanan Trak MAN dan membuat keputusan untuk membeli unit-unit baharu terus daripada MAN Malaysia. Peningkatan bilangan MAN TGS yang baharu di jalan raya, penubuhan ibu pejabat MAN Malaysia di Shah Alam serta servis jualan dan selepas jualan yang cekap membuatkan kami yakin dengan jentera ini,” kata Yeow.
Ketika menyampaikan penghargaan kepada Megalift kerana memilih MAN TGS yang berkuasa Euro V, O’Brooks memberi jaminan kepada syarikat bahawa MAN Malaysia akan terus meningkatkan keupayaan selepas jualan bagi memberikan sokongan yang lebih baik kepada pelanggan.
“Bengkel cawangan kami di Pelabuhan Klang kini sedang diubahsuai dan kami juga sedang menambah jumlah mekanik di semua cawangan,” kata beliau lagi.