Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Volvo Trucks Catat Jualan Trak Baharu Dengan Aman Logistik Sdn Bhd

Volvo Trucks (Volvo) hari ini mengumumkan bahawa ia telah berjaya menjual empat unit trak tugas berat premium Volvo FH16 kepada sebuah syarikat logistik utama iaitu Aman Logistik Sdn Bhd (Aman Logistik). Majlis penyerahan trak untuk meraikan pencapaian itu telah dihadiri oleh pihak pengurusan kanan kedua-dua buah syarikat.

“Penyerahan terkini trak Volvo FH16 kepada Aman Logistik membuktikan penerusan prestasi jualan yang kukuh dari tahun 2018, di mana kami terus mengembangkan siri trak tugas berat premium Volvo FH,” kata Pengarah Urusan Volvo Trucks Malaysia, Mitch Peden.

Aman Logistik ialah sebuah syarikat penyedia perkhidmatan logistik yang menyeluruh, melibatkan penghantaran di darat, laut dan udara, di samping servis penghantaran dan gudang. Syarikat ini dikenali sebagai pakar dalam pengangkutan beban berat dan kargo bersaiz besar, termasuk palang dan kerja-kerja infrastruktur.

“Selaku peneraju dalam perkhidmatan logistik berat, perniagaan kami perlu menggunakan kenderaan yang amat berkuasa, tahan lasak, selamat dan menjimatkan bahan api. Trak yang digunakan perlu memberi nilai kepada perniagaan dan pelanggan kami, mengurangkan kos operasi dan meningkatkan produktiviti sepanjang tempoh perkhidmatan kenderaan,” kata Pengarah Urusan Aman Logistik Sdn. Bhd., Kenny Tee.

“Kami juga meminta Volvo Trucks untuk mengubah suai trak-trak kami dengan menambah tangki udara bagi memudahkan urusan mengangkut barang berat dalam jarak jauh dan kami gembira kerana permintaan ini dapat dilaksanakan. Justeru, saya percaya Volvo FH16 ialah trak yang dinginkan untuk perniagaan kami yang semakin berkembang ini,” kata Tee.

“Volvo FH16 ialah sebuah jentera terbaik untuk pelanggan yang mahukan lebih keupayaan, kuasa dan prestasi. Sebagai sebuah trak tugas berat premium, ia menawarkan kuasa dan tork yang cukup besar, di samping penjimatan bahan api, kelasakan dan keselamatan,” kata Peden.

Katanya lagi, Volvo FH16 boleh diubah suai untuk memaksimumkan produktiviti serta mampu menjayakan operasi paling sukar dan berat dalam apa jua kondisi dan permukaan jalan. Ia juga berupaya mengendalikan penghantaran barangan bersaiz besar dan sangat berat.”

Dilengkapi teknologi yang menawarkan keselamatan terbaik di dalam kabin, pemanduan lebih jimat dan tempoh operasi yang tinggi, trak siri Volvo FH melangkaui batasan penawaran trak premium di pasaran.

“Setakat ini, prestasi jualan Volvo FH yang mantap membuktikan bahawa model ini telah menetapkan satu penanda aras dalam kategori trak premium berprestasi tinggi. Ia juga memberi impak positif kepada keuntungan dan keupayaan perniagaan para pelanggan kami,” tambah beliau lagi.

Salah satu ciri unik Volvo FH16 ialah teknologi I-Shift dengan gear ‘crawler’ ultra-rendah yang membolehkan trak dipandu pada kelajuan serendah 0.5-2km/j dan bergerak dari titik pegun ketika membawa beban seberat 325 tan.

Teknologi ini menawarkan satu peluang baru untuk trak tugas berat dengan kotak gear automatik mengawal kelajuannya apabila membawa beban yang berat. Aspek pemanduan yang dipertingkatkan itu menjadikannya lebih mudah untuk dioperasi di laluan mencabar seperti tapak-tapak pembinaan, lombong atau ketika memandu di laluan curam dan berbukit.

2019

  • Hits: 465

Trak Isuzu Menjadi Pikihan City-Link Express, Demi Perkhidmatan Penghantaran Yang Sentiasa Pantas Dan Boleh Dipercayai

Baru-baru ini, Isuzu Malaysia telah menyerahkan sebanyak 90 unit trak komersialnya kepada syarikat City-Link Express (M) Sdn Bhd, sewaktu majlis penyerahan rasmi yang telah diadakan di Gudang City-Link Express di Cheras, Kuala Lumpur yang baru sahaja beroperasi. Trak-trak yang diserahkan merupakan model ELF 4-wheeler (NLR77UUEE-2E), dan diperoleh seiring dengan pelan perkembangan perniagaan syarikat tersebut.

City-Link Express menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap Isuzu sebagai jenama pilihan untuk kenderaan komersial, dan jalinan kerjasama yang kukuh antara kedua-dua syarikat telah lama terbina, sejak perjanjian pertama yang termeterai pada tahun 2011. Pemerolehan terkini ini dijangka dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh City-Link Express agar kekal utuh dan terjamin, di samping dapat mencapai kepuasan pelanggan.


90 unit trak yang baru diserahkan ini bertujuan untuk meningkatkan lagi keberkesanan pusat pengagihan City-Link Express di serata negara, termasuk Gudang & Pusat Pengagihan yang terkini di Cheras, yang menyediakan pelbagai perkhidmatan khusus untuk perniagaan, seperti penyimpanan produk dalam persekitaran bersuhu terkawal, sebelum produk dibungkus dan dikurier mengikut arahan penghantaran yang telah diterima.


Sewaktu majlis berlangsung, Atsunori Murata, Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia Sdn Bhd, berkesempatan menyampaikan penghargaannya terhadap City-Link Express di atas kepercayaan yang berterusan, kerana sentiasa menjadikan rangkaian trak Isuzu Malaysia sebagai pilihan utama untuk menjayakan operasi perniagaan mereka. Murata juga percaya bahawa pemerolehan terkini ini mampu membantu City-Link Express meningkatkan keberkesanan operasi harian mereka.


Sebagai tanda penghargaan, Koji Nakamura, selaku Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia Sdn Bhd, telah menyerahkan kunci replika simbolik dan saguhati penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif City-Link Express, Ronald Tan. Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengurus Kanan Jualan City-Link Express, Colin Tan.


Sebelum ini, pada bulan Februari 2019, sesi latihan telah dianjurkan untuk para pemandu City-Link Express di gudang & pusat operasi mereka yang terletak di Saujana Putra. Sesi latihan tersebut merangkumi topik-topik tentang pengetahuan produk dan penyenggaraan asas, supaya para hadirin dapat dilengkapkan dengan pemahaman yang mendalam mengenai trak-trak yang baru sahaja diperolehi City-Link Express, selain daripada mencapai kaedah pemanduan yang lebih ekonomi dan selamat.

2019

  • Hits: 452

Volvo Trucks catat pertumbuhan dalam penghantaran trak di Malaysia

Volvo Trucks (Volvo) mengumumkan prestasi perniagaan memberangsangkan bagi tahun kewangan 2018 yang merekodkan jualan keseluruhan sebanyak 450 unit trak tugas berat premium kepada para pelanggannya di Malaysia. Daripada jumlah tersebut, 266 unit ialah model Volvo FM, 138 unit model Volvo FMX serta 46 unit model utama Volvo FH yang terdiri daripada dua varian iaitu FH13 dan FH16.


Mengulas mengenai pertumbuhan itu, Pengarah Urusan Volvo Trucks Malaysia, Mitch Peden berkata, “Secara keseluruhannya, kami mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 18% berbanding tahun 2017. Kami sangat gembira kerana dapat mencapai pertumbuhan dua digit ini. Ia banyak disokong oleh usaha berterusan kami untuk meningkatkan kecekapan operasi dan kecemerlangan terhadap para pelanggan. Prestasi kukuh ini menjadi suntikan tambahan kepada penguasaan jenama kami ke atas segmen kenderaan komersial kenderaan berat dari Eropah di Malaysia untuk tujuh tahun berturut-turut.*


“Ini merupakan satu keputusan yang hebat kerana secara keseluruhannya, ekonomi Malaysia bagi tahun 2018 menunjukkan trend penurunan pada kebanyakan suku tahunannya. Ini kerana negara berdepan dengan pelbagai ketidaktentuan seperti pembatalan beberapa projek infrastruktur, kesan pergeseran perdagangan di antara US-China, harga minyak mentah dan komoditi yang tidak stabil serta penurunan nilai Ringgit berbanding matawang utama global yang lain. Semua ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada syarikat-syarikat, seterusnya membuatkan mereka mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum berbelanja ke atas keperluan modal tambahan.


“Justeru, saya harus memuji dedikasi dan kerja keras pasukan kami dalam menaikkan tahap keyakinan serta kepercayan pelanggan terhadap Volvo Trucks, di sebalik persekitaran pasaran yang begitu mencabar. Bukan itu sahaja, keputusan jualan ini turut disumbang oleh trak berkualiti tinggi yang jelas disukai oleh pemandu trak di Malaysia, selain peningkatan sokongan selepas jualan kepada pelanggan yang diperkenalkan pada tahun lalu,” kata Peden.


Di Malaysia, Volvo kini menawarkan tiga model trak iaitu Volvo FM, Volvo FMX dan Volvo FH yang setiap satunya boleh diubah suai dengan spesifikasi yang menepati aplikasi industri. Volvo FM ialah sebuah model yang versatil untuk pelbagai industri. Manakala Volvo FMX ialah model yang memiliki pelbagai inovasi terbaik bagi tugas perlombongan dan pembinaan yang lebih efisien. Model utama dan paling premium Volvo, siri Volvo FH telah pun dilancarkan dua tahun lalu di pasaran Malaysia.


“Siri trak Volvo FH nampaknya semakin popular dalam kalangan pelanggan kami dalam sektor pengangkutan berat. Model premium kami ini dibina dengan kuasa dan tork luar biasa, di samping pelbagai ciri inovatif demi mengendalikan tugas penghantaran beban besar untuk tujuan pengedaran jarak dekat dan jauh.Teknologi yang ada pada Volvo FH menawarkan keselamatan terbaik, lebih menjimatkan dan tempoh operasi yang lebih tinggi. Volvo FH melangkaui had apa yang boleh ditawarkan oleh sebuah trak premium dan kami sangat berpuas hati dengan prestasi jualan trak tersebut setakat ini,” tambah Peden.


Menurut Volvo Malaysia, beberapa perkhidmatan selepas jualan telah diperkenalkan pada tahun lalu untuk terus meningkatkan tahap kepuasan pelanggan dan pengalaman pemilikan trak yang lebih bermakna. Antara program itu termasuklah Perancangan Servis Volvo, Jaminan Pemasangan Alat Ganti 24 Bulan dan Lanjutan Tempoh Operasi Bengkel.


Program Perancangan Servis Volvo merupakan satu pelan khas sesi pra-penyelenggaraan yang dibuat berdasarkan kepada maklumat penggunaan trak seperti beban yang dibawa, kondisi jalan dan jarak perbatuan kenderaan. Program ini bertujuan menghalang masalah kerosakan secara tiba-tiba yang boleh menjejaskan perniagaan pelanggan. Mekanik, ruang servis dan alat ganti ditempah terlebih dahulu bagi memastikan servis kenderaan dapat disiapkan dalam tempoh yang dianggarkan.


Di bawah program Jaminan Pemasangan Alat Ganti 24 Bulan, Volvo akan membaik pulih atau menggantikan secara percuma alat ganti tulen Volvo yang dipasang oleh juruteknik Volvo bertauliah di mana-mana pengedar sahnya.


Lanjutan Tempoh Operasi Bengkel yang kini ditawarkan di pengedar utama Volvo di Pelabuhan Klang pula membolehkan pelanggan membawa trak Volvo mereka untuk diservis dan diselenggara di luar waktu operasi standard bengkel serta pada hari Sabtu.


“Dengan sokongan selepas jualan yang telah dipertingkatkan ini, para pelanggan dapat menerima penjagaan terbaik bersama standard global paling tinggi yang sentiasa diamalkan oleh Volvo. Matlamat kami adalah untuk memastikan trak pelanggan berada di bengkel dalam tempoh paling singkat dan tidak terganggu apabila berada di atas jalan raya.


“Semua usaha ini nyata menyumbang kepada posisi jenama Volvo Trucks yang kukuh di pasaran.”


Peden juga menyatakan bahawa strategi Volvo berkisar tentang kepuasan dan produktiviti pelanggan yang disempurnakan menerusi tiga nilai utama syarikat iaitu keselamatan, kualiti dan penjagaan alam sekitar. Nilai-nilai ini berpusat di sekitar semua yang dilakukannya termasuklah penyelidikan dan pembangunan, teknologi dan inovasi, ujian produk sehinggalah penjagaan dan hubungan dengan pelanggan.


Volvo Trucks akan meraikan ulang tahun ke-50 di Malaysia. Jelas Peden lagi, “Kami akan terus fokus ke arah usaha memacu kecemerlangan dan kecekapan, serta menawarkan nilai kepada para pelanggan. Kami tidak sabar untuk berkongsi kisah-kisah kejayaan selama setengah abad kami, pada masa yang sama terus berusaha untuk mengukuhkan kedudukan di pasaran ini.”
Nota:
* Berdasarkan kepada data pendaftaran tahun kenderaan Persatuan Automotif Malaysia.

2019

  • Hits: 443