Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 10 April 2024

“ISUZU SMOOTHER DRIVE 2024” CATAT PERJALANAN LEBIH 3 554 KM UNTUK SERAH BANTUAN KEPADA RUMAH-RUMAH KEBAJIKAN

“ISUZU Smoother Drive 2024” merupakan satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ke seluruh negara serta inisiatif siri jelajah trak yang bermula pada 11 Mac dan baru-baru ini telah berakhir di Pusat Servis Isuzu di Shah Alam pada 29 Mac. Program ini telah berjaya mencatat jarak perjalanan keseluruhannya sebanyak 3,554 kilometer melibatkan 11 buah trak yang digerakkan ke seluruh Semenanjung Malaysia serta sebahagian kawasan di Sabah dan Sarawak untuk menyerahkan sumbangan kepada komuniti kurang bernasib baik. 

 

Program sempena bulan Ramadan ini dianjurkan oleh Isuzu Malaysia dan 23 pengedar yang mengambil bahagian, merangkumi 26 lokasi dan menjadi salah satu cara untuk kembali menyumbang kepada komuniti kurang bernasib baik. Selain para pengedar, ia juga melibatkan sumbangan seperti barangan keperluan harian, makanan dan minuman, pakaian daripada pelanggan, kakitangan pengedar dan orang ramai.

 

Di Semenanjung Malaysia, enam buah trak yang terdiri daripada dua unit trak tugas sederhana Euro 5 FVR Smoother AMT dan empat unit trak tugas ringan Euro 4 ELF Smoother AMT memulakan perjalanan dari kilang pemasangan Isuzu Hicom Malaysia (IHM) di Pekan, Pahang pada 11 Mac lalu. Dalam tempoh 19 hari program ini berlangsung, trak-trak berkenaan perlu tiba di setiap pengedar yang mengambil bahagian pada tarikh yang telah ditetapkan.

 

Setelah sampai di setiap lokasi pengedar, trak-trak itu ditugaskan mengambil barangan sumbangan dan menghantarnya ke rumah-rumah kebajikan untuk kanak-kanak kurang bernasib baik, golongan kurang upaya dan warga emas di setiap lokasi terbabit. Selepas menghantar sumbangan ke rumah kebajikan, trak-trak itu akan pulang semula ke pengedar untuk acara pameran dan majlis berbuka puasa sebagai tanda terima kasih kepada para pelanggan serta orang ramai di atas sokongan mereka.

 

Enam unit trak tersebut di Semenanjung Malaysia dibahagikan kepada dua pasukan. Pasukan pertama berkunjung ke lapan buah pengedar di kawasan Pantai Timur dan Utara Semenanjung Malaysia. Trak-trak itu telah dipandu sejauh 1 778 kilometer dan menyerahkan sumbangan kepada 8 buah rumah kebajikan.

 

Pasukan kedua yang terdiri daripada tiga buah trak singgah di 10 pengedar di wilayah Selatan dan Tengah Semenanjung Malaysia, dan telah berjaya merekodkan jarak perjalanan sebanyak 929 kilometer untuk menyerahkan bantuan kepada 16 buah rumah kebajikan.

 

Di Sabah dan Sarawak pula, sebanyak lima buah trak ELF Euro 4 Smoother AMT mengharungi perjalanan sejauh 1 447 kilometer. Mereka kemudian berhenti di tujuh buah pengedar yang mengambil bahagian dan menyerahkan barangan sumbangan kepada 7 buah rumah kebajikan.  

 

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe berkata, “Kami sangat gembira apabila mengetahui program “ISUZU Smoother Drive 2024” mampu memberi manfaat kepada begitu banyak rumah kebajikan di Malaysia. Pada masa sama, kami boleh menggerakkan trak FVR Smoother AMT dan ELF Smoother AMT yang baru dilancarkan untuk melaksanakan program yang bermanfaat ini. Kami harap inisiatif ini akan dapat meringankan beban rumah-rumah kebajikan dan menaikkan semangat mereka terutama pada musim perayaan yang bakal tiba.

 

“Sebagai jenama trak popular di Malaysia, Isuzu komited untuk memastikan usaha kami merangkumi spektrum yang lebih luas dalam mencipta kehidupan lebih baik. Daripada sentiasa memberi kepuasan kepada pelanggan menerusi penyelesaian trak yang boleh dipercayai untuk meningkatkan aspek kelestarian sehinggalah membuat perubahan sosial yang mampu menambah baik kehidupan orang lain di sekeliling kita. 

 

“Selain sokongan tidak berbelah bahagi daripada pengedar dan pelanggan yang cukup kami hargai, pelaksanaan program “ISUZU Smoother Drive 2024” yang lancar dan mengikut jadual jelas menjadi bukti tentang ketahanan serta kecekapan trak-trak Isuzu dalam mengekalkan tempoh boleh operasi sepanjang masa, biarpun terpaksa mengharung pelbagai jenis permukaan jalan untuk jarak yang jauh,” katanya lagi.

 

Kedua-dua model trak FVR Smoother dan ELF Euro 4 telah dilancarkan ke pasaran Malaysia pada awal Mac lalu, sebagai maklum balas terhadap perubahan industri dan landskap alam sekitar yang memerlukan jentera lebih cekap dan prestasi yang seimbang di antara emisi lebih bersih dan kemapanan. Sebagai tambahan, Isuzu Malaysia kini menawarkan rangkaian penuh trak tugas ringan hinggalah prime mover yang dilengkapi teknologi Smoother AMT.