PUSPAKOM DAN MIROS PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK DALAM KESELAMATAN JALAN RAYA DAN KENDERAAN
● Program bersama melibatkan kunjungan hormat pengurusan dan sesi permulaan kerjasama strategik bersama
● Program bersama menyokong peningkatan keselamatan jalan raya dan keyakinan orang awam
KAJANG, Selasa, 13 Januari 2026 – PUSPAKOM Sdn Bhd (“PUSPAKOM”) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) hari ini melaksanakan Program Bersama PUSPAKOM–MIROS sebagai platform strategik untuk memperkukuh kerjasama dalam aspek keselamatan jalan raya dan kenderaan melalui pendekatan berasaskan data, tadbir urus perkhidmatan pemeriksaan serta penerokaan kolaborasi berasaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Sesi kunjungan hormat ini dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Encik Mahmood Razak Bahman; Pengerusi MIROS, Profesor Dr. Wong Shaw Voon; Ketua Pengarah MIROS, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Siti Zaharah Ishak, serta barisan pengurusan kanan kedua-dua organisasi yang berlangsung di Pejabat MIROS, Kajang pada 12 Januari 2026.
Melalui program ini, PUSPAKOM dan MIROS mengadakan perbincangan teknikal serta perkongsian kepakaran berkaitan penyelidikan keselamatan jalan raya dan pendekatan penilaian berasaskan data bagi menyokong penambahbaikan berterusan dalam ekosistem pemeriksaan kenderaan.
Menurut Dr. Siti Zaharah, pencapaian hasil keselamatan jalan raya yang berkesan amat bergantung kepada kerjasama erat antara pengendali dan institusi penyelidikan.
“Melalui penglibatan ini, MIROS berperanan menyumbang pandangan teknikal serta kepakaran penyelidikan bagi menyokong penambahbaikan berterusan dalam ekosistem pemeriksaan kenderaan secara khusus, dan penyelidikan keselamatan jalan raya secara amnya. MIROS juga akan menyokong penambahbaikan melalui analisis data, penilaian risiko serta cadangan teknikal yang boleh membantu memperkukuh keselamatan kenderaan dan keyakinan orang awam,” katanya.
Beliau menambah bahawa pelaksanaan audit teknikal berkaitan pemeriksaan kenderaan adalah selaras dengan fungsi MIROS di bawah Akta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2012 (Akta 748), termasuk fungsi untuk mengkaji semula kaedah ujian yang dijalankan oleh organisasi pemeriksaan kenderaan.
Sepanjang program ini, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan dan membincangkan potensi bidang kerjasama strategik termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), kajian kesedaran awam terhadap keselamatan kenderaan serta pembangunan program dan inisiatif bersama bagi mempromosikan keselamatan jalan raya dan kenderaan kepada masyarakat.
Sebarang bentuk kerjasama jangka sederhana atau jangka panjang akan dipertimbangkan secara berperingkat dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
Bagi memastikan PUSPAKOM mencapai tahap penyampaian perkhidmatan yang optimum di bawah Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA), Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah menetapkan pemantauan Indikator Prestasi Utama (KPI) yang komprehensif. Inisiatif yang bermula sejak 2009 ini telah melalui fasa penambahbaikan berterusan dan dikemas kini pada tahun 2024.
Langkah ini selaras dengan strategi Kerajaan untuk memperluas penubuhan Pusat Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan (PPKM) demi menyediakan perkhidmatan yang lebih mudah diakses, efisien, dan holistik kepada rakyat.
Audit teknikal ini dilaksanakan secara berkecuali serta berasaskan mandat dan prinsip tadbir urus yang baik, dengan fokus kepada perkara yang berkait langsung dengan kaedah ujian dan pelaksanaannya, termasuk kebolehoperasian dan pematuhan penentukuran peralatan, pensijilan Sistem Pengurusan ISO 9001 dan ISO/IEC 17020, kecekapan masa perkhidmatan, kepuasan pelanggan, serta aspek keselamatan perkhidmatan PUSPAKOM.
“Dalam landskap mobiliti yang semakin kompleks, perkhidmatan pemeriksaan kenderaan perlu terus diperkukuh melalui tadbir urus yang mantap dan pemantauan bebas. Penglibatan bersama MIROS ini menyokong fokus PUSPAKOM terhadap akauntabiliti dan penambahbaikan berterusan dalam penyampaian perkhidmatan yang diyakini oleh orang awam,” ujar Mahmood.
Kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan PUSPAKOM dan MIROS dalam memastikan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan di Malaysia dilaksanakan secara selamat, telus dan berintegriti demi keselamatan pengguna jalan raya.
- Hits: 42