Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 27 November 2017

Anwar Pemandu Trak Petroleum Berwawasan Tinggi

Bermula sebagai hobi, kini memandu trak merupakan gaya hidup Kaspul Anwar Abdul Karim.

Kaspul Anwar Abdul Karim tidak pernah, dalam hidupnya, terfikir untuk menjadi seorang pemandu trak tetapi hari ini ia bukan sahaja kerjayanya, tetapi perlahan-lahan memanjat pangkat. Dia pada mulanya hanya memandu untuk berseronok, mengikuti rakan-rakan yang berada dalam industri itu dan kerana sangat menyukainya, dia memutuskan untuk menjadi pemandu trak pada tahun 2005.

Anak jati Pulau Pinang yang lebih selesa dengan gelaran Anwar, memberitahu Asian Trucker bahawa memandu trak tidak memberinya tekanan meskipun dengan jadual waktu yang ganjil dan ketat. Pemandu trak tangki petroleum Prifaria Sdn Bhd berusia 36 tahun itu tidak keberatan untuk bangun pada jam 2 pagi untuk shift pagi.

Pada waktu itu dia akan mengambil traknya di pangkalan dan melakukan pemeriksaan berdasarkan sistem Rota di mana dia menentukan air, minyak enjin dan keadaan keseluruhan trak adalah baik. Sebelum membawa traknya keluar, Anwar memacunya di sekitar kawasan pangkalan untuk memastikan ia cukup panas untuk perjalanan yang panjang.

Pada jam 3.30 pagi dia menuju ke terminal untuk memuatkan tangki trak dengan produk petroleum yang mengambil masa sehingga satu jam untuk disiapkan. Pemanduan dari Prai, Pulau Pinang ke Ipoh, Perak biasanya mengambil masa antara lapan hingga 12 jam, pergi dan balik. Dalam waktu-waktu tersebut, wajib bagi pemandu untuk berehat minimum 10 minit selepas setiap tiga atau empat jam memandu.

Terdapat juga perkara-perkara wajib ketika memandu trak tangki petroleum seperti memasang sabuk pengaman dan larangan untuk membawa penumpang yang tidak dikenali.

"Kami mempunyai slogan: 'Enjin hidup, telefon bimbit mati.' Dan merokok adalah dilarang sama sekali apabila anda mempunyai tangki petroleum di belakang anda. Kerjaya ini menyebabkan saya berhenti merokok seperti juga ramai rakan sekerja saya," katanya.

Antara cabaran-cabaran pemandu trak petrol dalam tugas harian mereka termasuklah cuaca hujan yang memperlambat kerja mereka. Sekiranya hujan lebat, Anwar berkata mereka sering bimbang air akan meresap ke petroleum yang akan merosakkannya, manakala jika ada kilat, mereka takut percikan api.

"Jika hujan, kami masih boleh memandu tetapi tidak dapat memunggah produk sehingga hujan berhenti sepenuhnya," katanya.

Untuk mengelakkan tekanan semasa bekerja, Anwar menikmati pemandangan untuk menyeronokkan pemanduannya. Laluan kegemarannya adalah di sepanjang bekas ladang tebu Chuping di Perlis yang kini menjadi sawah padi. Rumput hijau, katanya, adalah sangat menyenangkan dan walaupun dia tidak pernah ke Australia, dia membayangkan dirinya memandu melepasi bidang berbukit di negara itu.

Anwar juga harus bijak mengurus masa kerana dia bekerja pada waktu yang ganjil dan sering rindu untuk menghabiskan masa bersama keluarganya. Bapa kepada lima cahay mata itu berkata ia sukar tetapi dia perlu menggantikan masa-masa yang terlepas itu. "Setiap saat sangat berharga kerana anak-anak saya masih kecil, dan saya tidak mahu ketinggalan untuk melihat mereka membesar. Selepas shift saya berakhir, saya akan teruspulang ke rumah, saya tidak boleh melepak di kedai kopi bersama rakan-rakan saya. Keluarga saya memahami tugas saya tetapi saya tidak mahu ambil mudah perkara ini," katanya.

Anwar kini tidak memandu sekerap dahulu kerana dia telah dinaikkan pangkat ke tahap mentor pada bulan September lalu. Sekarang dia kebanyakannya memantau dan menasihati pemandu-pemandu lain. Walaupun dia lebih suka keluar memandu, Anwar mengambil promosi ini sebagai satu langkah ke hadapan dalam kerjayanya. "Selepas ini tahap seterusnya adalah pelatih, di mana jika saya sampai ke tahap itu, saya perlu mempelajari kemahiran baru seperti bercakap di hadapan khalayak ramai."

Antara tanggungjawabnya sekarang adalah memeriksa borang pengisytiharan tidur pemandu. "Pemandu perlu tidur secukupnya sebelum memandu. Jika mereka tidur kurang dari enam jam, kami akan mengeluarkan perintah berhenti kerja dan kami dapat tahu jika mereka telah berbohong kepada kami mengenainya," katanya.

Tidur tidak diambil ringan dalam kerjaya ini. "Kami harus memaksa diri untuk tidur dan berehat secukupnya untuk mengelakkan keletihan. Kami paling bimbang tentang 'tidur mikro' di mana kami akan memandu separuh sedar dan tiba-tiba, kami sudah sampai ke destinasi tanpa menyedari proses pemanduan dan persekitaran," kata Anwar.

Sebagai pemandu trak yang berpengalaman dan mahir, Anwar juga telah mengkaji negara-negara lain dan merasakan terdapat banyak yang perlu diperbaiki oleh pemandu-pemandu trak tempatan, terutamanya mengenai disiplin di jalan raya. "Tidak kira berapa besar lori kita, jika kita melihat pejalan kaki, mereka mesti diutamakan. Kita tidak boleh menjadi egois dan menggunakan saiz kenderaan kita sebagai alasan untuk menjadi pembuli.

"Penampilan kami juga penting, walaupun kita tidak memakai pakaian pejabat untuk bekerja, kita perlu kelihatan profesional untuk mengetepikan beberapa persepsi negatif orang ramai terhadap pemandu trak di negara ini. Butir-butir kecil seperti tali pinggang keledar dan pakaian adalah sangat penting. Saya harap pemandu trak di Malaysia boleh sebulat suara untuk meningkatkan reputasi kami, kerana di negara-negara Barat, pemandu trak sebenarnya dianggap profesional dan pekerjaan yang sangat dihormati, "katanya berdasarkan penyelidikan yang dilakukannya melalui internet.

Akhirnya, Anwar berkata, beliau mahu terus meningkatkan dirinya sebagai pemandu trak profesional dan berharap dapat menjadi contoh kepada generasi baru.