Volvo Trucks Bantu Golongan Kurang Bernasib Baik di Malaysia Dengan Sumbangan Trak Kepada Kechara Soup Kitchen
Volvo Trucks, salah satu jenama trak tugas berat paling berpengaruh di dunia, baru sahaja melancarkan inisiatif tanggungjawab korporat sosialnya. Ia melibatkan sumbangan sebuah trak tugas berat tegar Volvo FM330 4x2 yang lengkap dengan fabrikasi badan binaan khas untuk Kechara Soup Kitchen Society (KSK). KSK merupakan sebuah pertubuhan tidak berasaskan kepada keuntungan yang menyediakan makanan dan penjagaan kesihatan asas kepada golongan gelandangan dan miskin di Malaysia.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat Volvo Group di peringkat global yang dijalankan setiap tahun di seluruh dunia. Matlamat utamanya adalah untuk memberikan persekitaran berkebajikan yang lebih baik dan selesa kepada komuniti setempat dengan menyokong usaha-usaha kemasyarakatan.
Trak untuk KSK ini akan bertindak sebagai kenderaan pelbagai guna untuk mengumpul dan mengedar makanan, klinik dan ruang bergerak bagi menjalankan aktiviti-aktiviti penjagaan kesihatan dan pendidikan kepada golongan miskin di kawasan luar bandar.
Pengarah Urusan Volvo Malaysia, Mitch Peden berkata, “Kami di Volvo Trucks sangat teruja memilih KSK sebagai penerima dana tanggungjawab korporat sosial kami, Seasonal Gift. Keputusan untuk menyumbang sebuah trak kepada KSK sememangnya satu tindakan yang logik kerana semua kerja kebajikan mereka selari dengan nilai-nilai utama Volvo Trucks iaitu kualiti, keselamatan dan menjaga alam sekitar.
“Kerja-kerja kebajikan KSK menyumbang kepada pengurangan masalah kebuluran dan isu-isu sosial, lalu meningkatkan kualiti hidup golongan gelandangan dan keluarga miskin tanpa mengira latar belakang. Kami juga tahu bahawa KSK memang aktif dalam menjalankan program tabung makanan dan berdepan dengan pelbagai cabaran logistik. Jadi, kami percaya trak Volvo ini akan mampu membantu KSK beroperasi dengan lebih efektif demi manfaat masyarakat.
“Di Volvo Trucks, dedikasi kepada aspek tanggungjawab sosial bermakna kami menyokong pelbagai projek berkaitan kesihatan, keselamatan dan pendidikan. Kebanyakan komitmen sosial kami tertumpu kepada masyarakat setempat di mana kami boleh memberi kebaikan yang besar kepada mereka,” kata Peden.
KSK ditubuhkan pada tahun 2006 sebagai sebuah pertubuhan bukan berasaskan kepada keuntungan yang memberi khidmat pengagihan makanan, minuman dan pertolongan cemas asas secara percuma kepada golongan gelandangan serta mereka yang memerlukan, tanpa mengira bangsa atau agama. Selama beberapa tahun, KSK juga menubuhkan klinik bergerak yang menawarkan pemeriksaan kesihatan dan perkhidmatan kaunseling secara percuma kepada kumpulan gelandangan serta miskin. Di samping itu, ia juga mengadakan program tabung makanan hasil kerjasama dengan jenama-jenama seperti Tesco, AEON, Munchy’s dan The Westin Hotel. Pertubuhan ini beroperasi berasaskan kepada motto ‘Kelaparan tidak mengenal Sempadan’ (Hunger Knows No Barriers). Ia percaya bahawa belas ehsan yang diberikan kepada mereka yang tidak bernasib baik perlu diperluaskan lagi. Sejak ia ditubuhkan, KSK telah memberi lebih 1.5 juta makanan.
Presiden KSK, Henry Ooi berkata, “Kami sangat gembira untuk menerima sumbangan ikhlas daripada Volvo Trucks dan rakan industri yang menyokong inisiatif ini. Setiap hari, program tabung makanan kami akan mengutip lebihan makanan mentah daripada penderma sebelum diagihkan ke banyak lokasi. Dalam melaksanakan tugas ini, pemandu kami terpaksa mengulang-alik perjalanan kerana kami hanya mempunyai sebuah kenderaan kecil. Sumbangan trak dan inisiatif mengumpul dana yang diilhamkan oleh Volvo Trucks ini tentu akan meningkatkan tahap kecekapan dan kapasiti kami, justeru menjimatkan masa dan mengurangkan pembaziran makanan. Sudah pasti kami akan dapat bantu lebih ramai golongan yang memerlukan. Oleh itu, kami amat berterima kasih.”
Ooi juga menyatakan bahawa misi jangka masa panjang KSK adalah untuk mengurangkan jumlah gelandangan yang tinggal di jalanan dengan cara menyediakan sebuah bangunan sebagai pusat latihan serta bantuan. Ini bagi membantu golongan itu mendapat kerja dan kembali masuk ke dalam masyarakat.
Mengulas mengenai sumbangan trak, Volvo Trucks memberitahu ia bakal mengambil masa beberapa bulan untuk memastikan trak berkenaan siap. Ini kerana ia melibatkan pelbagai aspek seperti reka bentuk, merancang, membina badan trak binaan khas, mendapatkan lesen dan kelulusan. Jadi, penyerahan trak jangka dilakukan pada suku kedua tahun depan.
Selaku penaja utama, Volvo Trucks akan menyumbang chasis trak dan bekerjasama dengan rakan industri Seri Zenith Engineering Sdn Bhd, pengilang semi-trailer dan badan kenderaan komersial untuk merancang serta memfabrikasi badan trak khas bagi kegunaan KSK.
Menurut Peden, dana yang diperlukan untuk fabrikasi badan trak adalah berjumlah RM150,000. Volvo Trucks berharap dapat mengumpul dana berkenaan dan ingin menjemput para pemain industri untuk menaja pakej Platinum bernilai RM15,000 atau pakej Emas sebanyak RM5,000.
Setakat ini, selain Seri Zenith Engineering, pemain industri lain yang telah mengesahkan untuk mengambil bahagian dalam inisiatif mengumpul dana sebagai penaja Platinum ialah Taipanco Sdn Bhd dan Asian Trucker Media Sdn Bhd. Manakala Association of Malaysian Hauliers (AMH) dan Aimtrans Logistics (M) Sdn Bhd pula menjadi penaja Emas. Semua logo penaja Platinum akan dilekatkan pada badan trak.
Semua lebihan dana daripada kos fabrikasi badan trak akan disumbangkan kepada KSK. Mana-mana pihak yang ingin membuat sumbangan boleh berhubung dengan ibu pejabat Volvo Trucks di Shah Alam atau menyumbang secara terus ke nombor akaun Maybank Kechara Soup Kitchen - 5122-3133-4874 dan rujuk kepada ”Volvo Food Truck”. Semua sumbangan untuk inisiatif ini layak untuk menerima pengurangan cukai.
Selain menyumbang sebuah chasis trak dan mengetuai insiatif ini, Volvo Trucks juga akan membayar kos mendapatkan Lesen Membawa Barang (GDL) untuk pemandu, pembaikan dan penyelenggaraan trak. Bukan itu sahaja, Volvo Trucks juga akan menyediakan latihan percuma kepada pemandu trak KSK untuk bagaimana memaksimumkan semua ciri keselamatan dan penjimatan bahan api yang ada pada trak Volvo FM.
“Sebagai jenama peneraju trak tugas berat dalam industri, adalah penting bagi kami untuk mengalu-alukan dan menggalakkan komuniti trak untuk sama-sama menjadi sebahagian daripada projek yang penuh makna ini. Kami percaya projek ini boleh menjadi satu inisitif kemasyarakatan yang hebat dan memberi kesan lebih besar. Bukan sekadar menyumbang sebuah trak, saya juga tidak sabar untuk menggalakkan semua kakitangan Volvo Trucks dan pelanggan supaya turut serta dalam pelbagai kerja-kerja kebajikan yang dikendalikan oleh KSK. Apa yang pasti, kami mahu mencipta nilai dan kelestarian dalam kalangan msyarakat di mana kami beroperasi,” kata Peden.
Peden juga memberitahu bahawa Malaysia ialah salah satu daripada tujuh negara di mana Volvo beroperasi di peringkat global yang telah dianugerahkan dengan dana tanggungjawab sosial korporat Seasonal Gift. Ini merupakan kali kedua Volvo Trucks di Malaysia menerima dana tersebut.
Pada tahun 2017, Volvo Trucks menggunakan dana itu untuk komuniti Bario di Sarawak dengan membina sistem pemadam api di rumah panjang. Selain membina lima pondok eko di sepanjang laluan warisan masyarakat Kelabit di dalam hutan.
“Ini memang membuktikan pentingnya pasaran Malaysia kepada kami. Persetujuan yang diterima daripada ibu pejabat global untuk menjalankan projek-projek kebajikan berimpak tinggi dan menyumbang kembali kepada komuniti di sini nyata membuatkan ulang tahun ke-50 di Malaysia pada tahun ini lebih bermakna,” kata Peden.