Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 27 March 2019

Volvo Trucks catat pertumbuhan dalam penghantaran trak di Malaysia

Volvo Trucks (Volvo) mengumumkan prestasi perniagaan memberangsangkan bagi tahun kewangan 2018 yang merekodkan jualan keseluruhan sebanyak 450 unit trak tugas berat premium kepada para pelanggannya di Malaysia. Daripada jumlah tersebut, 266 unit ialah model Volvo FM, 138 unit model Volvo FMX serta 46 unit model utama Volvo FH yang terdiri daripada dua varian iaitu FH13 dan FH16.


Mengulas mengenai pertumbuhan itu, Pengarah Urusan Volvo Trucks Malaysia, Mitch Peden berkata, “Secara keseluruhannya, kami mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 18% berbanding tahun 2017. Kami sangat gembira kerana dapat mencapai pertumbuhan dua digit ini. Ia banyak disokong oleh usaha berterusan kami untuk meningkatkan kecekapan operasi dan kecemerlangan terhadap para pelanggan. Prestasi kukuh ini menjadi suntikan tambahan kepada penguasaan jenama kami ke atas segmen kenderaan komersial kenderaan berat dari Eropah di Malaysia untuk tujuh tahun berturut-turut.*


“Ini merupakan satu keputusan yang hebat kerana secara keseluruhannya, ekonomi Malaysia bagi tahun 2018 menunjukkan trend penurunan pada kebanyakan suku tahunannya. Ini kerana negara berdepan dengan pelbagai ketidaktentuan seperti pembatalan beberapa projek infrastruktur, kesan pergeseran perdagangan di antara US-China, harga minyak mentah dan komoditi yang tidak stabil serta penurunan nilai Ringgit berbanding matawang utama global yang lain. Semua ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada syarikat-syarikat, seterusnya membuatkan mereka mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum berbelanja ke atas keperluan modal tambahan.


“Justeru, saya harus memuji dedikasi dan kerja keras pasukan kami dalam menaikkan tahap keyakinan serta kepercayan pelanggan terhadap Volvo Trucks, di sebalik persekitaran pasaran yang begitu mencabar. Bukan itu sahaja, keputusan jualan ini turut disumbang oleh trak berkualiti tinggi yang jelas disukai oleh pemandu trak di Malaysia, selain peningkatan sokongan selepas jualan kepada pelanggan yang diperkenalkan pada tahun lalu,” kata Peden.


Di Malaysia, Volvo kini menawarkan tiga model trak iaitu Volvo FM, Volvo FMX dan Volvo FH yang setiap satunya boleh diubah suai dengan spesifikasi yang menepati aplikasi industri. Volvo FM ialah sebuah model yang versatil untuk pelbagai industri. Manakala Volvo FMX ialah model yang memiliki pelbagai inovasi terbaik bagi tugas perlombongan dan pembinaan yang lebih efisien. Model utama dan paling premium Volvo, siri Volvo FH telah pun dilancarkan dua tahun lalu di pasaran Malaysia.


“Siri trak Volvo FH nampaknya semakin popular dalam kalangan pelanggan kami dalam sektor pengangkutan berat. Model premium kami ini dibina dengan kuasa dan tork luar biasa, di samping pelbagai ciri inovatif demi mengendalikan tugas penghantaran beban besar untuk tujuan pengedaran jarak dekat dan jauh.Teknologi yang ada pada Volvo FH menawarkan keselamatan terbaik, lebih menjimatkan dan tempoh operasi yang lebih tinggi. Volvo FH melangkaui had apa yang boleh ditawarkan oleh sebuah trak premium dan kami sangat berpuas hati dengan prestasi jualan trak tersebut setakat ini,” tambah Peden.


Menurut Volvo Malaysia, beberapa perkhidmatan selepas jualan telah diperkenalkan pada tahun lalu untuk terus meningkatkan tahap kepuasan pelanggan dan pengalaman pemilikan trak yang lebih bermakna. Antara program itu termasuklah Perancangan Servis Volvo, Jaminan Pemasangan Alat Ganti 24 Bulan dan Lanjutan Tempoh Operasi Bengkel.


Program Perancangan Servis Volvo merupakan satu pelan khas sesi pra-penyelenggaraan yang dibuat berdasarkan kepada maklumat penggunaan trak seperti beban yang dibawa, kondisi jalan dan jarak perbatuan kenderaan. Program ini bertujuan menghalang masalah kerosakan secara tiba-tiba yang boleh menjejaskan perniagaan pelanggan. Mekanik, ruang servis dan alat ganti ditempah terlebih dahulu bagi memastikan servis kenderaan dapat disiapkan dalam tempoh yang dianggarkan.


Di bawah program Jaminan Pemasangan Alat Ganti 24 Bulan, Volvo akan membaik pulih atau menggantikan secara percuma alat ganti tulen Volvo yang dipasang oleh juruteknik Volvo bertauliah di mana-mana pengedar sahnya.


Lanjutan Tempoh Operasi Bengkel yang kini ditawarkan di pengedar utama Volvo di Pelabuhan Klang pula membolehkan pelanggan membawa trak Volvo mereka untuk diservis dan diselenggara di luar waktu operasi standard bengkel serta pada hari Sabtu.


“Dengan sokongan selepas jualan yang telah dipertingkatkan ini, para pelanggan dapat menerima penjagaan terbaik bersama standard global paling tinggi yang sentiasa diamalkan oleh Volvo. Matlamat kami adalah untuk memastikan trak pelanggan berada di bengkel dalam tempoh paling singkat dan tidak terganggu apabila berada di atas jalan raya.


“Semua usaha ini nyata menyumbang kepada posisi jenama Volvo Trucks yang kukuh di pasaran.”


Peden juga menyatakan bahawa strategi Volvo berkisar tentang kepuasan dan produktiviti pelanggan yang disempurnakan menerusi tiga nilai utama syarikat iaitu keselamatan, kualiti dan penjagaan alam sekitar. Nilai-nilai ini berpusat di sekitar semua yang dilakukannya termasuklah penyelidikan dan pembangunan, teknologi dan inovasi, ujian produk sehinggalah penjagaan dan hubungan dengan pelanggan.


Volvo Trucks akan meraikan ulang tahun ke-50 di Malaysia. Jelas Peden lagi, “Kami akan terus fokus ke arah usaha memacu kecemerlangan dan kecekapan, serta menawarkan nilai kepada para pelanggan. Kami tidak sabar untuk berkongsi kisah-kisah kejayaan selama setengah abad kami, pada masa yang sama terus berusaha untuk mengukuhkan kedudukan di pasaran ini.”
Nota:
* Berdasarkan kepada data pendaftaran tahun kenderaan Persatuan Automotif Malaysia.