Cabaran UD Trucks Extra Mile Kini Kembali dan Temui Pemenangnya
UD Trucks Extra Mile Challenge (UDEMC) 2022, satu pertandingan pemanduan tahunan yang dianjurkan oleh UD Trucks dan rakan pengedar tunggalnya, Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE) kini kembali dengan menobatkan Mohamad Hanif bin Md Nor, pemandu trak dari ASAC Logistic Sdn Bhd sebagai juara tahun ini. Beliau berjaya mengalah 9 finalis lain dalam pusingan akhir pertandingan yang diadakan di cawangan TCIE di Ipoh, Perak.
UD Trucks Extra Mile Challenge (UDEMC) dianjurkan sebagai satu pertandingan berasaskan kepada kemahiran yang mensimulasikan tiga kitaran penting dalam industry pengangkutan. Pemandu perlu bersaing dengan mengambil bahagian dalam kelas dan ujian amali melibatkan aspek pemeriksaan kenderaan sebelum dipandu, penjimatan bahan api dan pemanduan selamat, serta kemahiran mengubah laluan dan parkir.
Pengarah Urusan UD Trucks Malaysia, Steve Hedouin berkata, “UDEMC bukan sekadar satu pertandingan untuk pemandu trak. Pertandingan yang dimulakan sejak tahun 2016 ini juga dilihat sebagai satu platform untuk membantu meningkatkan hubungan antara kemahiran pemandu dengan realiti perniagaan dengan cara menambah baik kecekapan, pengetahuan dan keupayaan mengendalikan trak tugas berat UD Quester.”
“Visi UD Trucks adalah untuk membina trak dan perkhidmatan yang menawarkan penyelesaian terbaik kepada logistik pintar yang diperlukan oleh dunia pada hari ini. Syarikat kami menggabungkan warisan pertukangan Jepun, teknologi trak tercanggih dan semangat ‘Gemba’ yang diwarisi dalam falsafah kerja UD.”
“Gemba bermaksud menghasilkan nilai pada tempat yang betul. Jadi, UDEMC merupakan lanjutan kepada semangat ‘Gemba’ yang kami mahu semua pemandu trak UD Quester mendalaminya dengan cara menggalakkan mereka melakukan kerja sebaiknya dan menjadi pemandu yang mahir. Sekali gus mencipta nilai kepada keseluruhan proses logistik pintar,” kata Hedouin.
Sebagai pemandu UDEMC terbaik di Malaysia, Mohamad Hanif layak untuk menyertai pertandingan akhir global UD Trucks Extra Mile Challenge yang akan diadakan Oktober depan di Pusat Pengalaman UD di Ageo, Jepun. Di sana, finalis-finalis dari pelbagai negara akan bersaing untuk dinobatkan sebagai “UD Trucks’ Ultimate Driver”.
Selain memenangi gelaran juara keseluruhan, Mohamad Hanif juga pemenang kategori “Pemeriksaan Pra-Pemanduan Terbaik”. Dua lagi sub-kategori dalam UDEMC ialah “Kemahiran Pemanduan Terbaik” yang dimenangi oleh Mohammad Aripuddin bin Dahlan dari Naza Transport Sdn Bhd. Manakala kategori “Penjimatan Bahan Api Terbaik” dimenangi oleh Simon Joshua A/L Chandra Sakaran dari Syarikat Jasa Selamat Sdn Bhd.
Semua pemenang menerima piala dan model skala trak UD Quester. Bukan itu sahaja, syarikat yang menjadi juara iaitu ASAC Logistic Sdn Bhd dihadiahkan dengan baucar servis Quester bernilai RM2 388 dan latihan pemandu yang eksklusif. Syarikat yang memenangi sub-kategori pula menerima baucar servis Quester bernilai RM588.
Berkongsi keterujaannya, Mohamad Hanif yang sudah menjadi pemandu trak selama tujuh tahun berkata, “Saya sangat gembira kerana memenangi pertandingan UDEMC dan tidak sabar untuk mewakili Malaysia dalam pusingan akhir global di Jepun. Inisiatif UD Trucks menyediakan peluang keemasan untuk pemandu seperti kami yang memandu UD Quester sememangnya sangat bagus. Pengalaman ini menggalakkan kami semua untuk menjadi pemandu yang lebih baik dengan memahami lebih mendalam serta komited terhadap aspek keselamatan dan profesionalisme. Saya akan melakukan yang terbaik di Jepun dan berharap dapat membawa pulang kemenangan.”
Pengarah Eksekutif TCIE, Say Teck Ming berkata, “UDEMC memberi makna yang besar kepada para pelanggan kami dan pemandu mereka. Selepas tidak dijalankan selama tiga tahun berturut-turut berikutan pandemik, kami tahu ramai di antara mereka yang teruja apabila pertandingan ini kembali diadakan pada tahun ini. Salah satu sebabnya adalah kerana UDEMC memberi fokus kepada membina pemikiran positif dan meningkatkan kemahiran teknikal memandu. Pertandingan ini menggalakkan pemandu untuk berfikir secara lebih komersial dengan menimbangkan aspek-aspek seperti kelajuan, tempoh penghantaran, penjimatan bahan api, keselamatan dan pemanduan yang lancar.
“Dalam industri yang berdepan dengan kekurangan pemandu mahir, matlamat kami adalah untuk membantu para pelanggan mendapatkan pemandu yang bagus. Platform seperti UDEMC mendidik setiap pemandu untuk menjadi pemandu yang terbaik dengan membantu mereka mendapatkan kemahiran, pengetahuan sewajarnya serta komitmen terhadap aspek keselamatan, penjimatan bahan api, peka mengenai trak, kargo dan alam sekitar.
“UDEMC memberi motivasi kepada pemandu dan mempromosikan pemanduan trak sebagai satu kerjaya kerana ia merupakan nadi kepada logistik pintar. Ia juga bertindak sebagai simbol kepada usaha berterusan UD Trucks demi kejayaan para pelanggan kami serta komitmen dalam menyokong segala aspek logistik pintar,” jelas Say.